Pengasuhan Positif

Bahaya Tercekik: Bayi & Kanak-Kanak

Memasukkan objek ke dalam mulut, bukanlah satu penyakit; ia perkara semula jadi dan cara bayi anda mempelajari dunia sekeliling mereka. Sebagai ibu bapa, tanggungjawab kita adalah untuk mengawasi mereka setiap masa dan seberapa yang boleh, memberi mereka persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

Ditakrifkan oleh American Academy of Pediatrics (AAP) sebagai sekatan atau halangan pernafasan oleh bahan asing yang menyekat saluran pernafasan dalaman, tercekik merupakan salah satu penyebab utama morbiditi dan mortaliti (kematian) dalam kalangan kanak-kanak, terutama mereka yang berumur di bawah 3 tahun. Pada peringkat mereka sedang membesar ini dan lebih-lebih lagi apabila gigi mereka mula tumbuh, bayi anda kemungkinan besar akan menggunakan mulutnya sebagai alat untuk menjelajah dan membuat penemuan baru seperti jurugambar National Geographic dengan kamera DSLRnya.

Terdapat 2 jenis bahaya tercekik yang prevalen: pertama ialah yang disebabkan oleh makanan, dan merupakan penyebab bagi lebih daripada 50% kesemua kes tercekik. Ini tidak menghairankan memandangkan bahawa sehingga umur 2 tahun, bayi tidak mampu memecahkan makanan pepejal kepada cebisan lebih kecil justeru lebih cenderung untuk menelan makanan mereka tanpa mengunyah.

Sejenis lagi bahaya tercekik ialah yang disebabkan oleh beraneka jenis bahan seperti permainan kecil, belon, butang, duit syiling, guli dan magnet peti ais. Sebagai panduan am, jika sesuatu objek boleh muat di dalam tangan bayi anda, adalah lebih baik untuk menjauhkannya dari anak anda.

choking-battery

Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa bayi berumur 6-18 bulan menghabiskan 30 minit sehari memasukkan pelbagai objek ke dalam mulut, menggigit, menghisap, dan meleleh air liur pada sebarang objek yang mereka dapat. Walaupun secara puratanya tempoh masa mereka memasukkan objek ke dalam mulut tidak begitu lama jika dibandingkan dengan tempoh bayi tidur, namun apa yang ibu bapa harus berwaspada adalah masa 30 minit ini terjadi sepanjang hari.

Berikut adalah beberapa tip yang anda boleh guna yang memberi manfaat sama menang kepada kecenderungan petatih anda untuk memasukkan sesuatu ke dalam mulut dan pada masa yang sama tidak membimbangkan anda:

1. Rumah yang selamat untuk bayi.

Jangan tinggalkan barangan peribadi anda bersepahsepah di atas lantai rumah.

  • Beli bekas yang selamat untuk bayi untuk menyimpan barang-barang yang anda suka letak merata-rata seperti kunci, telefon pintar, duit syiling dan butang-butang. Jauhkan bekas tersebut dari kanak-kanak (letakkan lebih dari 1.75 meter daripada aras lantai).
  • Jangan lupa bahawa produk-produk beracun seperti bahan pencuci, peluntur dan bahan mencuci yang lain hendaklah disimpan jauh daripada kanak-kanak. Jangan lupa juga untuk melabelnya.
  • Periksa di bawah kerusi dan di antara kusyen, meja dan permaidani agar tidak terdapat bahan-bahan berbahaya dan pastikan anda kerap melakukannya.
  • Wayar dan kabel-kabel tambahan hendaklah dipasang di dinding dengan kemas, diikat dengan sempurna dan diletakkan jauh dari penglihatan kanak-kanak dan tidak boleh dicapai. Tutup soket elektrik dengan palam keselamatan atau penutup keselamatan yang tertutup rapat apabila soket tidak digunakan.
  • Kunci barang-barang tajam dan berbahaya yang biasa terdapat di dalam laci di ruang tamu atau kabinet dapur.
  • Kabel-kabel telefon sentiasa menjadi ancaman penjerutan, gunalah telefon tanpa wayar buat seketika. Langsir dan kain penutup juga boleh menjadi ancaman – anda hanya perlu mengikatnya cukup tinggi agar tidak dicapai oleh kanak-kanak.

baby-putting-object-in-mouth

Barang-barang yang berbahaya bagi bayi dan petatih: Duit syiling, butang, permainan dengan bahagian-bahagian kecil, permainan yang keseluruhannya boleh dimasukkan ke dalam mulut bayi, guli, belon, pengikat rambut kecil, gelang getah, pen atau penutup marker, bateri kecil jenis butang, magnet peti ais dan ketulan makanan haiwan.

2. Jadi ibu bapa yang cerewet.

Pastikan anda memilih permainan yang sesuai untuk umur anak anda.

  • Lazimnya pengilang permainan akan melabelkan produk mereka dan ini dapat membantu anda mengenalpasti jenis permainan yang sesuai untuk bayi anda.
  • Pastikan permainan yang anda beli dibuat dengan sempurna dan tidak mudah rosak.
  • Kenalpasti dan ketahuilah mekanisma permainan yang anda beli. Perhatikan bahagian-bahagian kecil, komponen yang mudah tanggal dan bucu-bucu tajam.
  • Sentiasa awasi kanak-kanak kecil bermain. Jangan lupa juga untuk menyimpan semua permainan di dalam bekas selepas bermain.
  • Jangan membiarkan anak yang lebih dewasa berkongsi permainannya dengan bayi kerana permainan kanak-kanak yang lebih dewasa mungkin tidak sesuai untuk bayi anda. Begitu juga dengan makanan. Adakalanya, adik beradik suka berkongsi makanan atau gemar menyuap bayi makan. Ia adalah cara yang baik untuk mengajar mereka menjadi bertanggungjawab tetapi pastikan anda menerangkan kepada mereka apa yang mereka boleh dan tidak boleh lakukan dan sentiasa awasi mereka!

3. Sentiasa selia.

Selia semasa waktu makan, pastikan anda dan pasangan anda atau pengasuh sentiasa ada untuk menyelia.

  • Seorang kanak-kanak harus duduk tegak semasa waktu makan, mereka tidak seharusnya makan sambil bermain, berlari atau berjalan, dan elak juga daripada memberi makan di dalam kereta.
  • Jika anda ingin memberi anak anda makanan pepejal, gigit sedikit untuk menjadikannya saiz kecil sebelum memberi kepada bayi anda atau potong menjadi saiz yang boleh digigit iaitu tidak melebihi ½ inci.
  • Masak makanan keras seperti karot atau brokoli sehingga lembut dan boleh dikunyah. Elakkan sama sekali kacang, bijian atau bertih jagung, tidak berbaloi mengambil risikonya.
  • Kerap menghidrasi anak anda apabila makan tetapi elak daripada minum sambil makan, sebaliknya beri minuman antara suapan.
  • Adalah penting untuk menghentikan pemberian makanan bayi dan memberi anak anda makanan yang lebih pejal – ia perlu dilakukan secara berperingkat dan dengan selamat.
  • Adalah lebih baik untuk memberitahu kepada mereka yang terlibat dalam penjagaan anak anda mengenai jenis makanan yang boleh dan tidak boleh diberi kepada bayi anda sehingga dia boleh mengunyah atau boleh menerima makanan pepejal dengan sempurna.

various-nuts

AAP telah menyenaraikan bahan-bahan makanan berikut sebagai bahaya tercekik bagi kanak-kanak berumur di bawah 4 tahun: hot dog, gula-gula keras, gula-gula getah, kacang-kacang dan bijian, ketulan keju, anggur yang tidak dipotong, bertih jagung, ketulan mentega kacang tanah, sayur mentah, dan kismis.

Kemungkinan besar sepanjang tahun pertamanya, anak anda telah memasukkan pelbagai jenis objek ke dalam mulutnya. Tetapi ingatlah bahawa bukan semua perkara itu menyeronokkan dan satu permainan. Tercekik benar-benar mengancam anak anda dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa. Oleh itu, ambillah langkah berjaga-jaga, sentiasa menjaga keselamatan dan berwaspada, ketahui mengenai keputusan yang diambil berkenaan anak kesayangan anda. Juga tidak merugikan untuk mempelajari beberapa pengetahuan asas mengenai resusitasi kardiopulmonari (CPR) kanak-kanak dan teknik menyelamat atau pertolongan cemas kerana ia boleh membantu menyelamatkan nyawa anak anda jika terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Tidak kira samada bayi, petatih, atau kanak-kanak sekolah, rumah anda harus menjadi tempat di mana anak anda boleh menjelajah dengan selamat. Lagipun, menyentuh, memegang, memanjat, dan menjelajah merupakan aktiviti-aktiviti yang membantu tubuh dan minda anak anda berkembang, dan ia harus digalakkan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen