Pengasuhan Positif

Hakikat Sebenar Mengenai Sembelit

Sembelit merupakan masalah yang biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ia berlaku apabila seorang kanak-kanak membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu, kesukaran meneran atau najisnya terlalu keras, kering, dan lebih besar daripada biasa. Walaupun masalah ini sering dialami kanak-kanak, mengatasi sembelit boleh menjadi satu cabaran yang besar buat ibu bapa.

Apakah yang menyebabkan sembelit?

Walaupun terdapat banyak faktor, penyebab sembelit sering dikaitkan dengan diet yang kurang air dan serat. Kedua-dua komponen tersebut adalah penting kerana ia membantu memastikan pembuangan air besar yang sempurna.

Penyebab-penyebab lain termasuk:

  • Menahan – anak anda mungkin enggan ke tandas disebabkan pelbagai alasan seperti ingin lebih masa untuk bermain, kurang selesa menggunakan tandas (terutamanya tandas awam atau di sekolah), malu untuk meminta orang dewasa menemannya ke tandas atau satu cara protes untuk menegaskan kemahuannya.
  • Ubat-ubatan – jika doktor anak anda memberikan sebarang ubat, pastikan anda bertanya sama ada ia boleh menyebabkan sembelit dan samada anda perlu mengambil sebarang langkah berjaga-jaga untuk mencegahnya.
  • Perubahan rutin – apabila anak anda telah membiasakan diri dengan sesuatu rutin, mengubahnya secara tiba-tiba mungkin boleh menyebabkan sembelit. Jika anda merancang percutian keluarga, pastikan jadual membuang air besarnya juga diambil kira.
  • Sekali tersengat, selalu beringat – jika anak anda mengalami rasa sakit semasa membuang air besar, dia mungkin cuba mengelak mengulanginya dengan tidak pergi ke tandas langsung. Walau bagaimanapun, menahan daripada membuang air besar menyebabkan najis terkumpul di dalam usus besar dan menjadikan najis semakin besar dan keras (apabila usus besar terus menyerap air daripada najis) ini menjadikan najis semakin sukar (dan sakit) apabila dibuang.
  • Stres – kajian baru menunjukkan kaitan antara tahap emosi seseorang dengan tahap kesihatan penghadamannya. Sebagai contoh, kemurungan boleh mencetuskan sembelit atau cirit birit.

Mengenali Sembelit

Cara untuk mengetahui sama ada anak anda sembelit hanyalah dengan mengawasi najis dan kekerapan dia membuang air besar. Anak yang lebih besar mungkin dapat memberitahu anda dengan lebih jelas sekiranya mereka mengalami kesakitan semasa membuang air besar.

Carta Najis Bristol

Panduan berguna untuk membantu anda menentukan sama ada najis anak anda normal.

carta-najis-bristol

Komplikasi

Ingatlah bahawa sembelit bukan satu keadaan yang normal. Jika anak anda mengalami sembelit bagi tempoh yang lama, ia boleh mengakibatkan komplikasi seperti pendarahan rektum, buasir (keadaan yang menyakitkan disebabkan salur darah membengkak di bahagian bawah rektum dan anus), dan penyumbatan najis (pembentukan dan pengumpulan najis kering serta keras di dalam rektum dan anus).

Mencegah sembelit

Berikut adalah beberapa perkara yang anda boleh pertimbangkan:

  • Perkenalkan serat ke dalam dietnya – ini bermakna anak anda perlu mengambil diet seimbang termasuk bijirin penuh, buah dan sayur. Panduan Diet Malaysia untuk Kanak-kanak dan Remaja menyarankan dua sajian buah dan dua sajian sayur bagi kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun. Anda boleh memberi anak anda lebih banyak bijirin penuh atau roti bijirin penuh, beras perang, bijirin tinggi bran, dan biskut tinggi serat. Kekacang, legum dan kacang juga sumber serat yang baik.
  • Tingkatkan pengambilan air – pastikan anak anda minum air secukupnya, terutama apabila dia aktif atau tidak sihat – kanak-kanak berusia di antara 2-3 tahun perlu minum 1-2 gelas air kosong sehari, manakala kanakkanak berusia empat tahun ke atas harus minum 6-8 gelas sehari. Ingat, ini hendaklah diamalkan setiap hari dan bukan hanya ketika mengalami sembelit sahaja.

    boy-drinking-water

  • Galakkan “masa ke tandas” yang tetap – ajar dan galakkan anak anda untuk menggunakan tandas secara tetap. Anda mungkin perlu menjadualkan waktu khas setiap hari untuk anak anda membuang air besar (contohnya, selepas setiap waktu makan). Ini boleh dilakukan dengan cara membiarkan dia duduk di atas tandas buat beberapa minit, sekali atau dua kali sehari. Puji anak anda jika dia membuang air besar tetapi jangan menghukumnya jika dia tidak membuang air besar.
  • Bersabar dan bertimbang rasa – anda perlu bersabar semasa melatih anak anda untuk ke tandas. Hadapilah dengan tenang jika dia “terbuang air besar” kerana ia tidak disengajakan. Ini merupakan proses pembelajaran baginya dan tidak seharusnya menjadi satu masalah.

Tahukah anda?

Mikrobiota usus anak anda menjadi mantap dalam beberapa tahun pertama kehidupannya dan beransur-ansur menjadi lebih pelbagai apabila dia semakin membesar. Terdapat banyak bukti baru yang menunjukkan bahawa ketidakseimbangan mikrobiota usus boleh mengakibatkan beberapa jenis penyakit. Ini dapat dicegah dengan memastikan beberapa aspek mikrobiota usus dijaga, contohnya dengan menambahkan prebiotik dan probiotik ke dalam diet. Dengan yang demikian, kesihatan anak anda boleh dikekalkan atau dipertingkat ketika sesuatu penyakit yang sedang dialaminya sedang dicegah atau dirawat.

Prebiotik membantu meningkatkan bilangan bakteria dan membantu usus mengekalkan keupayaan mengikat air osmosis. Dengan cara ini, berat najis anak anda akan meningkat serta memastikan ia lembut dan boleh melegakan sembelit kanak-kanak.

Jangan lupa untuk memastikan agar dia dapat melakukan sekurang-kurangnya satu jam aktiviti berintensiti sederhana setiap hari (seperti berjalan pantas atau berbasikal) kerana ini membantu memperbaiki pergerakan makanan melalui sistem penghadaman.

Ingat, mengamalkan tabiat pemakanan secara sihat dan mendapat senaman fizikal secukupnya adalah satu-satunya strategi yang berkesan mencegah masalah sembelit daripada berlaku.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen