Pengasuhan Positif

Mendisiplin Anak Anda; Tanpa Rotan

Cara mendidik anak telah banyak berkembang. Di zaman Victoria, kanak-kanak berpakaian dan dilayan seperti orang dewasa. Kanak-kanak yang nakal biasanya dihukum secara fizikal. Kanak-kanak juga tidak berhak untuk bercakap apabila berada di hadapan tetamu dewasa. Hari ini, kanak-kanak dikenali sebagai entiti tersendiri dan diberi keistimewaankeistimewaan tertentu. Ini termasuk hak untuk bermain, menghadiri sekolah untuk pendidikan formal dan baru-baru ini di sesetengah negara, perlindungan dari penderaan termasuklah daripada dipukul.

Sesetengah orang mungkin tidak menganggap pukul sebagai penderaan. Sebaliknya memukul dianggap sebagai cara untuk mendisiplin dan mendidik. Bagaimana kanak-kanak boleh didisiplinkan jika mereka tidak dipukul apabila ingkar? Bayangkan senario ini. Anda bekerja bawah seorang ketua yang mendesak anda untuk menurut semua arahan. Suatu hari, anda lewat tiga puluh minit pulang ke pejabat selepas makan tengahari. Apabila ketua mengetahui ketiadaan anda, dia menunggu di kubikel anda dan, apabila anda pulang, dia terus bertanya dengan suara yang tegas ke mana anda pergi. Dengan gugup anda menjawab bahawa anda terlewat kerana kesesakan lalu lintas. Kemudian, dia bertanyakan tugasan yang diberi kepada anda dan sekali lagi, dengan takut anda menjawab yang anda masih belum menyiapkannya. Sekarang, bayangkan jika ketua anda mengeluarkan rotan dan merotan belakang anda. Atau memukul anda dengan tangannya kerana anda telah menjawab balik dan tidak bertanggungjawab.

Anda seterusnya akan mengambil salah satu daripada tindakan berikut, samada membuat laporan polis bahawa anda telah didera secara fizikal atau menghantar surat perletakan jawatan dengan serta merta. Namun, senario inilah yang dialami oleh beribu-ribu kanak-kanak, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di banyak negara lain di seluruh dunia. Sedihnya, kebanyakan ibu bapa berasa bahawa ia adalah perkara biasa dan boleh diterima. Tidak ada seorang pun orang dewasa yang bersetuju akan jika mereka dipukul oleh ketua mereka, tetapi mengapa pula ramai yang berasa bahawa memukul seorang kanak-kanak bukan sahaja sesuatu yang boleh diterima, tetapi juga perkara yang betul dilakukan?

Pelajaran Daripada Dirotan

Tidak boleh dinafikan bahawa anak-anak memang menguji kesabaran kita, selalunya di saat tahap kesabaran kita paling rendah. Ia mungkin dalam bentuk pencapaian peperiksaan yang rendah, merosakkan barang-barang perhiasan, pergaduhan antara adik-beradik, tidak membuat kerja sekolah atau ketagihan ketara kepada permainan (permainan konsol, komputer, dll) namun merotan dan memukul tidak akan menyelesaikan semua masalah tersebut. Duduk dan berbincanglah bersama mereka dengan tenang untuk mencari penyebab utama masalah-masalah tersebut. Dalam jangka masa yang panjang, cara ini adalah lebih berfaedah.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak tidak membuat kerja sekolahnya, dan selepas disuruh melakukannya, dia dengan takut menjawab bahawa dia tertinggal kerja sekolahnya di sekolah. Atau seorang kanak-kanak yang menghabiskan kerja sekolahnya dengan tergesa-gesa supaya dia mempunyai masa untuk bermain permainan konsol atau komputer. Apakah yang dapat diselesaikan dengan memukulnya? Memukul hanya akan mengajar kanak-kanak itu untuk menipu apabila dia ditanya mengenai kerja rumah. Dia juga akan menghargai masa ibu bapa bekerja lewat di pejabat kerana dia berpeluang untuk bermain lebih lama. Pertanyaan mengenai sekolah dan rakan-rakan akan dijawab “baik” dengan muka yang muram. Akhirnya, hubungan antara anak dan ibu bapa akan menjadi suram.

Dalam kebanyakan keadaan, memukul hanya menjadi satu jalan keluar bagi “si pendera”, iaitu orang yang memukul. Ia tidak memberi sebarang pengajaran kepada kanak-kanak selain daripada mengajarnya bahawa memukul orang lain adalah perbuatan yang boleh diterima. Kajian menunjukkan bahawa hukuman fizikal merendahkan martabat dan mengaibkan kanak-kanak, dan menjadikan ia individu yang submisif atau terlalu menurut perintah. Hukuman dera memberi kesan yang buruk kepada pencapaian akademik anak-anak. Individu yang dipukul semasa kecil lebih cenderung membesar menjadi individu pendera, selalunya memukul pasangan dan anak-anak mereka sendiri. Sering kedengaran dalam masyarakat kita ibu bapa mewajarkan tindakan mereka memukul anak-anak dengan berkata “saya pun dipukul semasa kecil tetapi saya membesar dengan baik sahaja”.

report-card-f

Apakah yang dipelajari oleh seorang anak apabila dia dipukul kerana gagal dalam peperiksaan matematiknya? Bahawa dia tidak patut gagal lagi jika dia tidak mahu dipukul? Bagaimanakah caranya untuk dia mengelakkan kegagalan? Merotan tidak akan mengajarnya. Apa yang menyebabkan dia gagal? Jika dia mengetahui mengapa dia gagal, tindakan pemulihan dapat diambil. Walau bagaimanapun, oleh kerana dia hanya memahami bahawa kegagalan bermakna dia akan dirotan, dia lebih cenderung untuk mengatasi masalah ini dengan menipu atau menyembunyikan markah peperiksaan daripada ibu bapa. Ada juga mereka yang memalsukan tanda tangan ibu bapa atas kad kemajuan sekolah untuk mengelak daripada diketahui oleh ibu bapa.

Cara alternatif adalah dengan bertanyakan anak anda mengapa dia gagal apabila dia pulang ke rumah dengan markah yang rendah. Anda boleh berbincang bersama dalam keadaan yang tenang sambil minum minuman panas berbanding menjerit-jerit tentang berapa banyak wang yang telah dihabiskan untuk menghantarnya ke kelas tusyen. Ini akan membuat dia bersikap lebih terbuka dan mengakui mengapa dia gagal dan anda akan dapat mencari jalan penyelesaian. Kemungkinan besar, dia akan menunjukkan keputusan yang lebih baik pada peperiksaan akan datang.

Begitu juga, jika dia memecahkan pasu bunga di ruang tamu, memukul anak anda tidak akan mengembalikan pasu bunga tersebut. Ambillah pendekatan matang dengan duduk bersama anak anda dan terangkan kepadanya nilai pasu bunga tersebut (bukan sahaja nilai kewangan tetapi juga dari segi nilai emosi) dan jelaskan juga kemungkinan kecederaan yang boleh dialaminya. Dalam jangka masa panjang, cara ini dapat mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang. Ia juga masa yang sesuai untuk mengingatkan anak anda agar jangan berlari, melompat atau melontar barang di dalam rumah. Lagipun, jika pasangan kita memecahkan pinggan, adakah kita akan memukulnya?

Seorang anak yang dipukul berulang kali akan lebih menyepikan diri, menjadi agresif dan tidak mempercayai orang lain. Siapa lagi yang boleh dipercayai jika orang yang paling anda percaya di dalam hidup iaitu ibu bapa, menyakiti anda?

Mendisiplin Tanpa Merotan

Tidak memukul bukan bermakna kurang disiplin. Kata-kata boleh memberi kesan yang lebih mendalam dan berpanjangan berbanding merotan. Sebagai ibu bapa, pada peringkat awal lagi kita harus menentukan batasan-batasan dan apa yang dimaksudkan dengan tingkah laku yang baik dan yang buruk.

Apabila anak anda berperangai buruk, terangkan kepadanya apa yang dilakukan salah. Daripada menjerit “Tidak!” sekuat-kuat hati, beritahu anak anda mengapa tindakannya tidak boleh diterima. Apabila anak anda memanjat ke riba anda dan menekan kekunci komputer, termasuk butang tutup, dia bukanlah nakal tetapi hanya bersifat ingin tahu. “Apa benda ni yang lebih menghiburkan dan menarik minat ibubapaku lebih daripada mereka berminat dengan aku?”

disciplining-without-cane

Daripada menepis jari-jarinya atau membelikannya sebuah komputer riba, mungkin anda boleh memberi dia pelukan dan satu ciuman, tutup komputer anda dan luangkan sedikit masa bersamanya. Dengan cara yang lembut, beritahu anak anda bahawa komputer tersebut adalah kerja ibu atau bapa dan dia tidak dibenarkan untuk menyentuhnya. Membenarkan dia mengakses internet pada satu masa dan memarahinya pada masa lain kerana menyentuh komputer akan membuatkan dia berasa lebih keliru.

Terdapat gelagat-gelagat yang memerlukan tindakan yang lebih serius, seperti memukul adik-beradik lain, berbohong kepada ibu bapa atau guru, atau bermain dengan objek berbahaya seperti soket elektrik dan peralatan tajam. Namun, memukul dan berbohong tidak terjadi dengan sendirinya. Seperti juga hukum Newton, ia selalunya adalah reaksi balas terhadap sesuatu tindakan. Mungkin adik-beradik lain itu juga sama bersalah. Mungkin dia berbohong kerana takut dipukul. Berbicaralah dengan anak anda untuk mengetahui penyebab masalahnya. Jika ia berlaku lagi, pendekatan “masa rehat” (terutama jika terjadi pergaduhan antara adik-beradik) boleh diambil. Terangkan kepada anak anda bahawa masa rehat ini bukanlah satu hukuman tetapi masa untuk dia bertenang dan berfikir tentang tindakannya.

Jika anda menyedari yang anda mula berasa marah, berikan diri anda “masa rehat” jauh dari anak-anak anda. Pergi ke bilik anda untuk berehat seketika dan mengawal perasaan anda semula sebelum berhadapan dengan mereka. Ia akan membawa perubahan yang besar kepada cara anda mengendalikan keadaan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen