Pengasuhan Positif

Galakkan Anak Anda Bergerak

Sebagai ibu bapa, kesihatan anak anda harus menjadi keutamaan paling tinggi. Satu aspek penting tetapi kerap diabaikan ialah memastikan anak anda mendapat aktiviti fizikal yang cukup setiap hari. Jenis aktiviti fizikal yang dimaksudkan ialah aktiviti fizikal di luar rumah dan bukan di dalam rumah. Terdapat kajian yang mengaitkan aktiviti fizikal dengan daya tumpuan dan tidur yang lebih baik, yang akhirnya akan memberi kesan kepada pembelajaran yang lebih baik dalam kalangan kanak-kanak.

Tahukah anda?

Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan agar kanak-kanak meluangkan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana setiap hari dan sebaik-baiknya dalam persekitaran yang selamat di luar rumah. Kanak-kanak melakukan aktiviti fizikal dalam jangka masa yang pendek tetapi berulang kali, maka adalah lebih praktikal untuk mengumpulkan masa melakukan aktiviti fizikal sepanjang hari.

Faedah aktiviti fizikal

Aktiviti fizikal secara tetap boleh memberi anak anda pelbagai faedah seperti membantunya menguatkan otot dan tulang, mengurangkan risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD seperti penyakit jantung, diabetes, dan kanser), lebih mudah untuk tidur, dan juga membuatnya lebih bermotivasi dalam akademik.

Sebaliknya, peningkatan risiko seseorang terhadap NCD adalah disebabkan oleh gaya hidup yang tidak aktif. Sehubungan dengan itu, adalah munasabah untuk memupuk tabiat melakukan aktiviti fizikal secara tetap sebagai sebahagian daripada rutin anak anda dari awal kehidupannya agar dia berterusan menjadi aktif apabila dewasa.

Kajian juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang aktif secara fizikal lebih cenderung kepada prestasi akademik yang lebih baik. Selain itu, kanak-kanak yang aktif secara fizikal juga mendapat manfaat daripada lonjakkan perkembangan kognitif dan fizikal, serta penambahbaikan kesejahteraan sosial dan emosi.

Galakkan anak anda untuk aktif secara fizikal sekurang-kurangnya satu jam atau lebih setiap hari. Ia tidak perlu dilakukan dalam jangka masa yang berterusan tetapi boleh dikombinasikan dalam beberapa aktiviti. Terdapat banyak pilihan, bermula dengan permainan/sukan tidak berstruktur, seperti berjalan kaki bersama keluarga atau bermain permainan aktif (contohnya, badminton, kejar-kejar, dll). Sebagai alternatif, anda harus memberikan pertimbangan sewajarnya sebelum membelikan anak anda apa-apa alat permainan atau gajet – sebaliknya, belikan anak anda sesuatu yang menggalakkan aktiviti fizikal (contohnya, basikal, papan luncur, raket badminton, dll).

Perkara penting yang perlu difikirkan

Terdapat banyak faedah yang boleh didapati daripada aktiviti fizikal yang tetap, jadi bagaimanakah boleh anda menggalakkan anak anda untuk melakukannya? Berikut adalah beberapa tip:

family-tug-of-war

  • Pilih aktiviti yang sesuai – untuk umur dan keupayaannya – pastikan anda memilih aktiviti yang sesuai dengan umur, tahap perkembangan, dan keupayaan fizikalnya. Kuncinya ialah untuk memastikan anak anda sedar bahawa aktiviti fizikal itu menyeronokkan agar dia bersemangat untuk melakukannya. Jika tidak, dia mungkin bosan atau kecewa dan enggan mengambil bahagian.
  • Bataskan waktu menonton skrin – (contohnya TV, permainan komputer, dll) – sebaliknya, pastikan anda menggalakkan anak anda untuk bermain permainan yang berbentuk fizikal, seperti futsal atau badminton. Namun, anda perlu menjadi teladan! Jika anda mengamalkan gaya hidup yang aktif, anak anda secara semula jadinya akan tertarik dan mengikut jejak anda.
  • Luangkan masa untuk aktiviti fizikal – anda mungkin perlu mengorbankan masa anda sendiri untuk memberi anak anda peluang untuk menjadi aktif. Pastikan anda tidak mengatur jadualnya terlalu padat dengan kelas-kelas tambahan sehingga tiada masa untuk dia melakukan beberapa permainan tidak berstruktur.
  • Peralatan yang betul untuk kerja yang betul – sesetengah aktiviti/sukan mungkin juga memerlukan peralatan dan tempat yang sesuai (contohnya, untuk bermain futsal, anak anda memerlukan pakaian dan kasut sukan yang sesuai, sebiji bola, dan padang futsal).
  • Jangan keterlaluan – pastikan anda mengajar anak anda untuk mengenali tubuhnya; jika dia berasa sebarang kesakitan atau aktiviti yang dilakukannya terlalu berat, dia harus memperlahankan atau berhenti melakukan aktiviti tersebut. Anda mungkin perlu memantau anak anda pada awalnya sehinggalah anda pasti yang dia sudah biasa dengan tubuhnya sendiri.

Utamakan keselamatan

Tidak kira jenis apapun aktiviti fizikal yang anda galakkan untuk anak anda, sentiasa pastikan keselamatannya menjadi keutamaan. Selain daripada mempunyai peralatan keselamatan (contohnya, topi keledar, pad pergelangan tangan/lutut, dll) tempat bermain juga perlulah selamat (iaitu berbasikal harus di taman/ trek basikal dan bukan di jalan besar). Jika anak anda mempunyai kecacatan, sila berjumpa pakar pediatrik terlebih dahulu untuk menentukan jenis aktiviti fizikal yang sesuai.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen