Pengasuhan Positif

Penyakit Mental Remaja: Ketahui Fakta-Faktanya

Apa Itu Kesihatan Mental?

Untuk memahami penyakit mental, kita harus mengetahui dahulu apa itu kesihatan mental. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan mental sebagai kebolehan untuk merealisasikan potensi seseorang, dapat mengatasi tekanan dalam kehidupan, boleh bekerja secara produktif dan berfungsi untuk memberi manfaat kepada komuniti.

Remaja lebih bahagia bersama keluarga, dapat bersosial dengan lebih baik, boleh belajar dengan cemerlang, dan dapat menikmati pengalaman baharu jika mereka sihat dari segi mental. Beberapa tahun pertama di awal usia remaja inilah di mana kesihatan mental harus dipupuk dan pola keperibadian ditetapkan sebelum peralihan ke alam dewasa.

Adakah Ia Prevalen?

Penyakit mental muncul sebagai ancaman kesihatan yang serius di negara maju serta negara membangun. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (2011) menunjukkan bahawa kira-kira 1 juta (20%) kanak-kanak yang berumur di antara 5 hingga 16 tahun mengalami masalah kesihatan mental seperti kecacatan perkembangan, emosi dan gangguan tingkah laku.

Apa Dimaksudkan Dengan Gangguan Mental?

Gangguan mental adalah sekumpulan penyakit yang boleh menjejaskan anak anda secara psikologi. Hal ini dapat menghalang kemampuan mereka untuk fokus, berinteraksi, melakukan tugas-tugas asas atau menikmati kehidupan secara umum.

Jenis-jenis gangguan/ penyakit mental:

  • Gangguan Kebimbangan – Gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), Gangguan kompulsif obsesif (OCD)
  • Gangguan Emosi – kemurungan klinikal dan gangguan bipolar
  • Gangguan Psikotik – Skizofrenia
  • GangguanPemakanan – Bulimia dan anoreksia nervosa
  • Gangguan Perkembangan – Gangguan perhatian defisit / hiperaktif (ADHD)
  • Gangguan Tingkah Laku – Gangguan ingkar (ODD)
  • Kecacatan intelektual – Gangguan Spektrum Autisme (ASD)

angry-teen

Tanda-Tanda Penyakit Mental

Kebanyakan remaja yang mengalami penyakit mental menunjukkan perubahan mendadak dalam tabiat atau tingkah laku mereka. Perubahan ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau datang beransur-ansur. Antara gejala-gejalanya termasuk:

  • Pengasingan diri dan hilang minat terhadap orang lain.
  • Kemerosotan luar biasa dalam kebolehan, terutama di sekolah atau tempat kerja, seperti berhenti bersukan, gagal di sekolah atau kesukaran menjalankan tugas yang biasa dilakukan.
  • Bermasalah dengan tumpuan, memori, atau pemikiran logik dan pertuturan yang sukar untuk dijelaskan.
  • Kehilangan inisiatif atau keinginan untuk mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti.
  • Berasa seperti terputus hubungan dari diri sendiri atau persekitaran.
  • Hilang nilai kendiri.
  • Kebimbangan atau kecurigaan terhadap orang lain atau perasaan risau yang kuat.
  • Bersikap aneh.
  • Perubahan dramatik dalam waktu tidur dan selera makan atau kemerosotan dalam kebersihan diri.
  • Perubahan angin secara tiba-tiba.
  • Hilang berat badan dan selera makan.

Gejala-gejala ini bukanlah indikasi pasti bagi menunjukkan kehadiran gangguan mental. Tetapi ini adalah petunjuk yang kuat bagi anda untuk segera mendapatkan diagnosis dari pakar kanak-kanak, pakar psikologi atau psikiatri.

senarai-risiko-atau-penyebab-penyakit-mental

Punca Penyakit Mental Dalam Kalangan Remaja

Walaupun punca sebenar kebanyakan penyakit mental tidak diketahui dan mungkin berbeza dari seorang kanak-kanak dengan yang lain, penyelidikan menghuraikan bahawa kebanyakan keadaan ini mungkin disebabkan oleh interaksi di antara faktor-faktor biologi, psikologi, dan/atau persekitaran.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen