Anda memainkan peranan yang aktif dalam pengalaman makan anak anda, dan matlamat anda adalah untuk menjadikannya suatu pengalaman yang selamat, sihat dan menyeronokkan.
Kementerian Kesihatan Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Akademi Pediatrik Amerika Syarikat menyarankan agar bayi diberi susu ibu secara eksklusif bagi enam bulan pertama. Makanan pelengkap hendaklah dimulakan pada sekitar umur enam bulan.
Inilah masanya anda boleh mula memperkenalkan makanan pelengkap kepada bayi anda tetapi penyusuan susu ibu harus diteruskan sehingga akhir tahun pertamanya atau lebih jika anda mahu. Makanan pejal tidak harus diperkenalkan sebelum umur empat bulan, memandangkan sistem penghadamannya masih sedang membesar dan belum cukup matang untuk menghadam.
Tanda-tanda bayi anda sudah bersedia untuk mula makan:
- Bayi anda seharusnya sudah boleh duduk tegak dengan sokongan minima dan menegakkan kepalanya sendiri.
- Si manja belajar mengawal lidahnya dan mula membuat pergerakan mengunyah.
- Giginya mula tumbuh.
- Cepat berasa lapar di antara waktu penyusuan atau mahukan susu lebih kerap.
- Bayi harus menunjuk minat terhadap makanan dan membuka mulut apabila diberikan makanan
- Si manja seharusnya boleh menggerakkan makanan dari mulut ke tekaknya. Bayi akan belajar proses ini apabila makanan pelengkap dimulakan kerana ia merupakan kemahiran yang berbeza daripada menghisap susu dari payu dara atau botol. Jika anda memberi bayi anda sesudu makanan separa pejal dan dia terus menolaknya keluar dari mulut, berikan peluang untuk berlatih lagi, tetapi pertimbangkan juga untuk menunggu seminggu dua lagi. Si manja mungkin belum bersedia lagi.
Memulakan makanan pelengkap
Umur 6-8 bulan
Mula dengan memperkenalkan kepada si manja satu jenis makanan pada satu masa. Cuba untuk tidak mencampurkan makanan yang berbeza. Anak anda mungkin mengambil masa di antara tiga hingga tujuh hari untuk membiasakan diri dengan rasa dan tekstur sesuatu makanan baru. Ini juga membolehkan anda melihat jika si manja alah kepada sesuatu makanan. Selepas tempoh ini, anda boleh memperkenalkan makanan lain. Beri makanan pelengkap dua atau tiga kali sehari sebagai hidangan utama dengan satu atau dua snek berkhasiat di antara waktu makan. Tekstur makanan si manja haruslah dalam bentuk cecair, dipuri/kisar, atau dilecek. Pastikan anda mula dengan tekstur yang lebih cair dan secara beransuransur tambah kelikatan sehingga tekstur lebih pejal apabila si manja bertambah besar.
Umur 9-11 bulan
Pada masa ini, si manja seharusnya diberi tiga hingga empat kali hidangan sehari dengan satu atau dua snek berkhasiat di antara waktu makan. Ini termasuk susu ibu yang seharusnya masih diberikan kepada bayi. Tekstur makanan si manja haruslah dicincang, didadu, atau makanan lembut yang dipotong halus.
Umur 1-2 tahun
Pada peringkat ini, si manja seharusnya diberi empat hingga lima hidangan sehari bersama satu atau dua snek berkhasiat di antara waktu makan. Anda boleh memberinya makanan lembut bersaiz kiub/ketulan kecil atau saiz satu suap. Mulai dari hari jadi si manja yang pertama, secara amnya dia sudah boleh mula makan makanan keluarga (iaitu apa-apa makanan yang anda dan keluarga makan). Namun, pastikan makanannya dihidangkan dalam saiz ketulan yang kecil.
Snek berkhasiat
Tahukah anda?
Kajian menunjukkan bahawa adalah penting untuk mendedahkan kanakkanak kepada pelbagai jenis tekstur dan rasa. Kebanyakan bayi dan anak kecil perlu didedahkan kepada sesuatu makanan berkali-kali sebelum makanan itu diterima mereka. Bayi dan anak kecil kemungkinan akan lebih suka makanan yang mereka lihat dimakan oleh ibu bapa dan rakan sebaya. Jangan berputus asa jika anak anda enggan makan sesuatu makanan tertentu. Anda mungkin perlu memberinya makanan tersebut sehingga lapan kali atau lebih dalam jangka masa tertentu sebelum si manja boleh menerimanya.
Beralih ke makanan pejal ‘sebenar’
Berbanding dengan bayi, kanak-kanak di antara umur satu hingga lima tahun membesar dengan lebih perlahan. Selera mereka juga berubah setiap hari. Selagi anak anda masih bertenaga dan membesar, kemungkinan besar dia mendapat cukup nutrien dan tenaga. Mulai umur dua tahun ke atas, anak anda seharusnya sudah bersedia untuk makan bersama keluarga bagi hidangan utama.
Walau bagaimanapun, anda harus berhati-hati agar tidak memberikan makanan yang boleh menyebabkan si manja tercekik atau makanan berempah yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada bayi. Dia memerlukan di antara empat hingga enam hidangan utama dan snek sehari. Hidangan harian biasanya termasuk pelbagai makanan yang tinggi kandungan nutrien (makanan yang kaya nutrien tetapi kurang kalori) yang boleh menampung perkembangan dan tumbesarannya. Dengan menjadikannya satu tabiat sejak kecil, si manja akan terus mengamalkannya sehingga dewasa.
Nutrien penting untuk anak anda
Pastikan jenis makanan yang anda beri kepada si manja bersesuaian dengan tahap perkembangannya. Ia mestilah makanan berkhasiat yang boleh membekalkan tenaga dan nutrien secukupnya, seperti:
- protein (contohnya: daging, ikan, telur, kekacang, dll.),
- zat besi (contohnya: daging merah, hati, jus prun, sayur berdaun hijau, dll.),
- zink (contohnya: tiram [masak di dalam bubur atau sup, jangan sekali-kali mentah], ayam, daging lembu, kekacang, dll.),
- kalsium (contohnya: susu dan hasil tenusu. Namun, terdapat kanak-kanak yang mungkin tidak mendapat cukup produk tenusu. Sumber alternatif bagi susu selalunya mengandungi kurang kalsium dan tidak diserap dengan baik. Ini termasuk kekacang, salmon, kacang soya, tempe, dan tauhu).
- vitamin A (contohnya: hasil tenusu, hati, dan telur. Sumber lain termasuk lobak merah, labu, betik dll.),
- vitamin C (contohnya: buah oren, betik, tomato, jambu batu, dll), dan
- folat (contohnya: sayur berdaun hijau, kacang pea, buah oren, dll.).
Apabila bayi anda semakin membesar, kedua-dua saiz hidangan dan kekerapan memberi makan boleh ditambah secara beransuransur. Sebaik sahaja dia membiasakan diri dengan pelbagai makanan, anda boleh mempelbagaikan makanannya setiap hari. Pastikan buah dan sayur tidak ditinggalkan.
Keperluan dan selera yang berubah
Penting untuk anda ingat keperluan diet anak anda semasa dia sedang membesar; sajian makanan haruslah berubah apabila si manja semakin membesar supaya dapat memenuhi keperluan tenaga dan nutrien yang semakin meningkat. Saiz hidangannya harus meningkat sewajarnya. Selain itu, kepelbagaian, rasa, dan konsistensi makanannya harus disesuaikan secara perlahan mengikut masa supaya dapat mencerminkan makanan yang si manja akan makan apabila dewasa kelak.
Komen