Pengasuhan Positif

Urutan untuk Bayi

Melalui pelbagai kajian yang dijalankan secara global di beberapa tempat seperti Korea, Filipina, China, Touch Research Institute di University Miami, dan juga di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), telah terbukti bahawa urutan bayi memberi manfaat kepada bayi. Manfaat tersebut termasuk penyerapan nutrien yang lebih baik, membantu melegakan stres (dengan mengurangkan hormon stres kortisol), mengeratkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak, membantu bayi pramatang menambah berat badan dengan lebih cepat (justeru mengurangkan kos tinggal di hospital), mengurangkan intensiti dan tempoh kolik pada bayi, dan mengurangkan ketidakselesaan bagi bayi yang mempunyai masalah tidur.

Manfaat lain yang belum didokumenkan termasuk dakwaan mengenai perkembangan psikososial yang lebih baik dan bagaimana urutan mengurangkan bayi daripada terjaga pada waktu malam.

Mengurut si kecil anda adalah mudah namun satu pengalaman yang memuaskan. Hanya peruntukkan 10-15 minit masa anda untuk melakukannya, tetapi pastikan anda memilih masa di mana anda tidak tergesa-gesa dan bayi anda tenang tetapi cergas. Masa yang paling sesuai adalah selepas bayi anda mandi, tetapi anda boleh melakukannya pada bila-bila masa kecuali selepas menyusu.

Senarai semak ringkas sebelum bermula:

  • Suasana: Periksa bilik untuk memastikan suhu bilik selesa. Jika mahu, anda boleh memainkan muzik yang menenangkan, tetapi perlahan.
  • Keselamatan: Tanggalkan semua barang kemas (seperti cincin, gelang dll.) yang mungkin mengganggu semasa memberi urutan kepada si kecil.
  • Keselesaan: Sediakan selimut untuk bayi untuk mengelakkkan bayi kesejukan. Jangan urut sejurus selepas menyusu, sebaliknya tunggu sekurang-kurangnya dua jam sebelum mengurut.
  • Kebersihan: Basuh tangan sebelum bermula dan pastikan kuku anda pendek.

Mengurut si kecil anda

Baringkan bayi anda yang masih memakai lampin telentang pada permukaan rata yang ditutup dengan sesuatu yang lembut seperti tuala atau selimut. Tutup kawasan lain yang tidak digunakan semasa mengurut dengan selimut nipis. Semasa mengurut, libatkan bayi anda dengan bercakap atau menyanyi padanya. Cuba untuk mengekalkan hubungan mata seberapa banyak yang boleh.

Apabila anda sudah bersedia untuk memulakannya, lembapkan tangan anda dengan losyen/minyak yang lembut dan panaskan dengan menggosok-gosok tangan anda. Ini akan mencegah geseran kerana kulit bayi sangat sensitif. Walau bagaimanapun, anda boleh juga mengurutnya tanpa sebarang minyak atau losyen. Kekalkan urutan yang kukuh dengan tekanan yang lembut. Elakkan daripada menggunakan sentuhan yang menggelikan si kecil.

Anda boleh menjadikan sesi mengurut si kecil sebagai satu rutin dengan melakukannya pada masa yang sama setiap hari, seperti selepas mandi.

Langkah 1 – Urutan Muka

946468_xl

Urut mukanya dengan gerakan putaran menggunakan hujung ibu jari anda. Guna tekanan secukupnya untuk menekan kulit sedikit, tetapi berhatihati agar tidak menekan terlalu kuat. Urut bahagian rata di antara dahi dan telinga, dahi, kening, pipi, batang hidung, dan sekeliling mulut, dagu, dan telinganya.

Langkah 2 – Urutan Dada

1398369_xl

Urutan dada melibatkan dua gerakan:
1) Menggerakkan kedua-dua tangan dengan gerakan putaran pada kedua-dua belah dada kiri dan kanan (seperti kepak kupu-kupu).
2) Silang menyilang dari bahagian bawah sebelah kanan ke bahagian atas sebelah kiri dan sebaliknya.

Langkah 3 – Urutan Lengan

946478_xl

Ini harus dilakukan pada lengan satu per satu. Pegang pergelangan tangannya dengan kemas sambil anda mengurut lengannya menggunakan gerakan seperti “memerah susu” ke bawah dari bahu ke pergelangan tangan. Akhiri dengan membuat gerakan mengundur ke atas.

Langkah 4 – Urutan Kaki

946481_xl

Ini juga harus dilakukan pada kaki satu per satu. Guna gerakan “memerah susu” perlahan-lahan ke bawah dari pinggulnya hingga ke buku lali. Akhiri dengan gerakan mengundur ke atas.

Langkah 5 – Urutan Perut

888089_xl

Otot perut perlu dikendurkan dengan melenturkan lututnya ke arah dada selama beberapa saat. Urutan roda kayuh dan urutan mengikut arah jam di abdomennya membantu melegakan angin di dalam perutnya.

Langkah 6 – Urutan Belakang

1357094_xl

Guna gerakan urutan lembut untuk mengurutnya dari leher ke punggung. Pastikan anda tidak menekan tulang belakang.

Peka pada bayi

Sepanjang melakukan urutan, anda harus sentiasa peka terhadap mood bayi anda. Jika dia menunjukkan tanda-tanda tidak selesa, meragam, atau menangis, mungkin itu cara dia memberitahu anda untuk berhenti. Guna tanda-tanda pada bayi anda untuk menentukan urutan anda. Lagipun, ia adalah untuk mengeratkan kasih sayang antara anda dan bayi anda. Ia juga kaedah yang berguna bagi para bapa untuk berhubung rapat dengan bayi. Jika anda masih tidak pasti bagaimana untuk melakukannya, berbincanglah dengan pakar pediatrik atau dapatkan maklumat dalam talian melalui http://www.johnsonsbaby.com/baby-skin/massage-techniques

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen