Pengasuhan Positif

Kepentingan Lemak Untuk Si Manja

Anda mungkin fikir pemakanan si manja anda tidak patut mengandungi lemak kerana anda diberitahu bahawa lemak akan memudaratkan kesihatan dan akan hanya menyebabkan kegemukan. Tanggapan ini salah. Sebenarnya, anak anda memerlukan lemak untuk membolehkan badannya berfungsi dengan baik. Lemak hanya menimbulkan masalah kesihatan apabila diambil secara berlebihan.

Mengapa Anak Anda Perlukan Lemak

Lemak penting untuk si manja kerana ia membantu penyerapan nutrien, transmisi saraf dan mengekalkan keutuhan membran sel. Selain sebagai sumber tenaga, lemak juga membantu mengekalkan kesihatan rambut dan kulit, melindungi organ penting dan badan dengan menebat dan mengekalkan suhu badan.

Lemak berfungsi dalam badan si manja dengan cara berikut:

  • Komponen penting untuk kesihatan dan fungsi membran
  • Menebat dan bertindak sebagai penyerap hentakan bagi tulang dan organ
  • Membekalkan bahan seakan hormon untuk mengawal banyak fungsi badan
  • Asid lemak Omega-3 membantu pertumbuhan, perkembangan dan fungsi otak
  • Membantu badan menyerap vitamin A, D, E dan K yang larut lemak
  • Membekalkan komponen struktur mielin, sarung penebat lemak di sekeliling setiap saraf, membolehkannya menghantar perutusan dengan lebih cepat

Jenis Asid Lemak

Lemak dari segi kimia dikenali sebagai asid lemak, boleh digolong kepada 3 kumpulan asas: lemak mono taktepu (MUFA), lemak poli taktepu (PUFA) dan lemak tepu (SFA)

MUFA dan PUFA (termasuk lemak penting seperti Omega-3 dan Omega-6), yang dikenali sebagai lemak baik dan neutral, baik untuk kesihatan jantung. SFA dan lemak trans (atau asid lemak trans) adalah lemak yang boleh memudaratkan kesihatan. Terlalu banyak lemak tepu akan meningkatkan tahap kolesterol dalam darah.

v3-08-article09a-bm

Apakah EFA?

Lemak juga membekalkan asid lemak perlu (EFA) yang diperlukan untuk fungsi badan tertentu. EFA adalah blok binaan otak dan komponen pemakanan utama daripada lemak. Anak anda perlukan pelbagai jenis asid lemak dan badannya berupaya menghasilkan kesemuanya kecuali asid alfa-linolenik (ALA), iaitu sejenis asid lemak Omega-3, dan asid linoleik (LA), sejenis asid lemak Omega-6, yang mesti dibekalkan dalam makanan si manja.

EFA menyokong pembangunan dan perkembangan otak, mata, kulit dan sendi yang sihat sejak bayi hingga remaja, serta mengekalkan kolesterol di tahap yang sihat. Ia juga merangsang pengedaran darah untuk mengekalkan kesihatan jantung dan sistem imun.

Setelah mengetahui bahawa lemak penting untuk anak anda yang sedang membesar, pastikan pemakanan si manja membekalkan pelbagai jenis lemak baik dalam jumlah yang cukup. Tetapi ingat, pengambilan lemak berlebihan menyebabkan si manja anda menjadi gemuk dan menimbulkan masalah kesihatan. Kurangkan makanan mengandungi lemak tepu dan lemak trans. Sebaliknya, pilih lebih banyak makanan yang kaya dengan lemak tidak tepu.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen