Pengasuhan Positif

Susu Untuk Anak Anda Yang Sedang Membesar

Dari sudut pemakanan, pemakanan yang mencukupi adalah kritikal untuk kesihatan dan perkembangan kanak-kanak. Adalah di ketahui umum bahawa tempoh bermula dari sejak lahir sehingga usia dua tahun merupakan “jendela kritikal” dalam menggalakkan pertumbuhan optimum, kesihatan dan perkembangan tingkah laku. Sebagaimana yang kita ketahui, susu ibu merupakan sumber susu paling semula jadi dan penuh berkhasiat yang diperlukan bayi sebagai sumber khasiat ketika awal kehidupannya. Panduan Diet Malaysia menyarankan agar anda mengamalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif pada enam bulan pertama kehidupan bayi anda, dan meneruskannya sehingga dia berusia dua tahun.

Keperluan yang semakin meningkat

Apabila anak anda semakin membesar, dia akan berhenti daripada disusui ibu. Anak anda digalakkan mengambil diet yang seimbang dan pelbagai dalam kuantiti yang mencukupi. Panduan Diet Malaysia bagi Kanak-Kanak dan Remaja menyarankan agar susu dan hasil tenusu diambil setiap hari sebagai sebahagian daripada diet harian. Susu dan hasil tenusu merupakan sumber bagi nutrien penting seperti protein, beberapa mineral (contohnya kalsium, zink, magnesium dan kalium), beberapa vitamin (contohnya vitamin A,B2, B3, B12 dan D). Oleh yang demikian, makanan-makanan ini boleh membekalkan nutrien-nutrien yang diperlukan untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

young-girl-drinking-milk

Apabila anda berkunjung ke kedai serba guna atau pasaraya terdekat, anda akan dapat lihat pelbagai jenis susu yang berbeza, seperti yang dinyatakan. Oleh itu, bagaimanakah anda hendak membezakan setiap jenis susu? Perkara pertama yang anda perlu ingat ialah keperluan pemakanan anak anda berubahubah sejajar pertumbuhannya. Anda boleh lihat nutrien yang terdapat dalam setiap jenis susu dengan membaca panel maklumat pemakanan pada label produk susu tersebut.

Jenis-jenis susu

Memahami setiap jenis susu yang terdapat di pasaran boleh membantu anda membuat pilihan yang bersesuaian:

Susu segar

susu ini diambil daripada lembu, kambing dan biri-biri. Ia perlu dididihkan dahulu sebelum diminum. Susu segar mengandungi 3% lemak susu.

Susu terpastur

sebenarnya ialah susu segar yang telah melalui rawatan haba. “Susu segar” yang anda nampak di rak-rak pasaraya sebenarnya adalah susu terpastur. Susu terpastur hendaklah disimpan di dalam peti sejuk dan diminum dalam beberapa minggu.

Susu UHT

juga adalah susu yang dirawat dengan haba, tetapi suhu yang digunakan adalah sangat tinggi dan rawatannya hanya untuk beberapa saat. Setelah dibuka, susu UHT boleh disimpan pada suhu bilik lebih lama daripada susu terpastur. Kandungan nutriennya adalah sama seperti susu terpastur.

Susu berperisa

adalah susu terpastur atau susu UHT yang ditambah dengan bahan perisa, contohnya perisa coklat. Susu berperisa lazimnya mengandungi lebih banyak gula berbanding susu tidak berperisa.

Semak fakta mengenai susu kambing

Anda mungkin pernah dinasihatkan untuk menggunakan susu kambing sebagai alternatif kepada susu lembu. Sebelum anda membuat keputusan, anda harus menyemak fakta mengenai susu kambing terlebih dahulu. Anda harus sedar bahawa susu kambing yang tidak diproses atau dimodifikasi tidak sesuai untuk bayi kerana kandungan protein dan mineralnya yang tinggi serta kandungan folatnya yang rendah daripada susu lembu. Tambahan pula, susu kambing tidak mempunyai kandungan nutrien yang lebih daripada susu lembu. Ia juga tidak mengurangkan potensi untuk menyebabkan alahan kepada bayi yang mempunyai ketidakhadaman laktosa. Jika anda tidak pasti mengenai susu yang anda beri atau merancang untuk memberi susu kambing kepada anak anda, dapatkan nasihat pakar pediatrik anda.

Susu tepung penuh krim

ini adalah susu yang telah dikeringkan dan ditukar menjadi tepung. Jika susu tepung dicampurkan dengan air dalam sukatan yang betul, minuman susu yang mempunyai nilai pemakanan yang sama seperti susu segar atau susu terpastur dapat disediakan.

Susu rendah lemak

susu yang mana sebahagian kandungan lemaknya telah dikeluarkan supaya mengandungi tidak lebih daripada 1.5% lemak susu.

Susu skim

susu yang mana hampir kesemua lemaknya telah dikeluarkan supaya hanya mengandungi tidak lebih daripada 0.5% lemak susu. Ia juga dikenali sebagai susu tanpa lemak.

Kesemua jenis susu yang disebutkan di atas boleh diberi kepada kanak-kanak kecuali susu rendah lemak dan susu skim. Susu rendah lemak dan susu skim boleh digunakan oleh orang dewasa yang berlebihan berat badan dan ingin mengurangkan pengambilan lemak. Susu tersebut tidak seharusnya diberi kepada kanak-kanak kecil memandangkan mereka memer lukan lemak dan vitamin larut lemak yang boleh didapati di dalam susu biasa.

Tahukah anda?

Susu pekat manis dan susu isian pekat manis tidak dianggap sebagai susu sebenar kerana nilai pemakanannya rendah dan kandungan gulanya tinggi. Jangan galakkan anak anda mengambilnya.

milk-bottle-cartoon-strong

Produk tenusu lain

Penting untuk ambil perhatian bahawa pengambilan produk tenusu lain seperti keju, susu berkultur dan yogurt juga membekalkan anak anda dengan nutrien yang diperlukannya.

Salah tanggapan

Terdapat beberapa mitos tentang susu yang ibu bapa harus tahu:

Mitos: Kanak-kanak yang menghidapi intolerans laktosa harus mengelakkan susu/produk tenusu sepenuhnya.

Realitinya: Lazimnya, kanak-kanak yang menghidapi intolerans laktosa boleh mengambil sedikit susu/produk tenusu. Malah, kini terdapat susu bebas laktosa. Bagi mengurangkan sebarang ketidakselesaan, susu/ produk tenusu boleh diambil semasa waktu makan utama, dalam kuantiti yang kecil, atau pilih produk tenusu yang difermentasi seperti yogurt atau keju.

anchovies

Mitos: Sumber kalsium hanyalah daripada susu lembu.

Realitinya: Terdapat banyak makanan yang kaya dengan kalsium seperti ikan kecil yang dimakan dengan tulangnya (seperti, ikan bilis dan sardin), sayur berdaun hijau (seperti bayam, brokoli, kailan), legum (kacang soya, kacang kuda).

calcium-sources

Mitos: Susu mengandungi kolesterol dan tidak boleh diberi kepada kanak-kanak.

Realitinya:: Walaupun makan secara sihat adalah matlamat anda, anak anda (terutamanya jika dia berusia di bawah dua tahun) mempunyai keperluan pemakanan yang berbeza berbanding orang dewasa yang biasanya bertumpu kepada mengurangkan jumlah lemak, lemak tepu, lemak trans, dan kolesterol. Lemak dalam susu penuh krim merupakan nutrien penting yang akan membekalkan anak anda dengan tenaga, atau kalori, yang diperlukan untuk pertumbuhan, maka lemak dalam susu tidak harus terlalu dihadkan.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen