Pengasuhan Positif

Membina Asas Kesihatan Yang Baik

Jangan Biarkan Mereka Menjadi Satu Lagi Statistik

Pada hari ini, semakin ramai rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat penyakit kronik berkaitan pemakanan seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung koronari dan sesetengah jenis kanser. Mangsa yang menderita daripada penyakit-penyakit ini juga semakin muda berbanding dahulu.

Untuk memberhentikan corak pemakanan yang merbahaya ini, kita perlu mengkaji keperluan pemakanan dan gaya hidup anak-anak kita. Kini, terdapat keperluan yang penting untuk memperbaiki status pemakanan mereka, menyemai tabiat makan yang sihat dan menggalakkan gaya hidup yang sihat, di mana aktiviti fizikal akan diutamakan.

Anda perlu bertindak dan memberikan perhatian kepada status pemakanan anak-anak anda pada hari ini juga. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menjejaskan kesihatan, tumbesaran dan perkembangan anak-anak anda.

Kanak-kanak adalah masa depan kita, tetapi masa depan mereka terletak di tangan anda. Dan ia bermula sekarang.

Fakta Untuk Renungan

Kajian yang telah dijalankan pada tahun 1996 dan 2006 oleh Kementerian Kesihatan ke atas rakyat Malaysia dewasa telah menunjukkan bahawa:

  • Peratusan mereka yang berlebihan berat badan meningkat daripada 16.6% kepada 29.1% dalam masa 10 tahun
  • Peratusan obesiti meningkat daripada 4.4% kepada 14.2% dalam masa 10 tahun
  • Terdapat masalah kekurangan nutrien yang berterusan dalam sesetengah golongan masyarakat

Satu lagi laporan terbitan KKM tahun lepas menunjukkan bahawa sebanyak 15% daripada kanak-kanak Malaysia berusia antara 1-18 tahun adalah sama ada kekurangan zat atau terlebih zat.

Berdasarkan kedua-dua kajian yang telah dijalankan, apakah yang boleh dikatakan tentang masa depan kanakkanak kita?

Pemakanan Yang Baik Adalah Hak Setiap Kanak-kanak

Tahun-tahun tumbesaran 1-6 tahun merupakan masa yang paling penting di dalam kehidupan setiap kanak-kanak. Ia sangat mustahak bagi ibu bapa untuk mula membekalkan pemakanan yang baik kepada anak-anak mereka sejak lahir bagi mempromosi kesihatan, tumbesaran dan perkembangan yang optimum (sila rujuk kotak).

Dr Tee E Siong, Presiden, Persatuan Pemakanan Malaysia menekankan bahawa ibu bapa perlu sedar bahawa hanya terdapat peluang yang sempit untuk mereka mula memberi makan secara betul kepada anak-anak mereka semasa tempoh ini.

“Jangan tunggu lagi. Luangkan masa pada hari ini bagi memastikan segala keperluan pemakanan anak anda dipenuhi,” ujar Dr Tee yang telah turut menambah bahawa terdapat keperluan untuk diet beragam serta seimbang dan ibu bapa perlu tahu jenis makanan yang perlu diberi serta jumlah yang patut diberikan.

Menurut Dr Tee, kepentingan pemakanan kanak-kanak telah diberikan keutamaan dalam inisiatif Bulan Pemakanan Sihat Malaysia (NMM) tahun ini yang telah membawakan tema “Kanak-kanak Sihat, Negara Lebih Sihat.” Program pendidikan pemakanan tahunan yang diadakan setiap bulan April sejak 2002 ini telah dianjurkan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

“Kami sedar bahawa pemakanan kanak-kanak adalah sangat penting dan inilah sebab mengapa bermula daripada tahun ini hingga ke 2010, Bulan Pemakanan Sihat Malaysia akan memfokuskan pada kanak-kanak dalam tiga golongan usia berbeza.”

Tumbesaran Semasa Tahun-tahun Tumbesaran

Semasa usia 1-6 tahun:

  • Berat badan akan meningkat sebanyak 2-3kg dan ketinggian pula sebanyak 6-8cm setahun
  • Perkembangan otot-otot untuk kekuatan (apabila kanak-kanak berusia 5 tahun, 35% daripada berat badannya datang daripada ototnya)
  • Berbilion hubungan saraf di dalam otak akan dibentuk dengan setiap pengalaman deria yang baru
  • Sistem imun menjadi matang

Maklumat-maklumat Tepat

Pada tahun 2006, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan Kajian National Health and Morbidity Survey (NHMS III) ke-3 di seluruh negara ke atas 22,032 kanakkanak antara usia 0-18 tahun. Keputusan yang dikeluarkan pada tahun 2008 telah menunjukkan bahawa:

  • 13.2% kanakkanak kekurangan berat badan!
  • 15.8% kanak-kanak terbantut!
  • 5.4% kanak-kanak berlebihan berat badan!

“Mari Berbincang Tentang Kanakkanak!”

Dr Tee E Siong membincangkan Kajian NHMS ke-3 dengan Pengasuhan Positif.

S: Apakah itu malnutrisi?
J: Tubuh kanak-kanak memerlukan satu rangkaian nutrien-nutrien penting seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral seperti zat besi, zink dan kalsium. Malnutrisi berlaku apabila tubuh hanya memperoleh nutrien-nutrien ini dalam kadar yang terlalu banyak atau terlalu sedikit, sehingga akhirnya akan membawa kepada masalah kesihatan.

S: Kajian NHMS ke-3 menyatakan bahawa sejumlah 5.4% daripada kanak-kanak adalah terlebih berat. Adakah ini satu masalah yang utama?
J: Ya. Angka ini cukup membimbangkan. Kajian-kajian lain juga telah menunjukkan peningkatan di dalam obesiti, terutama sekali di kawasan bandar. Walaupun hanya 5.4%, namun ibu bapa tidak boleh memandang ringan tentang perkara ini, sebaliknya, mereka perlu berusaha bersungguh sungguh bagi memastikan anakanak mereka tidak akan turut menyumbang ke arah peningkatan peratusan tersebut.

S: Secara lazimnya, terdapat banyak makanan di negara ini. Namun demikian, masih terdapat 13.2% kanak-kanak yang telah dikenalpasti kekurangan berat. Mengapa angka ini?
J: Kajian NHMS ke-3 menunjukkan bahawa masalah kekurangan berat bukan sahaja berlaku di kawasan luar bandar, malah ia turut berlaku di pusat bandar. Ini membuktikan bahawa kekurangan berat bukanlah akibat daripada kekurangan makanan, tetapi berpunca daripada amalan pemakanan yang kurang baik di bandar mahupun luar bandar. Ramai ibu bapa tidak membekalkan diet yang seimbang dan beragam serta tidak memastikan waktu makan yang tetap untuk anak-anak mereka dan ini telah menyebabkan anak-anak mereka tidak mendapat nutrien yang mencukupi untuk membesar secara normal dan sihat.

S: Apakah langkah-langkah positif yang ibu bapa boleh mula hari ini untuk memastikan anak-anak mereka makan secara sihat?
J: Pertama sekali, ambil tahu tentang keperluan pemakanan kanakkanak dan cara untuk memberi makanan dengan betul. Berusaha untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai daripada pakar kesihatan dan laman web. Seterusnya, amalkan apa yang dipelajari. Rancangkan pembelian dan hidangan makanan anda, dan ambil tanggungjawab untuk menentukan hidangan makanan diambil oleh anak anda setiap hari.

Malnutrisi Boleh Membawa Maut

Pemakanan mempunyai hubungan secara langsung dengan kesihatan, dan kanak-kanak boleh meninggal dunia apabila berlakunya pemakanan tidak seimbang. Menurut satu kajian ke atas kematian di bawah usia lima tahun di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2006, pemakanan tidak seimbang merupakan keadaan ketiga paling lazim yang telah dikaitkan dengan kematian di kalangan ini.

Dr Hussain Imam Muhammad Ismail, Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur berkata bahawa kajian tersebut telah menunjukkan bahawa pada tahun tersebut, di dalam 19.8% atau seramai 195 kanak-kanak berusia di bawah lima tahun yang telah meninggal dunia, malnutrisi telah menyumbang kepada kematian mereka.

Dari segi klinikal, malnutrisi disifatkan sebagai kekurangan atau berlebihan pengambilan protein, tenaga dan mikronutrien seperti vitamin, dan mengalami kadar jangkitan and penyakit yang lebih tinggi abikat malnutrisi. Ia bukan sahaja berlaku di kalangan kanak-kanak yang kekurangan zat malahan ia turut berlaku di kalangan yang berlebihan zat. Dalam kedua-dua situasi, malnutrisi meningkatkan risiko penyakit dan kematian awal.

Menurut Dr Hussain, sebagai contoh, malnutrisi protein-tenaga di kalangan kanak-kanak yang kekurangan berat badan menyumbang kepada setengah daripada jumlah keseluruhuan kematian kanak-kanak bawah umur 5 tahun di negara-negara membangun. “Selain itu, kekurangan vitamin A merupakan penyebab utama buta di kalangan kanak-kanak yang boleh dicegah dan meningkatkan risiko kematian dan penyakit daripada jangkitan serius.”

Satu lagi hujung skala maltnutrisi adalah berlebihan berat badan dan obesiti. Ini berlaku apabila kanak-kanak memakan terlalu banyak kalori (berlebihan nutrien) dan tidak menjalankan aktiviti fizikal yang mencukupi. Beliau berkata bahawa kanak-kanak yang berlebihan berat badan dan gemuk lebih berkemungkinan untuk terus menjadi gemuk di zaman dewasa dan untuk mendapat penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetis dan tekanan darah tinggi pada usia yang lebih muda.

“Tidak menghairankan bahawa obesiti di kalangan kanak-kanak dikaitkan dengan risiko kematian awal and kekurangan upaya yang lebih tinggi apabila dewasa,” katanya. Tambahan pula, kebanyakan penyakit tidak berjangkit disebabkan obesiti, risikonya banyak bergantung pada umur bermulanya obesiti dan tempoh jangkamasanya.

Tahukah anda?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 22 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di dunia berlebihan berat badan pada tahun 2007, dengan lebih daripada 75% daripadanya hidup di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Jangan Tunggu Lagi, Mulakan Hari Ini Juga!

Tidak sukar untuk membekalkan makanan yang baik di dalam jumlah yang betul kepada kanakkanak, kata pakar pemakanan, Profesor Madya Dr Norimah Karim.

“Anda hanya perlu ingat Kepelbagaian, Keseimbangan dan Kesederhanaan,” ujar beliau. “Jika anda terlalu sibuk dengan kerja atau tanggungjawab lain, anda boleh menjadikan ketiga-tiga aspek asas pemakanan yang baik untuk kanak-kanak ini sebagai sebahagian daripada kehidupan harian anda dengan mengamalkan beberapa langkah yang mudah (rujuk kotak).”

Ringat Kepelbagaian, Keseimbangan Dan Kesederhanaan!

  1. Bekalkan Pelbagai Jenis Makanan
    “Tubuh-tubuh kecil mempunyai banyak keperluan dan memerlukan pelbagai nutrien-nutrien penting. Jenis dan jumlah nutrien akan berbeza dari makanan ke makanan, jadi pastikan terdapat kepelbagaian dalam diet anak anda.”
  2. Pastikan Hidangan Yang Seimbang
    “Diet anak anda perlu mengandungi gabungan seimbang yang terdiri daripada makanan karbohidrat kompleks (seperti nasi, mi dan bijirin sarapan), buah-buahan dan sayuran (untuk vitamin dan mineral), makanan yang kaya dengan protein (seperti ayam itik, daging, ikan dan telur) serta susu dan produk tenusu (untuk kalsium dan vitamin dan mineral lain).”
  3. Amalkan Kesederhanaan Apabila Memberi Makan
    “Makanan yang terlalu sedikit atau terlalu banyak boleh mengakibatkan masalah kesihatan, jadi ajar anak anda untuk makan secara sederhana daripada kecil lagi. Mempunyai waktu makan yang tetap, tidak meninggalkan waktu makan dan tidak terlebih makan juga adalah amalanamalan yang penting.”
Sibuknya Ibu!

Berikut merupakan perkara yang boleh anda lakukan jika terlalu sibuk dengan kerja dan sukar untuk membekalkan pemakanan yang baik untuk anak anda:

  • Rancang menu hidangan – Ini membolehkan anda mengawal dan mengatur menu mingguan bagi memastikan anak anda akan mendapat sesuatu yang berbeza dan berkhasiat setiap hari. Ia juga memastikan anda boleh menggilir hidangan, mencuba pelbagai gaya memasak serta menjimatkan masa.
  • Didik pembantu rumah anda – Ajar pembantu rumah anda tentang prinsip pemakanan sihat dan bincangkan menu hidangan mingguan anda bersamanya. Anda juga boleh memberi maklum balas kepadanya apabila pembantu rumah anda telah masak secara tidak betul seperti terlalu masin atau terlalu berminyak.

Makan Bersama Keluarga Mewujudkan Keluarga Bahagia

Untuk keberkesanan makan secara sihat, anda perlu menerapkan prinsip-prinsipnya ke dalam gaya hidup keluarga anda, kata Dr Anjli Doshi-Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Malaysia.

Beliau berkata bahawa satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan makan bersama. Ini bukan sahaja akan merapatkan hubungan semua ahli keluarga, malah ia turut menawarkan banyak kebaikan positif lain, termasuk membolehkan anda memfokus pada anak-anak anda serta meluangkan masa berkualiti bersama mereka.

“Apabila makan bersama, anda juga boleh membuat pilihan makanan yang baik untuk si manja anda dan menanam sikap serta tabiat makan yang betul,” ujar beliau sambil menambah bahawa ibu bapa juga perlu berusaha sedaya upaya untuk menyemai tabiattabiat makan yang baik dalam kanak kanak daripada usia yang muda.

Makan bersama menjadikan anda lebih sensitif terhadap masalahmasalah anak-anak anda, kata Puan Norsheila Abdullah, Presiden, Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.

“Waktu makan keluarga akan menjadikan anda lebih menyedari tentang kerenah anak-anak anda,” ujar beliau. “Jika si manja anda sedang murung atau sedih tentang sesuatu, maka anda akan lebih bersedia untuk melakukan sesuatu menanganinya.”

Puan Norsheila juga menambah bahawa oleh kerana kanak-kanak mudah terpengaruh dan memandang tinggi ibu bapa mereka maka anda perlu sentiasa membuat pilihan makanan yang betul dan mengamalkan tabiat makan yang sihat.

“Sebagai contoh, jika anda makan di hadapan televisyen atau makan pada waktu yang tidak tetap, maka ada kemungkinan besar yang anak anda juga akan mengikut tingkah laku anda,” kata beliau. “Mereka akan bertanggapan bahawa jika mama atau abah mereka boleh berbuat demikian, saya juga boleh melakukannya!”

Pengetahuan Tentang Pemakanan Adalah Penting

Menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, Mantan Presiden, Persatuan Pediatrik Malaysia & Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pengasuhan Positif, semua ibu bapa ingin memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka tetapi di dalam hal pemakanan yang baik, tidak ramai yang tahu di mana atau bila untuk bermula.

“Membekalkan pemakanan yang baik dan menyemai tabiat makan sihat tidak akan datang secara semulajadi kepada ramai ibu bapa,” ujar beliau. “Itulah sebab mengapa mereka perlu berusaha untuk belajar tentang pemakanan demi kebaikan anak-anak mereka.”

Datuk Dr Zulkifli juga berkata bahawa ramai ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memberi perhatian pada makanan atau tabiat makan anak-anak mereka. Beliau turut menambah bahawa adalah sukar bagi ibu bapa untuk mengubah tabiat makan yang tidak sihat setelah anak-anak mereka melepasi tahun-tahun tumbesaran mereka.

Menurut Datuk Dr Zulkifli, program Pengasuhan Positif dan juga inisiatif Bulan Pemakanan Sihat Malaysia berfungsi sebagai satu titik permulaan dan beliau turut menambah bahawa program program seperti ini akan membekalkan pengetahuan, maklumat dan nasihat pakar yang membolehkan ibu bapa memberikan pemakanan yang optimum kepada anak-anak mereka.

Ibu bapa juga perlu melayari web Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak berwibawa tempatan/antarabangsa yang dikendalikan oleh organisasi-organisasi kesihatan profesional. “Anda perlu mencuba sendiri untuk mencari sebanyak mana maklumat yang anda boleh,” tekan beliau. “Hanya dengan cara ini sahajalah anda akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengoptimumkan kesihatan dan kesejahteraan anak anda.”

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen