Pengasuhan Positif

Bersedia ke Prasekolah

Meja anda dipenuhi dengan risalah, rencana surat khabar dan iklan mengenai kaedah terkini pendidikan prasekolah. Anda melayari internet untuk meninjau halaman web prasekolah. Anda juga menghubungi pengetua prasekolah dan bertanya berapakah kos pembelajaran jika anda menghantar anak anda ke sana.

Ya, inilah masanya untuk ke prasekolah. Ia merupakan langkah pertama anak anda ke dunia sosial selain bersama ibu bapanya dan merupakan permulaan untuk masa depan yang cerah.

Ramai ibu bapa menyedari kepentingan pendidikan prasekolah dan tidak ragu-ragu untuk memberikan yang terbaik untuk anak mereka, namun ada yang kurang memahami apakah yang dimaksudkan dengan yang ‘terbaik’.

Untuk rencana isu kali ini, kami menemubual Prof Dr Chiam Heng Keng, Presiden Persatuan Pendidik Profesional Awal Kanak-kanak, Malaysia; Jayawathi Perera, Presiden Persatuan Tadika Malaysia; dan Eveleen Ling, penasihat kepada Persatuan Tadika Malaysia bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung pendidikan prasekolah yang berkualiti dan apa yang anda boleh lakukan – bermula dengan pemilihan prasekolah untuk anak anda – bagi memastikan tahun pertama yang istimewa untuk anda berdua.

Apakah pendidikan prasekolah yang berkualiti?

Ia mungkin memeranjatkan anda namun jawapannya mudah: sekolah yang memberi manfaat kepada anak anda. Sesebuah prasekolah hanya boleh memberi manfaat sekiranya ia memenuhi keperluan anak anda untuk berkembang pada setiap peringkat perkembangannya, bukan mengikut kehendak guru atau ibu bapa.

Pendidikan prasekolah berkualiti yang sesuai

Perkembangan kanak-kanak ialah satu proses yang kompleks yang meliputi bahasa dan komunikasi; perkembangan kognitif; perkembangan sosio-emosi; perkembangan kemahiran berfikir secara kritikal; perkembangan fizikal; kerohanian dan moral; dan kreativiti dan estetika. Setiap kanak-kanak walaupun sebaya, berkembang pada kadar berbeza. Apa yang bermanfaat pada seorang kanak-kanak mungkin tidak berguna kepada kanak-kanak yang lain.

Oleh itu, setiap pendekatan, aktiviti dan bahan yang digunakan mestilah bersesuaian dengan perkembangan setiap kanak-kanak. Sebagai contoh, seorang anak yang belum menguasai kemahiran motor halus perlu diberi latihan pramenulis seperti bermain dengan tanah liat (atau plastisin) atau mewarna dan bukannya memaksanya untuk menulis ABC sebanyak berpuluh muka surat.

Pendidikan prasekolah berkualiti yang tulus

Kebanyakan ibu bapa lebih tertumpu kepada perkembangan kognitif anak mereka. Mereka mahukan anak mereka berfikir secara logik, pantas belajar dan pandai menyelesaikan masalah walaupun masih muda. Mereka mahu anak mereka menjadi ‘pintar’.

Pendidikan prasekolah yang berkualiti bukan sahaja mementingkan nilai tersebut. Ia menitikberatkan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan yang merangkumi kemahiran bahasa dan komunikasi, perkembangan emosi sosial dan fizikal, kreativiti dan estetika serta pembentukan moral dan kerohanian.

Prasekolah berkualiti sebagai pusat bermain

Bermain ialah bahasa universal untuk kanak-kanak. Dengan bermain, mereka belajar mendapat pengetahuan, memahami diri sendiri dan orang lain serta mengawal emosi mereka. Mereka belajar mengenai bentuk dan saiz, tindakan dan akibat, menang dan juga erti kekalahan. Mereka terdedah dengan pelbagai pengalaman yang membantu perkembangan intelektual.

Pendidikan prasekolah berkualiti menggunakan pendekatan yang integrasi Jika ingin menarik minat kanak-kanak untuk belajar, dia perlu tahu bahawa apa yang dipelajarinya akan dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan bukannya terhad di dalam kelas sahaja. Berdasarkan prinsip ini, pendekatan yang bersifat integrasi akan melibatkan pelbagai aspek perkembangan ke dalam setiap aktiviti untuk menjadikan pengalaman pembelajaran lebih efektif.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak diminta membayangkan dirinya berjalan di taman dan melukis apa yang dilihatnya. Untuk melakukan ini, dia memerlukan kemahiran kognitif dan kreativiti untuk melukis gambar yang berada di fikirannya, kemahiran motor halus untuk melukis bunga dan pokok seperti yang dibayangkan dan kemahiran bahasa untuk berkomunikasi dengan guru tentang apa yang dilukisnya.

Tentang Kurikulum Prasekolah Kebangsaan

Prasekolah di Malaysia adalah sebahagian daripada Sistem Pendidikan Kebangsaan dan berada di bawah Akta Pendidikan 1996. Ia dijalankan oleh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau institusi swasta. Walaupun berlainan metodologi, ia perlu mengikut Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) yang dibangunkan oleh Pusat Pembangunan Kurikulum (PPK).

KPK menganjurkan kurikulum yang bersepadu dan menyeluruh serta merangkumi semua aspek perkembangan kanak-kanak seperti yang dinyatakan di atas. Ia digubah mengikut konteks tempatan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. KPK memberi garis panduan yang fleksibel kepada setiap prasekolah untuk merancang aktiviti mereka.

Ciri-ciri prasekolah yang anak anda minat

Cara terbaik untuk menilai prasekolah yang berkualiti ialah dengan melawatnya sendiri. Hubungi prasekolah tersebut dan buat temu janji untuk melawat kelas yang sedang dijalankan. Elakkan daripada membuat lawatan pada bulan Januari kerana kelas baru sahaja bermula. Jika boleh, lawat ketika guru dan kanak-kanak sudah bersedia dan segalanya berjalan dengan lancar. Berhati-hati ketika melawat kerana kanak-kanak mudah terganggu. Perhatikan dari jauh dan jangan bertanya soalan kepada guru ketika dia sedang mengajar. Di sini terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira:

Pendaftaran yang sah

Sebuah prasekolah perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendidikan Negeri, salah satu cabang Kementerian Pelajaran. Kementerian akan sentiasa membuat pemantauan dan setiap prasekolah yang didaftarkan perlu memenuhi keperluan minimum dan kualiti pendidikan yang piawai.

Selamat dan mesra untuk kanak-kanak

Keselamatan anak adalah keutamaan anda. Itulah sebabnya mengapa anda perlu menghantar anak ke prasekolah yang berdaftar kerana ia memenuhi keperluan keselamatan tempat, keselamatan kebakaran dan juga kebersihan. Sebagai tambahan, anda boleh perhatikan sama ada terdapat ciri-ciri keselamatan yang lain: Adakah kawasan luarnya berpagar? Adakah terdapat bucu-bucu tajam di meja? Adakah sinki dan tandas sesuai untuk kanak-kanak?

Sebuah prasekolah perlu bersih, ceria, mempunyai pengudaraan yang baik serta ruang yang cukup besar untuk anak anda berlari dan bermain. Hasil kerja mereka yang ditampal pada dinding juga perlu selaras dengan paras mata mereka.

Memandangkan komunikasi terbuka juga penting dalam proses pembelajaran, kelas yang ideal ialah antara 12 hingga 15 kanak-kanak dengan seorang guru dan seorang pembantu.

Kurikulum berdasarkan KPK (Kurikulum Prasekolah Kebangsaan)

Ciri-ciri sebuah prasekolah yang baik seperti yang dibincangkan seharusnya dicerminkan dalam program prasekolah tersebut. Adakah kurikulumnya seimbang dan bersesuaian dengan tahap perkembangan? Adakah ia memperuntukkan masa untuk makan tengahari, snek ringan, tidur petang dan bermain secara bebas?

Kesemua kriteria ini perlu dipenuhi sekiranya prasekolah tersebut berdaftar dengan KPK. Sekiranya anda tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai KPK, pengetua dan guru prasekolah sepatutnya tahu dan boleh menjelaskannya kepada anda.

Falsafah yang betul

Oleh kerana nilai moral dan kelakuan anak anda yang dipelajari di rumah perlu konsisten dengan prasekolah, pastikan anda berkongsi falsafah yang sama dengan prasekolah tersebut.

Katakan falsafah prasekolah ialah mengajar kanak-kanak supaya pandai berdikari – sebagai contoh, basuh tangan dan memakai baju sendiri. Kanak-kanak mungkin belajar hal ini di prasekolah namun apabila dia pulang ke rumah, ibu atau pembantu rumah yang akan melakukan untuknya. Secara tidak sengaja, ia telah bercanggah dengan apa yang telah dipelajari oleh kanakkanak tersebut.

Oleh itu, adalah penting anda bertanya kepada guru apakah falsafah prasekolahnya. Mereka sepatutnya boleh memberitahu anda falsafah tersebut dan bagaimana mereka mengajarnya di dalam kelas setiap hari.

Guru yang baik dan berkelayakan

Mudah sahaja untuk mengenali guru prasekolah yang bagus. Dia seorang yan g baik hati, ceria dan menyukai kanak-kanak. Dia berminat untuk melibatkan diri dengan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak. Dia memakai baju yang memudahkannya berbongkok apabila bercakap dengan kanak-kanak, berlari atau merangkak apabila bermain bersamanya. Dia seorang yang sensitif dan responsif- jika seorang kanak-kanak terjatuh, dia akan segera memujuknya.

Anda diibaratkan menyerahkan sebahagian tanggungjawab besar pembelajaran anak anda kepada guru, maka guru tersebut perlulah mempunyai kelayakan akademik dan profesional. Dia juga patut mempunyai pengetahuan mengenai Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dan boleh menjelaskan bagaimana dia menggunakannya di dalam kelas.

Kanak-kanak yang gembira, mengerti dan produktif

Pemandangan yang indah di prasekolah ialah apabila melihat wajah gembira kanak-kanak yang produktif. Anda boleh lihat mereka bekerjasama menyelesaikan projek, berkawan dan berseronok. Mereka lebih ekspresif, yakin dan berkomunikasi secara terbuka sesama mereka dan juga guru apabila berada di dalam kelas.

Kehadiran ibu bapa

Cuba tanyakan mengenai aktiviti yang melibatkan ibu bapa. Berapa kalikah mereka mengadakan hari terbuka atau perbincangan guru dan ibu bapa? Adakah anda digalakkan untuk menawarkan diri dan terlibat dalam pelbagai aktiviti? Berhati-hati dengan prasekolah yang tidak begitu mengalualukan penglibatan anda.

Menyiapkan anak ke prasekolah

Melangkah ke prasekolah merupakan satu perubahan besar kepada si kecil dan juga kepada anda. Sebagai ibu bapa, anda pasti berasa sedikit bimbang dan bersifat terlalu melindungi. Sekiranya anda sudah melakukan tinjauan dan yakin dengan pilihan anda, sedikit demi sedikit perasaan gementar itu akan hilang. Untuk anak anda pula, anda boleh menyediakan beberapa perkara untuknya:

Membiasakan diri

Hubungi prasekolah dan buat temujanji. Perkenalkan anak anda kepada gurunya dan biarkannya untuk membiasakan diri. Lakukan beberapa kali, atau seberapa lama yang diperlukannya.

Sekiranya anak anda adalah anak tunggal yang jarang berinteraksi dengan kanak-kanak lain, bawanya ke taman permainan berdekatan dan biarkannya rasa keseronokan bermain. Ini dapat membantunya supaya lebih bersedia apabila berhadapan dengan wajah yang tidak dikenali apabila berada di prasekolah kelak.

Buatkan anak anda berasa seronok dan tidak sabar

Bawa anak anda membeli-belah keperluan sekolah dan berbual dengannya tentang prasekolah – tentang kawan-kawan baru, keseronokan yang akan dialaminya dan baju sekolah yang akan dipakainya.

Bangun awal pagi

Latih anak anda untuk bangun awal sebagai persediaan ke prasekolah. Jadikan waktu bangun pagi sebagai waktu yang seronok dan buatkan anak anda tertunggu-tunggu apakah yang diperolehi apabila berbuat demikian. Anda boleh bersarapan pagi bersama, kemudian lakukan perkara yang anak anda suka. Lakukannya selama beberapa minggu. Apabila sudah tiba masa ke prasekolah, mengejutkannya pada waktu pagi sudah tidak menyusahkan lagi.

Kestabilan di rumah

Elakkan daripada berpindah atau mengambil pembantu rumah baru apabila anak anda mula memasuki prasekolah. Terlalu banyak perubahan akan mengganggunya.

“Meninggalkan” anak anda

Hari-hari pertama di prasekolah boleh menjadi agak sukar. Jangan hanya meninggalkan anak anda dan pergi atau melakukannya secara senyap apabila anak anda tidak melihat. Luangkan masa dengannya di prasekolah sebelum meninggalkannya. Apabila masa berlalu, anda akan lihat anak anda tidak memerlukan anda menemaninya lagi.

Bagaimana memastikan tahun pertama yang terindah di prasekolah

Sebaik mana pendidikan prasekolah adalah bergantung kepada guru dan juga anda. Sesetengah perkara – biasanya pada tahun pertama – mungkin tidak seperti yang dijangka. Bersikap positif dan realistik terhadap jangkaan anda. Guru anak anda juga mengharapkan yang terbaik untuknya. Berikut adalah beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk menjadikannya tahun yang terbaik untuknya:

Jangan hanya memerhatikan sahaja. Aktifkan diri anda dengan melibatkan diri dengan aktiviti prasekolah anak anda. Jika boleh, luangkan masa untuk menghadiri aktiviti dan menawarkan bantuan jika diperlukan.

Eratkan hubungan dengan guru dan sentiasa berkomunikasi.

Bertegur sapa dengan gurunya apabila anda menjemput pulang anak anda setiap hari. Jangan rasa risau sekiranya anda selalu bertanya kepadanya. Guru yang terlatih biasanya faham dan akan mendengar serta memberikan komen yang baik tentang kemajuan pendidikan anak anda.

Berikan galakan dan pujian kepada guru apabila dia melakukan kerjanya dengan baik. Apabila menyuarakan kebimbangan anda, janganlah terlalu menekan. Cuba cari penyelesaian dengan bekerjasama dengannya untuk mencapai keputusan.

Berbual dengan anak anda setiap hari mengenai prasekolahnya. Apa yang dilakukannya hari ini? Adakah dia seronok? Apakah hasil kerja yang dibawanya pulang? Tanya mengenai harinya dan raikan setiap perkara baik yang berlaku kepadanya. Jaga harga diri anak anda.

Jangan sesekali membandingkannya dengan kanak-kanak lain. Setiap kanakkanak adalah unik dan berkembang pada kadar berbeza. Berbincang mengenai kepintaran kawannya akan merendahkan keyakinan dirinya. Pada masa yang sama, elak daripada berbincang mengenai perkara negatif anak anda dengan guru di hadapannya.

Akhir sekali, berikan galakan kepada anak anda. Prasekolah adalah masa menyeronokkan baginya dan dia mungkin mempunyai banyak perkara yang ingin diceritakan. Biarkan dia berbicara dan jangan sesekali menyampuk ceritanya.

Walaupun prasekolah penting untuk pendidikan anak anda, ia juga merupakan masa untuk anak anda berseronok, bermain dan penuh kasih sayang. Ia bukanlah masa untuk mengajarnya sebanyak yang mungkin sebagai persediaan ke sekolah rendah atau membandingkannya dengan anak orang lain. Ia sebenarnya mencipta satu persekitaran baru yang menggalakkan perasaan ingin tahu dan membantunya untuk suka belajar. Sikap sebegini ini akan kekal sepanjang hayat dan membantu anak anda dalam membuat keputusan pada masa depan.

Kelas tambahan

Pembelajaran tidak terhad di dalam kelas sahaja, jadi janganlah anda mendaftarkan anak anda mengikuti kelas tambahan yang lain. Memaksanya melakukan perkara yang dia belum bersedia atau suka akan menyebabkannya tidak mahu belajar. Jika boleh, berilah dia peluang menimba pengetahuan baru di luar prasekolah. Dia akan belajar lebih baik sambil berseronok.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen