Pengasuhan Positif

Melihat Anak Anda Membesar

Kadar pertumbuhan paling pantas dapat dilihat dalam 12 bulan pertama hayat anak anda. Dalam mingguminggu permulaan, berat badan bayi meningkat 20-30 g sehari. Apabila berusia 1 tahun, berat bayi patut 3 kali berat semasa lahir dan panjangnya 1.5 kali.

Pertumbuhannya mulai perlahan selepas si manja mencapai usia 2 tahun, apabila berat badannya bertambah 2-3 kg dan ketinggiannya meningkat antara 5 hingga 7.5 sm setiap tahun.

Saiz kepalanya juga bertambah, hampir mencapai lilitan maksimum pada usia dua tahun. Berat otaknya menyamai berat otak orang dewasa apabila usianya 10 tahun.

Pada masa yang sama, bahagian badannya yang lain, seperti tulang, gigi dan ototnya juga turut membesar.

Tulangnya semakin panjang dan kuat, menjadikan si manja lebih tinggi dan potongan badannya lebih matang. Ototnya membesar dan bertambah berat. Menjelang usia 5 tahun, ototnya menyumbang 35% daripada berat keseluruhan badan.

Gigi bayi pula mula tumbuh apabila usianya 6 bulan. Ia amat merengsakan bayi, tetapi kesakitan tumbuh gigi ini hanya berlaku sekali, iaitu di peringkat awal dan tidak akan berulang setiap kali gigi lain tumbuh. Si manja seharusnya mempunyai set gigi susu yang penuh apabila mencapai usia 21/2 tahun. Antara usia 6 hingga 14 tahun, gigi kekalnya mula menggantikan gigi susu.

PERUBAHANPERUBAHAN LAIN

Selain membesar secara fizikal, anak anda juga berubah dalam cara lain. Semasa masih bayi, dia akan bergantung sepenuhnya kepada anda untuk menyuapkan makanan, menyalinkan lampin dan pakaian, dan mendukungnya ke sana sini. Tetapi lama kelamaan, perkembangan otaknya membolehkan si manja belajar melakukan sendiri semua keperluan ini. Keupayaannya yang bertambah hari demi hari, termasuk keupayaan untuk memahami, membuat penilaian dan keputusan, dan menyelesaikan masalah, pasti menakjubkan anda. Dia juga boleh menggunakan pengalaman dan pelajaran yang diperolehi untuk menangani keadaan dalam situasi semasa.

Secara perlahan-lahan, kanak-kanak belajar untuk berdikari. Dia akan melalui empat bahagian perkembangan, iaitu ‘kemahiran motor kasar’, ‘kemahiran motor halus’, ‘pertuturan dan bahasa’ dan ‘pergaulan sosial’.

rightnutrition1

Kemahiran motor kasar membabitkan pergerakan anggota, untuk membolehkan si manja merangkak, duduk, berjalan dan berlari. Kemahiran motor halus menambah keupayaannya untuk membuat sesuatu dengan jarijarinya, seperti mengambil pensel untuk melukis, dan melakukan pergerakan-pergerakan kecil lain yang mempunyai tujuan.

Pertuturannya bermula dengan sebutan perkataan-perkataan mudah yang didengari dan dipelajari dari orang dewasa. Kanak-kanak kemudiannya belajar memahami dan menggunakan bahasa, yang bukan sahaja membawa makna, tetapi juga disertakan gaya dan kemahiran untuk berkomunikasi.

Kemahiran terakhir yang dipelajari oleh si manja ialah pergaulan sosial, yang membolehkannya menyesuaikan diri dengan orang lain. Dia akan melalui peringkat peralihan pemikiran. Daripada menjadi tumpuan perhatian, kanak-kanak belajar menjalin persahabatan dan berinteraksi dengan orang-orang di sekelilingnya. Dia belajar berbual, berinteraksi, berkawan dan mengenal pasti apa yang disukai dan tidak disukai oleh mereka. Semua ini menjadikan dia lebih matang dan berdikari.

ASAS YANG BETUL

Rangsangan daripada interaksi dengan anggota keluarga, mainan berunsur pendidikan, komunikasi dan perbualan sangat penting dalam dua tahun pertama hayatnya. Rangsangan ini merupakan asas interaksi sosial anak anda da akan menjadikan lebih matang. Tetapi si manja memerlukan pemakanan yang betul supaya dapat membesar dengan sihat dan mencapai potensi sepenuhnya.

rightnutrition2

Makanan yang berkhasiat sangat penting kerana nutrien yang terdapat di dalamnya membekalkan tenaga untuk badan kanak-kanak menjalankan aktiviti pembinaan. Makanan juga membekalkan nutrien lain seperti protein, vitamin, mineral dan serat, yang membantu badannya untuk berfungsi dengan baik.

MULAKAN DENGAN SUSU IBU

Pemakanan yang betul perlu dimulakan sebaik sahaja bayi lahir. Susu ibu adalah makanan paling lengkap dan paling baik untuk bayi, kerana susu ibu dapat membekalkan segala nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang betul. Susu ibu juga mengandungi antibodi yang melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit. Anda harus menyusukan bayi sebaik sahaja dia dilahirkan, sehingga usianya 6 bulan. Penyusuan ibu harus diteruskan walaupun setelah anda memperkenalkannya kepada makanan tambahan.

Selepas 6 bulan, anda masih boleh terus menyusukan bayi sehingga usianya 2 tahun. Anda tidak perlu menghentikan pemberian susu ibu selepas anda kembali bekerja, kerana anda boleh memerah susu dengan tangan atau menggunakan pam, mengisinya dalam botol susu bersih, dan menyimpannya dalam peti sejuk sebelum anda meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja. Susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk selama 24 jam.

Dalam iklim tropika seperti di negara kita, susu ibu yang tidak disimpan dalam peti sejuk hanya tahan 6 atau 8 jam selepas diperah. Semasa anda di tempat kerja, susu yang disimpan dalam peti sejuk boleh diberikan kepada bayi oleh penjaganya.

MEMPERKENALKAN MAKANAN TAMBAHAN

Apabila bayi bertambah besar, dia tidak boleh bergantung kepada susu ibu semata-mata untuk mendapatkan segala nutrien yang diperlukan. Makanan tambahan (separa pejal dan pejal) boleh diperkenalkan apabila bayi berusia antara 4 hingga 6 bulan.

rightnutrition3

Makanan yang anda berikan mestilah berkhasiat dan mengandungi segala nutrien yang diperlukan oleh si manja untuk membina tulang dan gigi yang kuat, serta otot yang sihat.

Kepelbagaian makanan sangat penting, kerana pilihan makanan yang anda buat untuk si manja akan menentukan kegemarannya sepanjang hayat. Dengan mempelbagaikan makanan tambahan, kanak-kanak lebih mudah menerima lebih banyak jenis makanan apabila dia membesar dan menjadi

dewasa. Jika boleh, jangan campurkan makanan yang berlainan; biarkan kanak-kanak mencuba setiap jenis makanan pada satu masa, supaya dia boleh belajar mengenali dan menyukai setiap rasa makanan yang diberikan kepadanya.

TABIAT MAKAN PRA-SEKOLAH

Zaman pra-sekolah adalah masa yang sangat aktif dan menyeronokkan bagi si manja. Dalam usia ini, dia memerlukan lebih banyak tenaga untuk membesar, bermain dan belajar. Anda boleh membantunya dengan memberikan makanan yang berkhasiat. Tugas ini ada kalanya tidak semudah yang kita sangka, kerana kanak-kanak dalam usia pra-sekolah mempunyai tabiat makan yang aneh dan seleranya sukar diramalkan.

Bagaimanapun, dengan bantuan 13 garis panduan PERMULAAN PEMAKANAN CERIA, anda boleh menghadapi kerenah makan si manja dan terus memberinya makanan yang sihat, seimbang dan berkhasiat (lihat rencana sampingan).

Dengan asas yang kukuh, kanak-kanak akan dapat mengambil langkah-langkah selanjutnya dengan yakin, untuk membesar dengan sihat dan ceria, dan membina kehidupan yang bahagia. Apabila ini berlaku, pastikan anda sentiasa berada di sampingnya. Perjalanan ini pasti menyeronokkan bagi anda, si manja dan juga seisi keluarga!

Persatuan Pediatrik Malaysia menyokong inisiatif Persatuan Pemakanan Malaysia untuk menjalankan program pendidikan pemakanan pra-sekolah di Malaysia, yang dinamakan PERMULAAN PEMAKANAN CERIA, dengan matlamat untuk menggalakkan pemakanan yang sihat. Di bawah program ini, 13 garis panduan pemakanan telah dihasilkan untuk membantu anda memastikan si manja mendapat pemakanan yang betul dan berkualiti.

GARIS PANDUAN PERMULAAN PEMAKANAN CERIA

  1. Berikan pelbagai jenis makanan yang baik dan berkhasiat
    Kanak-kanak perlukan pelbagai jenis makanan yang membekalkan segala nutrien untuk perkembangan otak dan pembinaan badan. Cara terbaik untuk memastikan pemakanan yang lengkap dan seimbang ialah dengan mengikuti saranan Piramid Panduan Makanan.
  2. Jadikan beras, bijirin lain dan makanan berasaskan bijirin sebagai sumber utama tenaga
    Untuk mendapatkan tenaga, kanak-kanak memerlukan makanan berkarbohidrat seperti bijirin, gandum, beras dan ubi. Nasi adalah pilihan yang baik, kerana ia merupakan makanan ruji di negara kita. Nasi bukan sahaja membekalkan tenaga, tetapi juga rendah lemak.
  3. Galakkan lebih banyak buahbuahan dan sayur-sayuran untuk membekalkan vitamin dan zat galian
    Buah-buahan dan sayursayuran mengandungi vitamin dan zat-zat galian, yang membantu pertumbuhan dan perkembangan, membina sistem imun dan menjamin kesihatan dan kesejahteraan. Ia juga mengandungi serat makanan, yang membantu mencegah sembelit. Kanak-kanak memerlukan keduaduanya, kerana ia tidak boleh menggantikan satu sama lain.
  4. Berikan ikan, daging tanpa lemak, ayam itik, telur, kekacang, produk berasaskan kekacang dan bijian untuk membekalkan protein
    Badan kanak-kanak menggunakan protein sebagai blok pembinaan supaya dia boleh membesar dengan sempurna. Untuk memenuhi keperluan ini, dia memerlukan protein haiwan dan protein tumbuhtumbuhan. Jika kanak-kanak tidak boleh makan protein haiwan (atas sebab agama atau budaya), berilah dia pelbagai kacang, produk kekacang dan bijian.
  5. Berikan susu, produk tenusu dan makanan lain yang kaya dengan kalsium setiap hari
    Pertumbuhan tulang dan gigi yang kuat dan sihat banyak bergantung kepada zat galian yang dinamakan kalsium. Sumber terbaik kalsium dalam diet si manja ialah susu dan produk susu. Makanan lain yang mengandungi kalsium termasuk ikan dengan tulang yang boleh dimakan (seperti sardin dan ikan bilis) dan sayur-sayuran berdaun hijau.
  6. Berikan daging tanpa lemak, ayam itik, ikan, sayur-sayuran dan makanan lain yang kaya dengan zat besi setiap hari untuk mengelakkan kekurangan zat
    Kekurangan zat besi adalah masalah utama yang biasa dialami oleh kanak-kanak di seluruh dunia. Kanak-kanak memerlukan zat besi dari makanannya, seperti daging tanpa lemak, ayam itik, hepar dan ikan. Zat besi juga boleh didapati daripada bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang. Sebaik-baiknya, jangan beri si manja zat besi tambahan, melainkan disyorkan oleh doktor.
  7. Lemak penting, tetapi elakkan berlebihan
    Kanak-kanak juga memerlukan lemak dalam dietnya, untuk memberikan tenaga, asid lemak dan vitamin larut lemak. Asid lemak penting untuk perkembangan otak si manja, sistem saraf dan juga matanya. Bagaimanapun, pengambilan makanan berlemak secara berlebihan boleh menimbulkan masalah berat badan berlebihan dan seterusnya menyebabkan kanak-kanak menjadi gemuk apabila dia dewasa dan terdedah kepada risiko penyakit-penyakit seperti penyakit jantung koronari, angin ahmar, diabetes dan beberapa jenis kanser. Sebaliknya, makanan rendah lemak juga tidak sesuai untuk kanak-kanak kecil.
  8. Hadkan manisan, makanan manis dan minuman bergula, kurangkan pengambilan garam
    Kanak-kanak gemar gula-gula dan makanan manis, yang biasanya mengandungi banyak kalori tetapi kurang nutrien. Pengambilan makanan manis secara berlebihan boleh menyebabkan berat badan anak anda naik secara berlebihan. Si manja juga tidak perlukan terlalu banyak garam dalam makanannya, kerana garam berlebihan boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi apabila usianya meningkat.
  9. Jika kanak-kanak perlukan snek, berikan sedikit makanan snek yang berkhasiat, pada masa yang sesuai
    Anda mungkin perlu berikan snek antara waktu makan untuk menceriakan anak anda. Pastikan makanan snek yang anda beri berkhasiat, tidak sebanyak sajian waktu makan, dan tidak terlalu hampir waktu makan.
  10. Sediakan makanan dengan cara yang bersih dan selamat untuk dimakan
    Kanak-kanak mudah mendapat jangkitan dan penyakit yang mungkin berpunca daripada makanan tercemar. Oleh itu, amalkan cara yang bersih untuk menyediakan dan menyimpan makanan, bagi mengelakkan kanak-kanak dijangkiti penyakit.
  11. Galakkan kegiatan fizikal untuk kecergasan dan perkembangan optimum
    Jangan biarkan si manja menonton TV atau bermain komputer sepanjang hari. Sebaliknya, galakkan dia bermain dan berlari-lari dengan kawan-kawan. Kegiatan fizikal menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan, meningkatkan kecergasan dan mengurangkan risiko berat badan berlebihan.
  12. Ukur pertumbuhannya untuk memantau kesihatan dan status pemakanan
    Anda perlu memantau pertumbuhan kanak-kanak secara tetap untuk memastikan sama ada dia membesar pada kadar yang sihat dan normal, apabila dibandingkan dengan carta pertumbuhan antarabangsa. Dapatkan carta ini daripada doktor anda atau hubungi PERMULAAN PEMAKANAN CERIA (BRIGHT START NUTRITION) pada Tel. (03) 5621 1408 untuk mendapatkan satu set.
  13. Jadikan waktu makan bersama keluarga pengalaman yang menyeronokkan
    Waktu makan bersama keluarga di rumah adalah masa paling sesuai untuk menggalakkan tabiat makan yang sihat. Kanak-kanak gemar meniru orang dewasa. Jadi, tunjukkan teladan yang baik dengan membuat pilihan makanan yang sihat untuk diri anda sendiri. Waktu makan seharusnya ceria dan menyeronokkan, supaya si manja sentiasa menantikan waktu itu, untuk makan bersama anda dan anggota-anggota keluarga yang lain.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen