Pengasuhan Positif

Mencapai Perkembangan Kanak-kanak Optimal

Adakah Anak Anda Membesar Dengan Baik?

Kunci untuk membesarkan anak menjadi dewasa yang sempurna adalah dengan melakukan yang terbaik untuk memperkembangkan potensi anak anda dengan sepenuhnya.

Namun, menurut Pakar Pediatrik Datuk Dr Zulkifli Ismail, Mantan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Positive Parenting, terdapat sesetengah ibu bapa yang terlalu teruja untuk memastikan anak mereka diberi permulaan yang baik. “Anda pasti terkejut apabila mengetahui ada kanak-kanak berumur lima tahun menghabiskan hujung minggu mereka di kelas tuisyen. Dan jika kanak-kanak ini tidak menjadi seperti mana yang dikehendaki oleh ibu bapa mereka, ibu bapa tersebut akan berasa susah hati sehingga kurang menyayangi mereka. Ini seterusnya memberi impak yang negatif terhadap perkembangan dan harga diri mereka.”

Untuk memastikan kanak-kanak berkembang ke potensi mereka yang sepenuhnya, ibu bapa perlu memahami bagaimana semua aspek tentang perkembangan kanak kanak (sila lihat di bawah) berhubung kait antara satu sama lain dari kelahiran hingga kematangan.

Datuk Dr Zulkifli berkata:”Pengetahuan tentang perkembangan kanakkanak sesungguhnya dapat membantu. Tanya pendapat doktor tentang perkara yang anda tidak faham. Anda boleh berjumpa dengan pakar pediatrik untuk nasihat walaupun anak anda tidak sakit. Anda juga patut berkomunikasi dengan anak anda. Ketahui apa yang mereka suka dan tidak suka supaya anda tidak ‘menyeksa’ mereka tanpa menyedarinya.”

Bidang Penting dalam Perkembangan Kanak-kanak

MOTOR KASAR
Melibatkan pergerakan yang besar seperti merangkak, berdiri, duduk, berjalan dan sebagainya.

MOTOR HALUS
Kebolehan kanak-kanak menggunakan tangan untuk memanipulasi objek.

KEMAHIRAN PERIBADI & SOSIAL
Daripada senyum dan ketawa kepada makan dan berpakaian sendiri.

PERTUTURAN & BAHASA
Daripada bersuara dan mengagah kepada membuat ayat yang lengkap dan menggunakan bahasa untuk berkomunikasi.

Faham untuk Mencegah

Mengambil langkah pencegahan yang betul

Perkembangan kanak-kanak adalah proses di mana bayi membesar menjadi dewasa yang berdikari. Menurut Dr Hussain Imam Muhammad Ismail, perkembangan adalah berkenaan memperoleh kemahiran yang semakin rumit dan belajar berdikari.

“Perkembangan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada empat bidang utama: motor halus, motor kasar, pertuturan dan bahasa, serta kemahiran peribadi dan sosial,” kata Dr Hussain, Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur. “Empat bidang ini menjadikan seseorang itu individu yang lengkap.”

Beliau mendefinisi empat bidang tersebut seperti berikut:

  • Motor kasar – Proses di mana bayi memperoleh mobiliti bebas. Ia bagaikan tingkah laku anak ayam menetas: semulajadi, bukan dipelajari.
  • Motor halus – Ini berkaitan dengan kemampuan menggunakan tangan untuk memanipulasi objek, yang memerlukan kemahiran visual ruang.
  • Pertuturan dan bahasa – Berkisar pada keperluan untuk berkomunikasi, memperoleh dan menukar idea baru serta kematangan intelektual. Ini membolehkan manusia maju ke depan.
  • Kemahiran peribadi dan sosial – Memerlukan anda belajar berinteraksi dengan orang lain dan diri anda sendiri.

Julat Kenormalan

Dr Hussain memberitahu bahawa adalah penting bagi ibu bapa memahami julat kenormalan. Sebagai contoh, sesetengah ibu bapa mungkin berpendapat anak mereka lembap, tetapi anak ini sebenarnya mungkin berfungsi dalam julat kenormalan perkembangan.

“Seseorang tidak sepatutnya tergesa-gesa melabelkan kelewatan perkembangan kerana lazimnya ia ditentukan setelah melakukan beberapa ujian, kecuali ia adalah kes kebantutan yang ketara seperti sindrom Down,” katanya, sambil menambah bahawa ibu bapa patut mengikut aras rentetan dan sebarang jangkaan tidak sepatutnya melebihi perkembangan yang normal.

“Anak-anak hanya akan berjalan apabila mereka sedia berjalan. Penggunaan pejalan bayi atau alat tatih pada usia enam bulan tidak akan menjadikan bayi berjalan lebih awal, sebaliknya mungkin meningkatkan kemalangan dalam rumah,” Dr Hussain menekan lagi.

Masalah perkembangan bukannya asing, kerana 10% kanak-kanak mengalaminya. Namun, kebanyakan kanak-kanak hanya terjejas sedikit. Kanak-kanak dengan masalah perkembangan yang ringan boleh pulih dan mempunyai peluang yang besar menjadi dewasa yang normal dengan intervensi, pertolongan dan perhatian tambahan yang betul. Namun, kira-kira 10 hingga 15% kanak kanak dengan kelewatan perkembangan terjejas teruk dengan kekurangan yang akan menghadkan kebebasan mereka sebagai orang dewasa.

Kekurangan, Ketidakupayaan dan Kecacatan

Ketiga-tiga istilah ini sering disalah faham. Dr Hussain mengutarakan isu ini dengan kenyataan menarik: “Kekurangan merupakan masalah yang dihadapi. Contohnya, masalah penglihatan. Jika anda memakai cermin mata, penglihatan anda tidak lagi bermasalah. Sekiranya anda tidak atau tidak dapat membetulkan keadaan, ia akan menjadi satu ketidakupayaan, yang seterusnya melibatkan interaksi anda dengan limitasi sosial. Jika anda tidak dapat melakukan apa yang dijangka oleh masyarakat, maka anda akan menjadi cacat.”

Beliau menyatakan bahawa sekiranya masyarakat lebih bertolak ansur, orang kurang upaya dapat hidup dengan had keupayaan mereka dan jadi lebih produktif serta berdikari. Maka, lebih orang kurang upaya jadi berupaya.

Mencegah Masalah Perkembangan

Kongenital

Masalah perkembangan kongenital boleh dibahagikan kepada dua kumpulan: kecenderungan genetik dan genetik khusus.

“Jika anda berasal daripada keluarga yang mempunyai sejarah gangguan pembelajaran, maka terdapat kecenderungan untuk anda mengalami masalah intelektual yang tertentu,” kata Dr Hussain. “Inilah yang dimaksudkan dengan kecendurung genetik. Ia sama bagi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.”

Sementara itu, gangguan genetik khusus menjurus kepada sindrom yang dikenali. Individu dengan sindrom Down, contohnya, mempunyai lebihan kromosom ke-21 yang mengakibatkan kerencatan perkembangan, terutamanya fungsi intelektual, kemahiran bahasa dan sosial. Dr Hussain menyatakan bahawa ini merupakan masalah kromosom genetik khusus yang paling lazim di negara ini, dan ia tidak pulih dengan masa.

Sub-budaya

Faktor sub-budaya mengakibatkan 10% kerencatan mental. Dr Hussain menerangkan, “Penempatan yang tidak terurus, malpemakanan, kemiskinan, kekurangan motivasi, keyakinan diri dan peluang cenderung membawa masalah, mengakibatkan sama ada kerencatan yang ringan, sederhana atau teruk.”

Punca Masalah Perkembangan

Bukan semua masalah perkembangan boleh dirawat. Bergantung kepada masa intervensi dan tahap serius, Dr Hussain menyatakan tidak terdapat jaminan bahawa sesuatu masalah itu boleh dibetulkan. “Seperti masalah yang lain, pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.”

Beberapa pendekatan boleh diambil untuk mencegah masalah perkembangan termasuk:

  1. Penyaringan ibu mengandung.
    Penyaringan membantu mengesan masalah seperti kerencatan mental yang diakibatkan oleh penyakit seperti AIDS dan sifilis. Kanak-kanak juga patut diimunasi terhadap rubela untuk mengelak daripada sindrom kongenital rubela.
  2. Penyaringan bayi baru lahir.
    Saringan perlu dijalankan untuk hipotiroidisme kongenital. Jika dirawat awal, kanak-kanak dapat berkembang secara normal. Pengesanan untuk jaundis tahap tinggi juga dapat mengelakkan kemungkinan tinggi kerosakan otak.
  3. Memastikan keselamatan bersalin.
    Kelahiran sepatutnya dikendalikan dalam persekitaran yang selamat untuk mengelakkan kecederaan dan trauma masa kelahiran.
  4. Merancang kehamilan.
    Wanita yang merancang untuk hamil patut mempertimbangkan usia mereka. Sekiranya anda berumur 35 tahun ke atas, anda akan menghadapi risiko lebih tinggi melahirkan anak dengan sindrom Down.
  5. Membasmi punca sub-budaya.
    Peluang untuk memajukan diri akan bertambah dengan usaha giat untuk mempertingkat pemakanan, penempatan, pendidikan dan memberikan sokongan kepada mereka yang terdedah kepada punca sub-budaya.
  6. Memperuntukkan lebih banyak cara untuk intervensi awal.
    Terdapat permintaan yang tinggi terhadap para profesional kesihatan bersekutu di Malaysia. Kekurangan pakar terapi dan penugasan berbilang oleh jururawat menyebabkan intervensi awal tidak lengkap dan tidak dapat memenuhi keperluan individu kanak-kanak.

Dr Hussain membuat kesimpulan, “Kedua-dua jangkaan yang tidak realistik dan penafian akan menghalang perkembangan optima kanakkanak. Jangan melambatkan intervensi, minta dapatkan bantuan apabila perlu.”

Kesilapan Asuhan yang Lazim

Menghadapi kesilapan untuk memperbaikinya

Sekiranya anda mendapati kanak-kanak sekarang membesar dengan cepat, anda tidak keseorangan. Pakar Psikologi Klinikal Dr Teoh Hsien-Jin, berkata: “Kami sedar terdapat perubahan perkembangan dalam negara ini,” katanya. “Sebagai contoh, kanak-kanak empat tahun sekarang dapat mengendalikan pemain DVD atau menggunakan telefon bimbit untuk menangkap gambar dengan mudah.Walaupun ibu bapa boleh berbangga dengan pencapaian sedemikian, mereka seperti tidak risau tentang perkembangan asas kemahiran sosial anak mereka.”

Beliau memberikan beberapa situasi di mana ibu bapa sering membuat kesilapan ketika cuba melengkapkan anak mereka dengan kemahiran perkembangan sosial yang perlu, dan apa yang boleh dilakukan oleh mereka untuk memperbaikinya:

  1. Meninggalkan segala
    kepada pembantu rumah Ibu bapa yang berjaya tidak semestinya membesarkan anak yang berjaya. Ini kerana tanggungjawab mereka terhadap kerja sering menghadkan masa mereka bersama anak-anak. Ibu bapa ini meninggalkan anak mereka di bawah jagaan pembantu rumah sepenuhnya, menyebabkan anak kecil ini kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Luangkan lebih banyak masa dengan anak anda dan biar mereka tahu bahawa mereka masih mempunyai hubungan yang kukuh dengan anda.
  2. Tidak membenarkan mereka membantu
    Anak anda tidak terlalu muda untuk kerja yang mudah. Di samping itu, anda tidak boleh sentiasa melakukan segalanya untuk mereka. Sesetengah ibu bapa terlalu bertolak ansur sehingga anak mereka berani mengarah mereka. Membenarkan anak melakukan kerja rumah boleh membantu mereka berkembang. Melipat selimut, mengemas katil dan membenarkan mereka menyediakan meja makan bukan sahaja meningkatkan kemahiran motor mereka tetapi juga memberikan mereka rasa tanggungjawab yang menggalakkan perkembangan sosial mereka.
  3. Hanya memuji ‘A’
    Memuji anak anda sememangnya membuat mereka berasa gembira. Tetapi mengapa hanya memuji mereka apabila mereka cemerlang dalam peperiksaan? Adakah anda memuji mereka apabila mereka berlakon dalam drama sekolah? Atau menyanyi semasa Hari Guru? Ketahuilah bakat anak anda dan galakkan mereka walaupun anda berpendapat mereka patut melakukan benda lain. Cuba faham dan lihat dari sudut mereka. Ingat bahawa anda tidak selalunya betul. Mungkin itu adalah apa yang mereka ingin lakukan sepanjang hidup mereka, jadi iktiraf dan hargailah kemampuan mereka.
  4. Beritahu diri anda bahawa “mereka hanya kanak-kanak”
    Anda melihat anak anda meludah pada hamster kawannya. Anda hanya ketawa dan membiarkannya. Anda rasa anda tidak perlu memarahinya kerana dia masih kanak-kanak. Apabila ibu bapa tidak membetulkan tingkah laku tersebut, atau lebih teruk lagi, menjadi teladan yang buruk kepada anak mereka, anak-anak akan menyangka adalah patut untuk mereka berkelakuan tidak senonoh. Ini sering mengakibatkan tingkah laku anti-sosial yang akan dipraktikkan sepanjang hidup mereka. Kanak-kanak perlu mempelajari tingkah laku sosial yang betul. Jika anda tidak bermula sekarang, bila lagi?
  5. Membiarkan mereka belajar daripada televisyen
    Sesetangah ibu bapa berpendapat bahawa dengan meletakkan anak mereka di depan kaca TV dapat memperkayakan tatabahasa mereka dan menjadikan mereka lebih bijak. Ibu bapa tidak sedar bahawa sebenarnya interaksi sangat penting. Kanak-kanak mungkin memahami perkataan yang mereka dengar daripada TV, tetapi tidak tahu cara menggunakan perkataan tersebut sehingga mereka betul-betul mempraktikkannya. Lain kali apabila anda membenarkan anak anda menonton TV, tontonlah sambil berbincang dengan mereka. Bincangkan topik yang menarik minat mereka supaya mereka dapat mengembangkan kemahiran pertuturan dan berbahasa serta berfikir dengan kreatif.
  6. Mengugut dan berbohong
    Berapa kerapkah anda menggunakan frasa seperti “Masuk ke dalam, jika tidak hantu akan mengejarmu” atau “Jangan nakal dan ibu akan membawa kamu ke pusat beli-belah?” Banyak ibu bapa sangka bahawa ugutan, ancaman dan pembohongan dapat memastikan anak mematuhi dan menghormati mereka. Apa yang tidak mereka fikirkan adalah imej, pemikiran negatif dan harapan palsu yang mereka semaikan dalam diri anak mereka. Kanak-kanak adalah rentan, mereka mudah kecewa dan keliru. Ancaman dan pembohongan hanya akan mengganggu perkembangan peribadi dan sosial mereka.

Dr Teoh menasihat: “Fikir masak-masak tentang apa yang anda lakukan kepada anak anda sekarang. Jika anda mengharapkan komuniti untuk maju ke depan, pupuk kemampuan anak anda dan jadikan mereka individu yang baik. Bina asas yang kukuh untuk masa depan kerana anak anda akan menyampaikannya kepada generasi seterusnya.”

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen