Ingin kekal sihat? Sebelum anda berhenti menikmati juadah tempatan kegemaraan anda, pertimbangkan enam cara mudah berikut untuk meyediakan masakan tempatan yang lebih sihat.
‘Sihat’ bukanlah satu perkataan yang biasanya dikaitkan dengan masakan tempatan yang amat kita gemari. Bukankah memang sukar untuk kita mengurangkan santan atau gula bila memasak? Ramuan-ramuan yang tidak berapa sihat inilah yang membuat hidangan-hidangan kita lebih berperisa dan sudah pasti lebih enak.
Tetapi, ini tidak bermaksud semua masakan tempatan itu tidak sihat. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan keluarga anda makan secara sihat. Kita perlu membuat pilihan bijak dan beberapa perubahan semasa menyediakan makanan. Lakukan perubahan mudah berikut untuk menikmati hidangan tempatan kegemaran semua, pada masa yang sama masih dapat kekal sihat.
Penting!
Tip sihat!
1. Masak menggunakan bahan-bahan yang disediakan sendiri.
Elak daripada mengguna sos dan bahan perasa yang tersedia kerana ia mengandungi terlalu banyak lemak, gula dan garam. Sediakan campuran rempah anda sendiri. Ia akan membuat masakan lebih enak kerana semua ramuan adalah segar.
2. Kukus!
Siapa yang tidak gemar ikan siakap goreng masak tiga rasa? Sebagai pilihan lebih sihat namun tetap enak, kukus ikan (tidak perlu goreng), dan kemudian tuangkan sos masam manis yang anda sediakan sendiri ke atas ikan kukus yang masih panas. Hias dengan daun ketumbar dan hidangkan.
3. Gantikan.
Nikmatilah nasi lemak, iaitu hidangan kesukaan sepanjang zaman, tanpa rasa bersalah dengan tidak menggunakan santan. Sebaliknya, masaklah nasi menggunakan lebih halia dan daun pandan untuk mendapatkan bau yang harum dan menyelerakan. Anda boleh tambahkan sesudu kecil minyak kelapa yang memberi nasi aroma santan yang kita semua kenali dan gemari. Sebagai alternatif, anda juga boleh gantikan beras putih dengan beras perang.
4. Banyakkan sayur.
Warnai pinggan anda dengan pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan. Untuk menambah selera anak anda, hiaskan hidangan anda dengan sayur yang pelbagai warna, bentuk, tekstur dan saiz. Ia bukan sahaja menambahkan nutrien ke dalam hidangan anda, malah ia juga membuat hidangan anda kelihatan lebih menarik, menyelerakan, dan juga lazat untuk dimakan!
5. Guna bahan perisa semula jadi..
Cuba elakkan penambahan garam untuk menyedapkan rasa makanan. Lebih baik anda gunakan herba dan rempah ratus untuk mengenakkan rasa masakan. Daun pandan dan serai juga merupakan perisa semulajadi yang boleh menambah kesedapan masakan.
6. MBuat pilihan yang berpatutan.
makan di luar, buatlah pilihan dengan bijak. Gemar makan mi kari? Gantikan mi kuning dengan bihun atau kuey teow dan tambahkan lebih sayuran hijau dan taugeh. Belikan anak anda mi sup serta hadkan makanan segera dan hanya membelinya sekali sekala.
Satu lagi tip yang boleh membantu semua kekal sihat ialah untuk mengawal saiz sajian makanan. Semua boleh menikmati masakan tempatan Malaysia yang enak tetapi keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian adalah penting dalam pengambilan makanan. Pastikan anda makan lebih sayuran dan bijirin penuh serta kurangkan kumpulan daging (protein) dan kumpulan bijirin/nasi (karbohidrat). Lebih penting lagi, nikmatilah makanan anda dan anda akan berasa puas. Anda dan keluarga tidak perlu berhenti menikmati juadah tempatan hanya untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.
Komen