Pengasuhan Positif

Mengendalikan Sakit Telinga

Sakit telinga yang disebabkan oleh jangkitan lazimnya berlaku di antara usia enam bulan dan dua tahun. Namun ia boleh terus berlaku sehingga anak anda menjadi dewasa. Sakit telinga merangkumi ketidakselesaan ringan hingga ke kesakitan yang mencucuk, tidak tajam atau membakar di dalam atau di sekeliling telinga anak anda. Sakit telinga lebih kerap berlaku pada kanakkanak berbanding orang dewasa memandangkan kanak-kanak mempunyai tiub Eustachian yang lebih pendek serta sempit dan juga lebih lembut yang sukar dibuka (tiub Eustachian menyambung secara fizikal tekak ke telinga tengah), serta sistem imun yang kurang berkesan.

Kesakitan atau ketidakselesaan akibat sakit telinga boleh dialami setiap masa, atau mungkin sekejap-sekejap. Ia juga boleh berlaku pada sebelah telinga, atau kedua-dua belah sekali. Terdapat banyak punca sakit telinga; ada yang menjejaskan telinga itu sendiri, manakala ada juga yang disebabkan oleh keadaan yang menjejaskan kawasan berdekatan dengan telinga.

PENTING!

Jika anak anda menghidapi leher kejang (dia tidak boleh meletakkan dagu pada dadanya), terdapat kebengkakan berwarna merah muda atau merah di belakang telinga, atau demam melebihi 40°C yang tidak reda dalam tempoh dua jam selepas mengambil ubat demam, maka pergilah berjumpa pakar pediatrik anda serta merta.

Punca lazim sakit telinga

Temasuk:

  • Tumbuh gigi.
  • Sakit tekak.
  • Perubahan tekanan udara (contohnya, menaiki kapal terbang atau melalui kawasan berbukit/bergunung ganang).
  • Pengumpulan cecair di dalam telinga tengah (kawasan belakang gegendang telinga). Juga dikenali sebagai telinga rekat, ia boleh menyebabkan kehilangan sedikit pendengaran pada telinga yang terjejas.
  • Jangkitan liang telinga (kawasan di luar gegendang telinga). Keadaan ini juga dikenali sebagai otitis externa dan boleh menyebabkan keradangan atau jangkitan pada kawasan luar telinga/liang telinga.
  • Bisul atau folikel rambut yang dijangkiti di dalam liang telinga.
  • Penyakit kulit boleh menyebabkan liang telinga menjadi radang. Ini termasuk keadaan seperti ekzema dan dermatitis seborea.
  • Kecederaan fizikal pada liang telinga. Boleh disebabkan oleh objek asing yang dimasukkan ke dalam liang telinga – walaupun penggunaan putik kapas boleh mencederakan dinding liang telinga yang sensitif.
  • Liang telinga tersumbat. Dalam bentuk tahi telinga atau objek asing yang bayi/kanak-kanak petatih letak ke dalam telinga dan menyumbatnya.
  • Jangkitan tekak, tonsilitis, dan selesema – boleh merebak ke telinga tengah, dan mungkin menyebabkan otitis media atau jangkitan telinga tengah.

baby-earache

Mengenali tanda-tanda

Beberapa tanda-tanda lazim yang menunjukkan bahawa bayi anda mungkin menghidapi sakit telinga termasuk:

  • Kelihatan panas dan rengsa
  • Enggan menyusu untuk bayi atau tiada selera makan bagi kanak-kanak
  • Menarik, meragut atau menggosok telinga yang dijangkiti
  • Masalah tidur (contohnya, keresahan pada sebelah malam)
  • Demam panas (melebihi 38°C)
  • Batuk dan hidung berair
  • Tidak boleh dengar bunyi seperti biasa
  • Masalah mengekalkan imbangannya (contohnya, jalan terhuyung-hayang, terhuyung-hayang apabila duduk/berdiri tegak, dll)

Tahukah anda?

Jangkitan telinga boleh berlaku sebagai satu jangkitan yang terpencil, namun boleh juga berulang setelah sembuh. Dalam keadaan ini, anda perlu lebih berhati-hati dalam penjagaan anak anda untuk memastikan jangkitan telinga tidak kerap berulang.

Sakit telinga boleh dirawat

Adalah penting bagi anda untuk berwaspada dan mengesan tanda-tanda sakit telinga lebih awal. Sakit telinga boleh dirawat, dan jika bertindak awal, tidak menyebabkan komplikasi jangka panjang. Penyebab lazim jangkitan telinga ialah selesama atau flu. Ia boleh menyebabkan tiub Eustachian anak anda bengkak, maka menghalang aliran udara ke telinga tengahnya. Jika anak anda mempunyai alahan, kesan yang sama juga akan dialami.

Jangkitan bakteria juga merupakan penyebab lazim sakit telinga, dan beberapa bakteria yang lazim di jumpai di dalam telinga tengah yang dijangkiti adalah bakteria yang sama yang menyebabkan sinusitis, pneumonia, meningitis, dan jangkitan saluran pernafasan lain. Anda boleh beri vaksin pneumokokus konjugat, iaitu vaksin yang diberi kepada bayi dan kanak-kanak petatih untuk mencegah komplikasi berbahaya seperti meningitis, pneumonia, dan bakteraemia yang disebabkan oleh bakteria pneumokokus.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen