Najis bayi anda memberi banyak maklumat mengenai status kesihatan penghadamannya. Ciri-ciri seperti warna, ketekalan dan tekstur najisnya memberi anda gambaran mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem penghadamannya. Ciri-ciri tersebut banyak dipengaruhi oleh diet dan persekitaran bayi anda. Mengawasi najisnya akan membantu anda menilai dan mengatasi sebarang masalah yang mungkin dihadapi oleh bayi anda dengan cepat dan berkesan.
Ciri-ciri najis bayi
Bayi anda yang baru lahir lazimnya akan membuang najis pertamanya dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran. Bahan yang menyerupai tar berwarna hitam kehijauan yang anda lihat di dalam lampin hospitalnya itu dipanggil mekonium. Ia mengandungi bahan yang terkumpul di dalam usus bayi anda semasa ia berada di dalam rahim – termasuk sel darah dan kulit lama, menjadikan rupanya yang aneh.
Dua hingga empat hari kemudian, anda akan nampak perubahan pada warna dan ketekalan najisnya. Ia berwarna kehijauan dan kurang melekit daripada mekonium. Ini adalah petanda yang baik kerana ia menunjukkan bahawa saluran usus bayi anda berfungsi dengan baik.
Mulai dari hari keempat dan seterusnya, jenis makanan yang diambil oleh bayi anda (termasuk susu ibu, formula dan akhirnya makanan pejal) akan menentukan warna dan ketekalan najis serta kekerapan dia membuang air besar.
Secara amnya, najis bayi adalah lebih lembut berbanding dengan najis orang dewasa. Perubahan paling ketara pada najis bayi anda akan terjadi apabila anda mula memberi dia makanan pejal (lazimnya dari umur enam bulan ke atas). Apabila bayi anda mengambil pelbagai jenis makanan pejal, najisnya akan menjadi lebih pekat, gelap dan lebih busuk!
Apa yang normal, apa yang tidak?
Najis bayi boleh dibahagikan kepada pelbagai warna dan ketekalan dan ibu bapa yang paling berpengalaman pun mungkin belum melihat kesemuanya. Perubahan warna boleh berlaku disebabkan oleh dietnya atau bahan tambahan di dalam makanan. Berikut adalah panduan mengikut warna:
Kuning: Menjelang lima hari selepas kelahiran, najis bayi yang disusu susu ibu lazimnya berbiji-biji, lembut dan berwarna kuning sehingga ke kuning kehijauan atau perang.
Perang: Jika anda memberi bayi anda formula, najisnya mungkin menjadi warna perang muda dan lekit.
Bila anda harus bimbang?
Najis berwarna hitam, putih atau merah boleh menandakan bahawa sistem penghadaman bayi anda bermasalah.
Najis hitam boleh disebabkan oleh pengambilan sesetengah makanan atau suplemen. Namun, jika najis berwarna hitam seperti tar, kemungkinan terdapat darah ‘lama’ di dalam saluran penghadamannya yang berubah menjadi hitam apabila ia melalui usus. Ulser di dalam esofagus atau perut (dikenali sebagai gastritis) boleh menyebabkan perdarahan di dalam saluran penghadaman dan menyebabkan najis bertukar menjadi hitam.
Najis hitam juga mungkin disebabkan oleh masalah perubatan seperti iskemia usus (pengurangan aliran darah ke usus), malformasi vaskular (pembuluh darah yang cacat) atau varises (urat besar yang membonjol di dalam esofagus).
Najis putih, kelabu atau pucat adalah tidak normal dan mungkin adalah tanda masalah hati, pankreas, pundi hempedu atau usus. Kemungkinannya ada aliran hempedu tersumbat atau malserapan usus.
Contohnya, atresia biliari adalah keadaan yang bercirikan oleh ketiadaan atau malformasi sistem biliari di luar hati, dan biasanya datang bersama jaundis dan najis pucat.
Jangkitan usus yang kronik boleh menyebabkan penyerapan usus dan hadirnya najis bayi yang besar dan pucat.
Najis merah boleh disebabkan oleh bit dan pewarna makanan, tetapi darah di dalam najis adalah tidak normal. Jika najis bayi anda kelihatan kering dan keras, dengan kesan-kesan darah, ia mungkin bermakna bahawa bayi anda menghadapi sembelit dan najisnya yang keras telah mengoyakkan sedikit kulit duburnya (fisur anus).
Jika terdapat banyak darah di dalam najis bayi atau anak anda, dia mungkin sedang mengalami masalah usus yang teruk seperti intususepsi (usus tersumbat). Darah merah muda di dalam mangkuk tandas atau darah gelap bercampur dengan najis, mungkin menandakan keradangan di dalam perut yang disebabkan oleh jangkitan atau penyakit debu inflamatori (IBD).
Manakala najis yang berminyak mungkin menandakan perubahan diet, malserapan usus atau gangguan pankreas. Najis yang timbul dan terapung mungkin disebabkan oleh malserapan lemak akibat episod cirit-birit atau jangkitan gastrousus yang lain.
Jangan terlalu bimbang
Najis anak anda yang tidak konsisten mungkin menimbulkan keresahan. Namun, ibu bapa tidak seharusnya terlalu bimbang atau terus membuat kesimpulan.
Najis lazimnya lebih memberi gambaran mengenai menu hari sebelumnya daripada penyakit yang sedang muncul. Walau bagaimanapun, jika simptom-simptomnya berterusan, atau jika berat badan bayi anda tidak meningkat dengan sewajarnya, segeralah dapatkan nasihat pakar perubatan profesional atau pakar pediatrik.
Mengawal usus bayi anda
Sistem penghadaman bayi memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya. Berikut adalah beberapa cara anda boleh membantu melindungi atau mengekalkan sistem penghadaman bayi anda:
Amalkan penyusuan susu ibu: Menyusukan bayi anda di peringkat awal kehidupannya boleh meningkatkan perlindungan imunnya sambil memastikan imbangan sihat bakteria baik di dalam usus bayi anda. Susu ibu mengandungi antibodi yang boleh menyalut saluran usus bayi anda dan melindunginya daripada antigen yang berbahaya dalam persekitaran. Di samping meningkatkan imuniti bayi anda, susu ibu memberi bayi anda khasiat yang seimbang yang khusus untuk keperluan bayi anda.
Elakkan pengambilan antibiotik berlebihan: Elak daripada memberi bayi anda sebarang antibiotik kecuali jika diperlukan atas sebab-sebab perubatan. Antibiotik boleh mengganggu imbangan mikroflora usus bayi anda. Sekiranya ubatubatan diperlukan, sentiasalah hubungi doktor anda.
Ia mungkin bukanlah sesuatu yang elok dibincangkan di meja makan, tetapi najis boleh menjadi petunjuk yang berguna kepada ibu bapa mengenai apa yang sedang berlaku di dalam sistem penghadaman bayi anda. Ingatlah bahawa bayi yang sihat adalah bayi yang ceria, dan perjalanannya ke arah tumbersaran dan perkembangan yang optimum bermula dengan anda.
Komen