Pengasuhan Positif

Apabila Pembelajaran Menjadi Sukar

Kanak-kanak telah dianugerahkan dengan kebolehan semula jadi untuk belajar. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah kanak-kanak, ia merupakan cabaran yang lebih sukar berbanding lain. Ketidakupayaan pembelajaran adalah apabila seseorang itu mempunyai kesukaran pembelajaran akibat gangguan neurologi yang menjejaskan bagaimana maklumat diterima, diproses dan/atau berhubung di dalam otak, menyukarkan dirinya untuk memperoleh dan menyimpan maklumat.

Bertentangan dengan kepercayaan popular, ketidakupayaan pembelajaran sebenarnya tidak menandakan tahap kecerdasan seseorang individu. Mereka hanya mempunyai masalah untuk menyatakan kebolehan dan juga maklumat yang tersimpan di dalam otak mereka.

Simptom dan Jenis

Untitled-7

Ketidakupayaan pembelajaran boleh bermula pada kanak-kanak yang sangat kecil, tetapi ia mungkin hanya akan ketara apabila kanak-kanak tersebut memulakan pendidikan rasmi mereka. Masalah ini juga dapat dilihat dengan jelas serta secara berlainan di dalam setiap individu, dengan menunjukkan kombinasi dan tahap kesukaran yang berbeza. Membaca, menulis dan matematik merupakan bidang kesukaran yang paling lazim didiagnos.

Apakah Peranan anda Sebagai ibu Bapa?

Ketidakupayaan pembelajaran merupakan cabaran seumur hidup yang tidak boleh sembuh, tetapi seseorang individu masih boleh belajar untuk menyesuaikan diri dengan ketidakupayaan ini. Selain daripada intervensi awal, cara ibu bapa mendekati situasi ini juga adalah penting dalam kejayaan pengurusannya. Berikut merupakan bagaimana ibu bapa boleh membantu anak mereka.

  1. Dapatkan pendapat pakar.
    Setelah mendapat pengesahan diagnosis untuk anak anda, berbincanglah dengan pakar klinikal untuk mencari program intervensi yang paling sesuai. Maklumkan diri anda tentang perkembangan terkini, program intervensi dan teknik-teknik yang boleh memanfaatkan anak anda. Pengetahuan anda akan membolehkan anda bekerja dengan efektif bersama ahli terapi, tutor atau sekolah anak anda bagi menjamin hasil yang terbaik untuk anak anda.
  2. Galakkan tabiat emosi yang sihat.
    Kanak-kanak dengan ketidakupayaan pembelajaran sering merasa tidak berupaya, kekurangan dan kekecewaan. Sediakan bahantara positif untuk mereka mengekspresi diri. Pasanglah telinga apabila mereka bercakap dan berikan sokongan sosial yang mereka perlukan.
  3. Galakkan harga diri.
    Tingkatkan harga diri anak anda dengan memfokus kepada perkara positif. Kerja bersama mereka untuk mengembangkan kekuatan dan minat mereka kerana ia mungkin akan membantu mereka rasa yakin dengan kebolehan diri.
  4. Sentiasa optimistik.
    Jangan rasa tawar hari dengan keadaan anak anda kerana ia akan mengalih perhatian anda daripada memberinya penjagaan yang terbaik mungkin. Tambahan lagi, kanak-kanak lebih cenderung untuk mengikut jejak langkah ibu bapa mereka dan belajar untuk menerima semua cabaran dengan sikap serta pendekatan positif.

Ibu bapa tidak patut rasa tawar hati jika anak mereka mempunyai masalah ketidakupayaan pembelajaran. Walaupun mereka menghadapi kesukaran dalam sesuatu bidang pembelajaran, namun ini tidak bermakna mereka tidak akan berjaya dalam kemahiran atau bidang lain. Ingatlah bahawa kejayaan hidup adalah lebih penting daripada kejayaan sekolah.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen