Pengasuhan Positif

Pilihan Terbaik dalam Membesarkan Anak

Sebagai ibu bapa, permulaan yang baik untuk anak anda bermula daripada penyediaan pemakanan yang sempurna dan pendidikan yang cemerlang. Namun, gaya hidup moden kita terlalu menekankan tentang membesarkan kanak-kanak yang cemerlang sama ada dalam sukan, pelajaran, atau kedua-duanya sekali! Keadaan ini lazimnya menyebabkan kurang perhatian diberi kepada dua lagi aspek lain yang sangat penting namun selalu tidak dipedulikan – khususnya kemahiran sosial dan kesejahteraan emosi mereka. Kedua-dua aspek tersebut adalah sama penting memandangkan ia amat berguna apabila dewasa.

Keibubapaan bukanlah satu tugas yang mudah, dan maklumat-maklumat baharu kerap timbul dan membuatkan anda mula meragui cara pengasuhan anda. Namun, bukan semua cara anda itu salah – ingatlah bahawa asas pengasuhan ialah kasih sayang.

Bacalah seterusnya untuk mengetahui cara anda boleh membesarkan seorang anak yang seimbang dari segi sosial dan emosi.

Pada Permulaannya…

daripada Dr Rajini Sarvananthan, Consultant Developmental Paediatrician.

Hubungan yang paling penting dalam hidup anak anda adalah yang akan dibentuk dia dengan anda sebagai ibubapa dan orang lain seperti ahli keluarga dan/atau pengasuh. Hubungan inilah yang akan membentuk perkembangan sosial dan emosinya apabila dia besar. Asas sebarang hubungan ialah interaksi, dan anda perlu mencari jalan untuk berkomunikasi dan meluangkan masa berkualiti dengannya. Ini memudah dan mengukuhkan lagi hubungan anda, serta memperkuatkan ikatan di antara ibubapa dan anak.

mom-playing-with-baby

Ingatlah bahawa bayi juga bersifat sosial dan perlu meluangkan banyak masa berinteraksi dengan anda. Cubaannya untuk ‘bercakap’ dengan anda adalah semulajadi walaupun awalnya bayi akan bermula dengan mengagah atau membuat ekspresi muka dan gerak isyarat. Anda boleh tunjukkan yang anda sayang dan ambil berat tentangnya dengan memberi respons yang baik kerana ini akan membolehkan dia belajar mengenai komunikasi, tingkah laku dan emosi. Pada masa yang sama, anda juga akan membuat dia rasa selamat dan dilindungi sambil mengukuhkan hubungan anda dengannya.

Belajar dengan memerhati

Hubungan anda dengan orang lain juga akan mempengaruhi perkembangan anak anda. Dia sentiasa memerhatikan apa yang anda lakukan dan dia akan cuba mencontohi cara anda melayan orang lain (misalnya, pasangan anda, ahli keluarga, rakan-rakan dan pengasuh). Pada asasnya dia akan meniru bagaimana anda bertindak dan berinteraksi dengan orang lain, maka adalah penting untuk memberi anak anda persekitaran yang positif untuk menyediakan suasana yang betul bagi perkembangannya.

Ke alam petatih

dad-watching-child-walks

Dalam permulaan untuk membina hubungan dengan anak anda, anda harus memastikan bahawa anda sentiasa hadir untuk menyokong dan memberi dia galakan. Kehadiran anda adalah penting untuk memberinya keyakinan untuk menerokai dunia yang baru dikenalinya. Apabila dia membesar dan berkembang, anda perlu fokus kepada 5 perkara utama ini (empat yang pertama akan terus digunakan sehingga dia dewasa), khususnya:

  1. Sayangi anak tanpa belah bahagi – curahkan kasih sayang anda kepadanya. Jangan
    lupa untuk menyokong dan menerima anak anda seadanya. Jangan malu untuk menunjukkan kasih sayang secara fizikal dan meluangkan masa berkualiti bersamanya. Ini akan memberi kesan yang mendalam ke arah meningkatkan keyakinan diri dan kestabilan emosi anak anda.
  2. Benarkan dia membuat keputusan sendiri – mula dengan menghormati dan menggalakkan anak anda untuk berdikari. Benarkan dia membuat pilihan sendiri yang wajar (contohnya, “Anda mahu bermain bola atau buih?”) – ini akan membantu anak anda membesar sebagai orang dewasa yang mampu berdikari dan membuat pilihan sendiri.
  3. Kesihatan adalah kekayaan – Jadilah model peranan bagi gaya hidup yang sihat (contohnya, pemakanan yang sempurna, bersenam secara tetap, hadkan penggunaan peranti elektronik, dll) agar dia akan mengikuti jejak anda. Dengan peningkatan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit (contohnya, diabetes, penyakit jantung, hipertensi, dll), adalah penting bagi memulakan kehidupan dengan gaya hidup yang sihat bermula dari kecil.
  4. Keselamatan – ketika dia di bawah jagaan anda, sentiasa ambil langkah berjaga-jaga untuk melindunginya dan pada masa yang sama membolehkan dia menerokai dunia. Apabila dia besar, jangan hanya melindunginya daripada bahaya; didik dia mengenai apa yang dia perlu tahu untuk melindungi diri sendiri. Ambil peduli terhadap aktiviti-aktiviti yang dilakukannya dan kenali kawan-kawannya, namun jangan sehingga kelihatan seperti ingin mengganggu privasinya.
  5. Mengendalikan tingkah laku secara positif – memberi ganjaran adalah lebih baik daripada memberi hukuman – tumpukan harus diberikan kepada pengukuhan sikap secara positif. penggunaan hukuman harus menjadi pilihan akhir jika cara lain tidak berkesan. Anda juga harus menumpukan perhatian terhadap tingkah laku. Perkara penting yang perlu diingatkan ialah sebarang jenis hukuman TIDAK BOLEH SAMA SEKALI berbentuk fizikal.

Membesar dengan anak anda

Apabila dia membesar menjadi kanak-kanak petatih dan seterusnya, anda juga perlu mengembangkan koleksi kemahiran sosial/emosi anda. Berikut adalah beberapa tip untuk membantu anda membentuk seorang anak yang sempurna:

  1. Tumpukan pada kekuatan. Elakkan godaan untuk mengkritik! Cari sesuatu yang boleh dipuji untuk dibincangkan dan dari situ, berbincang tentang apa yang boleh diperbaiki tanpa menghina atau terlampau menghakimi.
  2. Bersikap adil jika menghukum. Berhati-hati agar anda tidak menjatuhkan hukuman ketika anda sedang marah, ia akan melemahkan kedudukan anda jika anda tidak memperkukuhkannya, atau jika anda beralah dan kemudian menghentikannya. Contohnya, jika anak anda melukis di dinding, pastikan dia membersihkan dinding tersebut (anda mungkin perlu menyelia); tetapi berhati-hati, jika dia seronok membersihkan dinding, dia mungkin akan mengulangi perbuatannya! Pesalah yang mengulangi perbuatannya mungkin perlu diberi hukuman tambahan seperti hilang sebahagian daripada masa menonton TV bagi hari tersebut.
  3. Jangan memalukan atau mengejeknya. Penggunaan label (contohnya, “Anda bodoh ke?!) dan
    mengkritik secara tidak adil atau sindiran boleh membuat dia berasa bersalah, dan jika dilakukan dengan kerap, akan menyebabkan dia hilang keyakinan diri. Lama-kelamaan, ia juga boleh merenggangkan hubungan diantara anda.
  4. Benarkan dia menyelesaikan masalahnya sendiri. Selagi ia tidak menjejaskan keselamatannya, tahan diri anda daripada cuba mengambil alih. Biarkan dia menyelesaikan masalahnya sendiri. Anda boleh memberi dia galakkan dengan menanyakan soalan atau memberi bayangan. Ingatlah bahawa kanak-kanak belajar dengan melakukan sesuatu dan membuat kesilapan, oleh itu dalam jangka masa panjang, anda tidak akan membantu jika anda mengambil alih setiap kali dia menemui jalan buntu.
  5. Sanggup untuk meminta maaf. Jika anda yang membuat kesilapan, minta maaf dan dengan tenang beritahu anak anda apakah maksud anda. Ini akan menunjukkan kepadanya bahawa tidak salah untuk mengaku kesilapan dan apa yang perlu dilakukan jika dia berada dalam situasi yang sama.

Kesedaran diri anak anda adalah penting

Untuk membesarkan seorang anak yang sempurna, anda juga perlu membantu dia membina harga diri. Harga diri adalah penting terutamanya apabila anak anda mula bersekolah kerana dia akan belajar dengan lebih baik jika dirinya rasa dihargai dan dihormati. Ini adalah asas pembelajaran sosial dan emosi, di mana secara ringkasnya bermaksud yang anak anda akan mendapat kemahiran mengenali dan mengendalikan emosinya, menunjukkan kasih sayang dan mengambil berat terhadap orang lain. Dia akan membesar sebagai orang dewasa yang akan mempunyai hubungan positif dan mengatasi situasi yang mencabar dengan berkesan.

kid-superhero

Pada asasnya terdapat lima perkara teras yang perlu diberi perhatian, khususnya:

Kesedaran Kendiri:

Bantu anak anda untuk mengenalpasti dan mengenali emosi. Jangan takut untuk berbincang mengenai perkara sulit dan intim dengannya untuk menerokai pemikiran dan/atau perasannya dan yang penting sekali, jangan menilai! Anda juga perlu bekerja rapat dengan anak anda untuk mengenali kekuatan dan untuk mengetahui keperluan serta nilai-nilainya. Galakkan anak anda untuk menyimpan jurnal atau diari sebagai satu cara meningkatkan kesedaran dan refleksi kendiri.

Pengurusan Kendiri:

Ini melibatkan pengawalan gerak hati, mengawal stres, dan dorongan diri serta disiplin. Kemahiran insani lain yang diperlukan termasuk kemahiran menetapkan matlamat dan kemahiran organisasi. Namun, sebelum itu, anda perlu mengajar anak anda bagaimana untuk mengendalikan emosinya agar ia dapat membantu dan bukan menghalang apa yang sedang anak anda lakukan. Satu cara adalah dengan menggunakan keadah“bercakap sendiri” untuk memberi galakan kepada dirinya. Anak anda juga harus mempelajari apa yang membuat dia marah dan susah hati, dan mengetahui bagaimana untuk mengatasinya.

Kesedaran Sosial:

Anda perlu membimbingnya mempelajari bagaimana untuk melihat dari perspektif orang lain. Ajar dia untuk menghargai kepelbagaian, dan bersifat empati serta menghormati orang lain. Pastikan dia menggalakkan kawan-kawannya untuk berkongsi bersama pendapat mereka mengenai sesuatu isu. Dia harus mencari setiap peluang untuk bekerjasama dan terlibat dengan rakan sebaya dalam aktiviti-aktiviti usaha sama (permainan, perbincangan, dll).

Kemahiran Hubungan:

Ajar anak anda bagaimana untuk berkomunikasi dengan berkesan; ini merupakan asas membina sebarang jenis hubungan dan untuk bekerjasama dengan orang lain secara berkesan. Kemahiran berunding dan menguruskan konflik juga adalah penting dan anda harus mengajar anak anda bagaimana untuk mengatakan tidak.

Membuat Keputusan dengan Bertanggungjawab:

Untuk membuat keputusan yang ‘baik’, dia perlu mengetahui bagaimana untuk mengenali masalah yang bakal dihadapi dan menganalisis situasi. Paling penting, dia mesti juga mempelajari bagaimana untuk bertanggungjawab ke atas sebarang keputusan yang dibuat.

Respon Andalah yang Membentuk Anak Anda

Sebagai ibu bapa, bagaimana anda respon kepada keperluan atau desakan anak anda akan membentuk persepsi dan tindak balasnya. Kanak-kanak mempunyai lima keperluan asas emosi dalam kehidupan, khususnya keperluan untuk dihormati, untuk rasa penting, untuk diterima, untuk tidak disisihkan dan untuk rasa selamat. Apabila keperluan-keperluan tersebut dipenuhi, ia memberi anak anda asas yang stabil untuk berjaya dalam kehidupan, seperti kejayaan akademik, pekerjaan dan perkahwinan/hubungan. Sebaliknya, kegagalan untuk mengenali dan memenuhi keperluannya akan merosakkan anak anda dan masa depannya.

parents-encouragement

Keperluan untuk Rasa Dihormati

Semua kanak-kanak perlu untuk rasa dihormati, dan anak anda tidak terkecuali. Untuk ia berlaku, anda harus menghormatinya. Apabila anda berurusan dengan anak anda, anda hendaklah bertimbang rasa, memberi perhatian dan berbudi bahasa, seperti mana anda menghormati orang lain. Tiada cara yang lebih baik untuk mengajar anak anda mengenai rasa hormat selain daripada memberi penghormatan yang sama kepadanya.

Anda perlu lebih berhati-hati dengan sebarang tingkah laku anda terhadapnya dan juga terhadap orang lain, amnya. Ini termasuk mengelakkan sindiran yang mengecil-ngecilkan, kurangkan menjerit, belajar untuk mengawal kemarahan dan ketidaksabaran, jangan berbohong, lebih mendengar dan kurang bercakap, kurang memberi arahan (sebaliknya, lebih banyak memberi cadangan/permintaan), dan jangan lupa untuk menggunakan ‘perkataan ajaib’ anda (tolong, terima kasih, maafkan saya).

Keperluan untuk Rasa Penting

Perasaan diperlukan membantu anak anda mengesahkan harga dirinya. Dia perlu diyakinkan bahawa anda menghargainya, dia mahu rasa berguna kepada orang lain. Sebagai ibu bapa, anda perlu tahu bila untuk membenarkan mereka melakukan sendiri sesuatu perkara. Anda tidak perlu menjadi ibu/bapa luar biasa dan menyelesaikan setiap masalah, membuat setiap keputusan, melakukan segala tugasan, atau mengawal segala-galanya yang berlaku berkaitan anak anda.

Libatkan anak anda! Minta pendapatnya, berikan dia tugasan, dan benarkan dia sama-sama membuat keputusan (contohnya, ke mana hendak pergi bagi percutian keluarga yang seterusnya). Anda masih memberi kata putus, tetapi penglibatan anak anda dalam proses keputusan tersebut memberi dia kedudukan dan penghargaan. Ini membolehkan dia membina rasa dihargai dengan cara yang konstruktif.

Keperluan untuk Rasa Diterima

Anak anda perlu rasa diterima seadanya – dia adalah unik dan harus diperlakukan sedemikian. Dia mempunyai hak kepada perasaan dan pandangannya sendiri. Jangan jatuh dalam perangkap di mana anda mengambil ringan, tidak mengendahkan, atau mengejek perasaan atau pendapatnya kerana ia merupakan satu bentuk penyisihan yang akan memusnahkan hubungan anda dengan anak anda. Anda tidak semestinya bersetuju dengan semua yang dia katakan, tetapi beri perhatian kepadanya apabila dia menyuarakan pandangannya. Anda boleh membincangkan bersama dan ini akan membina semangat keakraban dalam hubungan anda, sekaligus memperkukuhkannya.

Keperluan untuk Rasa Tidak Disisihkan

Sebagai sebahagian daripada keluarga, anak anda perlu rasa tidak disisihkan. Dia perlu rasa terlibat dengan apa yang berlaku dalam aktiviti kehidupan harian dan berhubungan. Pastikan anak anda berpeluang untuk mendapat pengalaman bersama sebagai sebuah keluarga dengan cara yang bermakna dengan mewujudkan peluang-peluang tersebut baginya. Akhirnya, anda akan mendapati bahawa hubungan kekeluargaan anda semakin rapat. Ia mungkin sesuatu yang mudah seperti membasuh kereta bersama, berkelah atau aktiviti di luar di mana semua orang berseronok bersama.

Keperluan untuk Rasa Selamat

Perkara terakhir yang diperlukan anak anda ialah untuk rasa selamat. Wujudkan persekitaran yang positif di mana anda menunjukkan kepada anak anda bahawa anda mengambil berat tentang satu sama lain, membolehkan dia menyuarakan dirinya dan didengari, menerima sebarang perbezaan/pencanggahan pendapat yang mungkin dialami dan menyelesaikannya secara konstruktif. Berikannya peluang yang saksama untuk melibatkan diri secara aktif di dalam keluarga (contohnya, membuat perancangan, membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan sebarang aktiviti keluarga).

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen