Pengasuhan Positif

Pengasuhan dan Gajet: Kebaikan dan Keburukan

Sebagai ibu bapa, anda mungkin mendapati bahawa kehidupan moden datang dengan pelbagai faedah dengan adanya gajet. Namun, sebelum anda mula terlalu bergantung kepada kegunaan gajet, anda perlu menimbangkan kebaikan dan keburukannya.

Malah, Steve Jobs sendiri dikenali sebagai seorang ‘bapa teknologi rendah’ yang tidak membenarkan anak-anaknya menggunakan sebarang gajet pada hari persekolahan dan mengenakan batasan tegas pada hari minggu. Ini bukan satu cara pengasuhan yang terpencil memandangkan ramai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi lain juga mengenakan peraturan ‘tiada gajet ’ kepada anak-anak mereka. Baru-baru ini, Taiwan juga meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak berusia kurang dari 2 tahun menggunakan gajet eletronik, manakala kanak-kanak di bawah 18 tahun hanya dibenarkan menggunakan gajet bagi tempoh masa yang tertentu yang munasabah.

Di sini, kita meneliti kebaikan dan keburukan membenarkan si kecil anda mengendalikan gajet.

Membezakan di antara yang baik dan buruk

Penggunaan gajet (contohnya telefon pintar, komputer riba, dll) memberi faedah jika digunakan untuk tujuan pendidikan. Di antara kebaikannya termasuk

  • Memberi rangsangan kepada deria-deria anak anda dan imaginasi melalui beberapa aplikasi kreatif.
  • Membantu menggalakkan deria auditori dengan melatih kebolehan mendengar, contohnya dengan cerita-cerita.
  • Menggalakkan koordinasi halus mata-tangan melalui sesuatu permainan yang menjadikan anak anda celik komputer.

Namun, seperti semua perkara dalam kehidupan, perkara yang baik boleh menjadi keterlaluan. Penggunaan gajet yang keterlaluan boleh membuat anak anda terlalu bergantung kepada gajet, dan dalam keadaan yang lebih ekstrem, menjadi ketagih. Keadaan menjadi lebih teruk jika ibu bapa menggunakan gajet sebagai ‘pengasuh digital’ dan tinggalkan anak mereka berseorangan bersama gajet dalam erti kata sebenarnya! Malah Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) menyarankan agar ibu bapa menghadkan masa menonton skrin kepada kurang dari satu hingga dua jam sehari bagi kanak-kanak, manakala kanak-kanak bawah dua tahun langsung tidak digalakkan menonton skrin.

Di antara keburukan yang telah dikenalpasti mungkin berlaku termasuk:

  • Gajet membantu dalam pembelajaran, namun tidak menggalakkan pembelajaran inovatif – terlalu bergantung kepada gajet dari sejak kecil boleh membantutkan kreativiti anak anda dalam mencari penyelesaian bagi masalah kerana dia terlalu dimanjakan dengan maklumat. Tambahan pula, kebanyakan aplikasi pendidikan hanyalah versi yang ditambah baik daripada versi perintis sebelumnya, iaitu aplikasi kamus, dan buku elektronik.
  • Tidak menggalakkan perbualan/berinteraksi di antara anda dan anak anda – perhubungan digital boleh menyebabkan terputusnya hubungan di antara anda dan anak apabila dia terlalu asyik dengan gajetnya. Jangan lupa, elemen interaksi kemanusiaan di antara anak anda dan anda adalah sesuatu yang harus dihargai; jangan biarkan gajet menjadi penghalang di antara anda berdua.
  • Boleh menyebabkan gangguan tidur – anak anda perlu tidur selama 12 jam setiap hari untuk membolehkan dia membesar dengan sihat. Gangguan tidur berlaku jika dia menggunakan gajet sebelum tidur, atau jika dia berada di dalam bilik yang sama ketika anda menggunakan gajet – telah terbukti bahawa cahaya yang bersinar dari skrin gajet boleh mengganggu tubuh yang sedang bersedia untuk tidur.
  • Menggalakkan gaya hidup sedentari – tidak kira betapa seronok atau merangsangkan gajet tersebut, ia tidak menggalakan anak anda untuk menjadi aktif secara fizikal. Anak anda perlu menggabungkan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal setiap hari untuk membina otot yang kuat dan membesar dengan sihat. Selain itu, jika dia membentuk tabiat yang cenderung kepada gaya hidup sedentari sejak dari kecil, dia akan menghadapi risiko lebih tinggi terhadap obesiti.

Berhati-hati dan Sentiasa Beringat

Adalah mustahil untuk melarang anak anda daripada mengguna peranti. Jika dia tidak dapat menggunakan peranti di rumah, kemungkinan dia akan mencari jalan menggunanya di tempat lain, iaitu rumah kawan. Cara terbaik yang anda boleh lakukan ialah mengajar anak anda menggunakan peranti dengan bertanggung jawab.

Beberapa tip bagaimana anda boleh menggalakkan penggunaan peranti secara sihat termasuk:

  • Mengenakan peraturan penggunaan gajet yang tegas, contohnya, tidak boleh gunakan gajet di meja makan, memasang penentu masa pada gajet untuk mengawal jumlah masa yang digunakan (termasuk kekerapan dan tempoh anak anda dibenarkan menggunakannya, tidak kira sama ada bermain permainan, menonton, dll).
  • Memantau aplikasi/permainan yang anak anda gunakan – anda perlu sentiasa lihat kembali sepintas lalu aplikasi/permainan untuk memastikan kesesuaian kandungannya. Kehadiran begitu ramai pemain lain dalam talian atau massively multiplayer online role-playing games (MMORPGs) merupakan aspek penggunaan internet yang perlu dikawalselia untuk memastikan masa yang diluangkannya pada aplikasi/pemainan tersebut dihadkan.
  • Jangan membiarkan anak kecil melayari internet tanpa penyeliaan – tidak semua maklumat yang terdapat dalam talian adalah mesra kanak-kanak. Oleh itu, anda perlu lebih berwaspada. Jika anda tidak memantau anak anda sendiri, gunakan pelayar mesra kanak-kanak(contohnya ,KidZui Browser).
  • Sentiasa pastikan anda berkomunikasi setiap masa dengan anak anda mengenai gajetnya. Biarkan dia berkongsi pendapat mengenai apa yang dirasai. Dengan cara demikian, anda akan mendapat komunikasi dua hala yang membolehkan anda berhubung lebih baik dengan anak anda.

Memimpin melalui teladan!

Tidak boleh dinafikan bahawa gajet mempunyai banyak faedah kerana lazimnya penggunaan gajet melibatkan pembelajaran. Namun, sebagai ibu bapa, amat kritikal untuk anda memahami peranan anda dalam menentukan persekitaran dan menjadi teladan kerana anak anda akan mengikut jejak anda dalam penggunaan gajet.

Selain itu, cara anda sebagai ibu bapa mengendalikan peraturan penggunaan gajet juga akan mencerminkan sama ada wujudnya dwistandard. Seringkali, ramai ibu bapa tidak mengamalkan apa yang mereka katakan dan ini menyebabkan anak berasa tidak senang kerana berasa bahawa ibu bapa menyalahguna kuasa mereka. Cara pengasuhan “lakukan seperti yang saya katakan, bukan seperti saya lakukan” adalah bermasalah kerana cara ini melemahkan kuasa anda, dan secara tidak langsung mengajar anak anda bahawa dia tidak perlu mengikuti peraturan apabila dia dewasa nanti

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen