Pengasuhan Positif

Bertindak Pantas Boleh Menyelamatkan Nyawa Anak Anda

Meningitis adalah keradangan selaput pelindung yang menyelubungi otak dan saraf tunjang yang dikenali sebagai meninges.

Ia boleh berlaku sebagai satu tindak balas terhadap jangkitan (bakteria, virus, parasit, atau kulat) atau disebabkan oleh kecederaan fizikal, kanser, atau reaksi tubuh kepada sesuatu ubat. Walaupun meningitis tidak terbatas kepada sesuatu kumpulan umur, kanak-kanak di bawah umur dua tahun berisiko paling tinggi. Sesetengah meningitis bakteria dan viral boleh dicegah. Melindungi mereka dengan imunisasi awal adalah kunci kepada pencegahan kesan buruk penyakit ini.

Meningitis lebih kerap berlaku di negara-negara membangun. Faktor-faktor persekitaran seperti pendedahan kepada asap, serta masalah perubatan dan kurang daya tahan boleh membuat seseorang lebih mudah diserang penyakit ini.

Tahukah anda?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 170,000 kematian sejagat adalah disebabkan oleh meningitis bakteria. Kematian atau kehilangan upaya boleh berlaku dalam 24 jam dari simptom pertama. Dalam kes meningitis meningokokus, mangsa yang terselamat boleh menderita masalah-masalah perubatan yang serius seperti amputasi anggota/jari/jari kaki, parut yang teruk, kecederaan otak, hilang pendengaran, kerosakan buah pinggang, dan masalah psikologikal.

Jenis-jenis meningitis

Ia termasuk meningitis bakteria, meningitis viral, meningitis parasit, meningitis kulat dan meningitis tidak berjangkit.

  • Meningitis bakteria: Meningitis bakteria merupakan jangkitan yang boleh membawa maut, dan disebabkan oleh bakteria seperti Haemophilus influenza b (Hib), Neisseria meningitis dan Streptococcus pneumoniae. Organisma-organisma ini tidak mudah berjangkit seperti selsema atau flu, tetapi boleh merebak melalui aktiviti seperti bercium, berkongsi peralatan/cawan/rokok, pergaulan yang rapat (seperti di pusat asuhan kanak-kanak), atau melakukan aktiviti di tempat yang tertutup (seperti di kolej, universiti, kem khidmat negara, dan asrama).
  • Meningitis viral: Meningitis viral adalah disebabkan oleh virus enteroviruses, herpes simplex dan varicella-zoster (punca cacar air dan kayap). Ia boleh menular melalui rembesan pernafasan atau pencemaran najis. Ia boleh menjangkiti mana-mana kumpulan umur, tetapi selalunya menjangkiti kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Ia amat serius, tetapi jarang menyebabkan kematian bagi mereka yang mempunyai sistem imuniti yang normal.
  • Meningitis parasit dan kulat: Parasit dan kulat yang menjadi punca meningitis jarang ditemui. Meningitis kulat yang paling lazim adalah disebabkan oleh Cryptococcus. Meningitis parasit adalah sejenis meningitis yang jarang terjadi, tetapi boleh membawa maut. Parasit penyebabnya adalah amoeba yang dipanggil Naegleria fowleri yang boleh dijumpai di dalam sejumlah air tawar yang suam (tasik atau sungai) dan kolam mandi yang tidak diselenggarakan dengan baik atau tidak diklorinkan.

Penyebab-penyebab lain meningitis tidak berjangkit termasuklah kanser, lupus, sesetengah ubat, kecederaan kepala, dan pembedahan otak.

Tanda-tanda dan simptom

Simptom meningitis yang paling lazim dalam kalangan kanak-kanak termasuk demam, ubun menggelembung, mual dan muntah-muntah, rengsa (bayi menangis apabila anda mengangkatnya), kurang berselera, atau mengantuk.

Kanak-kanak yang lebih tua juga mungkin menghidap demam secara tiba-tiba atau mengadu sakit kepala atau tegang di leher. Simptom lain termasuk mual, muntah-muntah, sensitif kepada cahaya (fotofobia), dan keadaan mental yang berubah (keliru atau meracau). Meningitis meningokokus lazimnya disertai dengan simptom klasik iaitu ruam hemoragik purpura (ruam yang tidak memutih apabila ditekan).

Walaupun ini adalah beberapa simptom lazim, tidak semua orang akan mendapat setiap simptom. Harus diingati bahawa jenis meningitis yang berbeza boleh menyebabkan simptom yang berlainan. Oleh itu, adalah penting untuk berwaspada dan dapatkan perhatian perubatan secepat mungkin.

Penting!

Jika anda mensyaki yang anda atau ahli keluarga anda mempunyai simptom dan tanda-tanda meningitis, dapatkanlah perhatian perubatan serta merta. Rawatan awal meningitis boleh mencegah komplikasi serius.

girl-temperature

Menentukan punca meningitis

Cara terbaik untuk mengesahkan sama ada ia meningitis dan punca spesifiknya adalah dengan mengambil sampel darah atau cecair serebrospinal (CSF) melalui satu prosedur yang dipanggil punktur lumbar (LP). Prosedur LP dilakukan dengan memasukkan jarum secara berhati-hati untuk menyedut CSF daripada bahagian bawah tulang belakang. Keseluruhan proses ini mengambil masa kurang dari setengah jam.

Anestetik setempat disuntik di sepanjang hujung bahagian belakang untuk mencegah kesakitan. Sebatang jarum spina yang halus kemudiannya dicucuk di bahagian bawah belakang, dan pakar pediatrik akan mengambil sampel CSF sebelum menarik keluar jarum tersebut. Sampel-sampel CSF akan diuji dan dianalisis di makmal untuk mengetahui punca spesifik meningitis.

Laporan ujian akan membantu pakar pediatrik menentukan rawatan yang paling wajar untuk anak anda. Dalam kes meningitis bakteria, penggunaan antibiotik akan mencegah jangkitan teruk dan mengurang atau menghentikan jangkitan daripada menular ke dalam saliran darah dan dari orang-ke-orang.

Vaksinasi untuk membasmi!

Beberapa bakteria yang menyebabkan meningits dan boleh dicegah dengan imunisasi ialah tuberkulosis, polio, Hib, campak, beguk, cacar air, pneumokokus dan meningokokus.

Kini, meningitis meningokokus boleh dicegah dengan Vaksin Meningokokus Konjugat (MVC) yang kini boleh didapati di Malaysia. Empat strain Neisseria meningitides, (A, C, W, dan Y) boleh dilindungi dengan kuadivalen MCV4.

Saranan WHO

WHO menyarankan dua dos MCV4 bagi bayi berumur di antara sembilan dan 23 bulan (sekurangkurangnya jarak tiga bulan di antara dos), dan satu dos bagi kanakkanak lebih daripada dua tahun. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyokong memvaksinasikan kanak-kanak praremaja dan remaja pada umur 11 tahun, dengan satu dos booster apabila mencapai 18 tahun.

Vaksin-vaksin MCV4 telah terbukti selamat dan berkesan dalam kalangan kanak-kanak berumur sembilan bulan dan ke atas. Ia lebih bermutu daripada Vaksin Polisakarida Meningokokus (MPV4) generasi lama memandangkan ia memberi tempoh perlindungan yang lebih lama dan boleh digunakan ke atas kanakkanak di bawah umur 2 tahun yang lebih berisiko tinggi.

Pada masa ini, vaksinasi menentang punca-punca lazim meningitis termasuk Hib, campak dan beguk telah dimasukkan sebagai sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia. Malangnya, MCV4 tidak dimasukkan.

Mengekalkan kebersihan diri yang baik boleh mengurangkan peluang anda dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Namun, pilihan terbaik adalah memastikan yang anda dan anak anda divaksinasi. Jangan tunggu sehingga ditimpa tragedi. Tanya pakar pediatrik atau doktor anak anda tentang pencegahan meningitis atau hubungi perunding kesihatan anda untuk mengatur janji temu vaksinasi.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen