Pengasuhan Positif

Goo-goo, Ga-ga

Melihat bayi anda membesar menjadi anak kecil yang periang merupakan salah satu aspek keibubapaan yang paling menarik. Dalam tahun pertamanya, dia mula mengagah atau mengajuk bunyi-bunyian. Kemudian, akhirnya ia berlaku – anak anda akhirnya mengucapkan perkataan “sebenar”nya yang pertama apabila dia mencapai satu tahun!

Pada umur 18 bulan, dia mula mengenali objek-objek di sekelilingnya. Perbendaharaan katanya meningkat. Dia mengenali sebiji bola atau seekor kucing dan tidak perlu diberitahu berulang kali.

Ibu bapa dan pengasuh memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa seorang kanak-kanak. Kajiankajian menunjukkan bahawa ibu bapa yang kerap bercakap dengan anak mereka dan mengguna perbendaharaan kata yang kaya untuk menerangkan perkara-perkara di sekeliling mereka, akan membantu meluaskan perbendaharaan kata anak mereka.

Bercakap dengan anak kecil anda

Bayi anda gemar mendengar anda bercakap, terutamanya jika anda melakukannya dengan suara yang riang dan mesra. Oleh kerana dia akan belajar bertutur dengan mengajuk bunyi yang dia dengar di sekelilingnya, lebih banyak anda bercakap dengannya maka lebih cepatlah dia mengembangkan kebolehan bertutur dan bahasanya. Berikut adalah beberapa cara untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran:

  • Puisi berirama untuk kanak-kanak dan lagu. Mendendangkan lagu kepada bayi anda adalah cara terbaik untuk berinteraksi dengannya, sambil mengajarnya muzik dan perkataanperkataan baru. Dia akan belajar memahami kepentingan bunyi. Perkataan yang sentiasa diulang berkali-kali akan memudahkan dia mempelajari perkataan tersebut. Oleh itu, walaupun anda tidak sehebat Kelly Clarkson, bayi anda akan masih gemar mendengar anda menyanyi.
  • Buku dan cerita-cerita. Gunalah buku dan bercerita seberapa awal yang anda suka. Bercerita sebelum tidur adalah aktiviti yang menyeronokkan anak anda. Jika dilakukan dengan tetap sebagai rutin, ia boleh menjadi satu petanda kepada bayi anda untuk mula bertenang dan bersedia untuk tidur atau tukar lampin. Ambil kesempatan saat yang berharga ini untuk meluangkan masa berkualiti dan mengeratkan kasih sayang dengannya. Anda boleh berinteraksi dengan bayi anda dengan membiarkan dia menunjuk gambar-gambar dan menamakannya, atau menyuruh dia tunjuk objek yang anda katakan.
  • Adakan perbualan dua hala dengan anak kecil anda. Daripada anda bercakap kepada dia dengan cara autoritarian, cuba dapatkan anak kecil anda untuk respon secara lisan. Tidak pasti jika dia faham? Cakap sahaja! Lama kelamaan dia akan mula kaitkan fikiran dan perasaan kepada perkataan yang anda sebutkan. Dengan berinteraksi, anda akan membantunya membina keyakinan untuk mula lebih banyak bercakap. Pastikan anda memberi dia banyak peluang untuk berlatih bercakap.
  • Kembangkan perkataan anda dan bunyi-bunyi. Jika anak kecil anda berkata “Minum susu”, anda boleh bantu dia mengembangkan pemikirannya dengan menggunakan bahasa yang lebih deskriptif. Contohnya, anda boleh berkata: “Anda sedang minum susu menggunakan cawan. Jangan lupa untuk habiskan susu anda semasa ia masih suam dan sedap.” Dengan bercakap lebih banyak kepadanya, anda sebenarnya membantu dia membina perbendaharaan katanya.
  • Tambahkan perincian-perincian kepada objek dan acara harian. Contohnya, jika dia berkata “kereta”, anda boleh menambah, “Betul, itu kereta permainan. Ia sebuah kereta merah. Jika anda menolaknya, ia akan bergerak ke hadapan.” Untuk membantu mengembangkan perbendaharaan katanya, guna lebih banyak perbendaharan kata untuk menerangkan perkara yang anda sedang katakan.

Program-program televisyen yang bersesuaian untuk umur boleh membantu mengembangkan kemahiran bahasa anak anda. Cuba untuk menonton beberapa program ini bersama-sama. Dengan cara ini, anda boleh bercakap dengan anak anda tentang rancangan televisyen yang anda tonton bersama. Tetapi, kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tidak disyorkan untuk menonton TV atau terdedah kepada aktiviti-aktiviti pada skrin.

Apa yang perlu dielakkan

Elak daripada sentiasa memasang bunyi latar belakang daripada televisyen atau radio. Ini akan mengeliru atau mengalih perhatian anak kecil anda semasa anda bercakap dengannya. Anda juga harus mengelak tabiat kerap memberi arahan. Ingatlah bahawa bercakap harus menyeronokkan dan bukan tentang memberi arahan. Anak kecil anda perlu diberi peluang untuk bercakap dengan anda melalui perbualan dua hala dan bukan hanya mendengar atau diberitahu apa yang harus dilakukan.

Jika anak kecil anda kelihatan bingung apabila anda berkata sesuatu, cuba katakannya dengan cara yang lain, menggunakan perkataan lain. Mengulang sesuatu perkataan selalunya akan memudahkan anak anda meluaskan perbendaharaan katanya. Paling penting, hati-hati dengan nada suara anda. Anak-anak kecil bukan sahaja respon kepada apa yang anda ucapkan, tetapi juga bagaimana anda mengucapkannya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen