Pengasuhan Positif

Tubuh Sihat, Rasa Hebat!

Penulis terkenal Markus Zusak dalam bukunya, Aku adalah Utusan (I am Messenger) memberikan perumpamaan yang cukup baik. “Adakalanya seseorang itu cantik. Bukan pada paras rupa. Bukan dalam kata-kata. Tetapi kerana siapa diri mereka.” Bagi para remaja, ini mungkin sukar diterima. Apabila anak-anak kita menghampiri fasa matang, mereka semakin sedar tentang imej tubuh mereka. Imej tubuh merujuk kepada perasaan kita terhadap keadaan tubuh kita secara dalaman dan luaran, kebanyakan remaja walau bagaimanapun, lebih cenderung untuk fokus kepada imej luaran. Mereka ingin kelihatan cantik, sama ada ianya tentang berat badan, gaya rambut, lilitan perut, bisep, atau bibir yang munggil kesemuanya adalah mengenai pandangan orang lain terhadap mereka dan sama ada mereka ‘sesuai’ atau ‘boleh diterima’.

Kanak-kanak perempuan semuda 6 tahun mula lebih sedar tentang imej tubuh mereka dan mungkin tidak berpuas hati dengan tubuh mereka berbanding kanak-kanak lelaki. Keinginan untuk menjadi lebih kurus juga lebih ketara dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

Namun, terlalu obses dengan berat badan atau ketrampilan boleh mengganggu kesihatan fizikal dan mental anak anda jika dia berfikiran bahawa dia tidak setanding dari segi sosial. Akibatnya, perasaan negatif ini boleh mengurangkan harga dirinya, menyebabkan gangguan sosial dan dalam kes yang lebih teruk lagi, membawa kepada masalah gangguan pemakanan seperti anoreksia dan bulimia.

Maka, kita harus membantu anak-anak kita membina imej tubuh yang sihat dan positif. Imej tubuh positif bermaksud anak anda harus berasa senang dengan tubuh mereka sendiri seadanya, menghargai, dan menyukai kualiti dan keupayaanya yang unik. Ibu bapa boleh membantu anak mencapainya melalui beberapa cara:

Jadi ’role model’

Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Pepatah ini memang benar memandangkan salah satu model terawal dan paling berpengaruh ialah ibu bapa. Oleh itu, anda harus menunjukkan contoh yang baik dengan mengamalkan diet yang sihat, bersenam secara tetap dan menjalankan kehidupan yang sihat sebagaimana anda mahu anak anda juga lakukan.

girls-looking-pretty

Jadi positif

Terdapat ibu bapa yang berfikir bahawa tidak salah untuk berjenaka atau mengkritik tentang berat badan atau ketrampilan anak mereka di khalayak ramai. Ada ibu bapa yang cenderung memberi komen-komen negatif (contohnya, “Jangan risau, kita ada tong sampah, anak lelaki saya akan menghabiskan baki makanan, tiada makanan yang terbuang di dalam rumah ini!”) sebagai satu cara untuk menggalakkan anak mereka berubah. Ini hanya akan melukakan lagi hati anak (meskipun anda mungkin rasa ianya remeh) dan juga boleh menyebabkan trauma dan kesan psikologi jangka panjang kepada anak anda. Oleh itu, ubah cara anda, sebaliknya jadi lebih proaktif dan positif – beri kata-kata rangsangan, yakinkan mereka dan paling penting, pastikan mereka mengetahui bahawa anda menyayangi mereka seadanya.

father-advising-son

Berkomunikasi antara satu sama lain

Penting bagi kanak-kanak supaya mempunyai seseorang yang boleh diajak berbicara untuk meluahkan perasaan atau kebimbangan mereka. Berbincanglah mengenai perubahan perkembangan yang sedang berlaku dalam diri mereka mengikut perubahan umur mereka tetapi berbicaralah pada tahap yang mereka boleh kaitkan dan faham. Cuba untuk bersifat lebih empatik dan memahami situasi dari kaca mata mereka. Anda juga boleh ceritakan pengalaman anda mengenai imej tubuh semasa anda seorang remaja dahulu dan apa yang anda lakukan atau bagaimana perasaan anda ketika itu. Berbicara dengan anak anda juga membantu membina kepercayaannya terhadap anda dan mengukuhkan hubungan ibu bapa dan anak.

girl-drawing

Galakkan sikap positif

Tidak kira sama ada anak anda kurus atau gemuk, terlalu pendek atau tinggi, anda perlu sentiasa memberitahu mereka bahawa mereka harus berpuas hati dan bangga dengan tubuh mereka. Bina keyakinan mereka, ingatkan bahawa setiap orang berbeza dan unik dalam cara mereka tersendiri dan yang paling penting ialah siapa diri kita yang sebenar. Galakkan mereka melibatkan diri dengan kerja-kerja kesukarelawan, persatuan bantuan komuniti dan kumpulankumpulan sedemikian atau aktiviti yang membolehkan mereka membina perwatakan, karisma dan personaliti. Ia juga satu peluang untuk membina hubungan baru, berhubung dengan orang lain yang berbeza latar belakang dan juga membantu melonjakkan harga diri dan keyakinan serta menemui kualiti-kualiti diri yang mungkin mereka tidak pernah sedar wujud (contohnya kepimpinan, kemahiran memasak, suara yang lantang, kreativiti seni, dll.).

Ibu bapa perlu pastikan bahawa anak remaja mereka memahami bahawa imej tubuh luaran yang sempurna bukan segala-galanya tetapi imej tubuh yang positif dan sihat harus lebih digalakkan dan ditekankan. Pada permulaannya mungkin sukar, memandangkan terdapat banyak faktor yang tidak dapat dielakkan (rakan sebaya, media atau pengaruh masyarakat) yang menyumbang ke arah tertubuhnya konsep ‘tubuh yang sempurna’. Sehubungan dengan itu, tanamkan nilai-nilai yang anda ingin mereka kecapi dan didik mereka sejak dari kecil.

Dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen