Pengasuhan Positif

Tip Keselamatan dan Kebersihan Makanan Untuk Si Kecil

Membeli-belah barangan dapur, menyediakan dan memasak makanan boleh jadi satu pengalaman pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan bersama si kecil anda. Ini juga merupakan peluang terbaik untuk mengajar dan memperlihatkan kepada mereka tentang keselamatan makanan dan kebersihan. Ini beberapa tip mudah untuk mengajar anak anda tentang topik ini berdasarkan situasi yang berlainan.

Membeli-belah bersama si kecil

  • Periksa kualiti makanan: Ajar anak anda untuk memeriksa tarikh luput produk makanan dan memastikan bungkusannya tidak rosak, kotor atau kemek. Produk makanan seperti buahan dan sayuran perlu segar. Dia boleh berlakon sebagai pegawai kesihatan yang menilai kualiti makanan.
  • Ikut turutan yang betul: Turutan ideal semasa membeli barangan dapur ialah membeli makanan kering dulu, kemudian makanan mudah rosak (cth. buah, sayur), dan akhir sekali makanan yang disejukkan dan dibekukan. Anda boleh menghantar anak-anak yang lebih tua untuk mengambil barang-barang mengikut arahan, manakala anak-anak yang lebih muda boleh membantu anda menandakan senarai barang harian yang telah dibeli.
  • Mengendalikan makanan secara betul: Anak anda boleh membantu menyusun barangan dalam troli mengikut jenis. Contohnya, mengasingkan daging dan makanan laut daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. Tunjukkan cara bagaimana mengendali jenis makanan yang berbeza, contohnya basuh tangan selepas memegang daging dan ikan.

Memasak bersama si kecil

  • Beri tugasan mengikut umur: Anak anda boleh membantu dengan membasuh, menimbang, mengacau atau mencampurkan bahan berdasarkan kemampuannya. Anda atau orang dewasa lain perlu sentiasa ada untuk mengawasi anak anda dalam mengendali barangan panas atau tajam.
  • Pakai pakaian yang sesuai: Tunjukkan kepada anak anda pakaian yang sesuai semasa menyediakan makanan. Pakai apron, tanggalkan aksesori (seperti gelang atau jam tangan) dan ikatkan rambut panjang. Gunakan sarung tangan oven apabila mengendalikan objek yang panas. Dengan cara ini, anak anda juga dapat bermain olok-olok (play-pretend) ketika memasak.
  • Jaga kebersihan: Pastikan anak anda membasuh tangan apabila menolong anda. Dia boleh menolong membersihkan meja/kaunter dapur, mencuci buahan dan sayuran, dan mengemas selepas memasak. Ajar cara untuk mencegah pencemaran silang dengan menggunakan bekas dan perkakas berbeza untuk bahan mentah dan bahan telah dimasak.
  • Jaga keselamatan: Ingatkan anak anda supaya berhati-hati dengan objek panas atau tajam, dan jangan berlari atau bermain di dapur. Kanak-kanak lebih tua boleh membantu membersihkan apa-apa yang tumpah dengan segera. Gajet patut disimpan semasa memasak untuk mengelakkan gangguan.

Menyimpan makanan bersama si kecil

  • Simpan makanan dengan betul: Beritahu anak anda di mana untuk menyimpan jenis makanan berbeza. Contohnya, susu, telur dan sayuran perlu diletakkan dalam peti sejuk, manakala bahan kering seperti beras, bijirin dan kekacang perlu disimpan di tempat kering pada suhu bilik. Dia boleh membantu anda menyimpan makanan selepas membeli-belah.
  • Ketahui berapa lama makanan boleh disimpan: Maklumkan anak anda yang masakan atau lebihan makanan perlu disimpan dalam peti sejuk dalam masa dua jam selepas dimasak dan tidak boleh disimpan lebih daripada dua hari. Tapi makanan sejuk beku boleh disimpan hingga tiga bulan dalam peti sejuk.

Apabila kita bercakap tentang keselamatan dan kebersihan makanan, ia tidak terhad semasa kita makan saja. Prinsip keselamatan dan kebersihan makanan bermula di pasar dan berterusan hingga ke dapur, malah sebelum makanan dihidang di meja makan. Satu tip terakhir: mulakan dengan mengajar si kecil anda cara membasuh tangan dengan betul kerana ia merupakan salah satu aspek yang sangat penting dalam keselamatan dan kebersihan makanan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen