Pengasuhan Positif

Apa Yang Si Bayi Mampu Lakukan Pada Usia 3 Bulan

Bayi anda kini berusia 3 bulan dan kini menunjukkan perubahan dari segi mental dan juga fizikal. Dia bukan lagi bayi kecil yang tidur sepanjang hari, dan hanya bangun untuk menyusu.

Perubahan-perubahan berlaku menyebabkan ibubapa sukar untuk meninggalkan mereka walaupun kerana takut terlepas peluang menyaksikan perubahan yang penuh bermakna dalam perkembangan mereka.

Bayi, yang sebagai bayi baru lahir kelihatan begitu lemah dan tidak berupaya, kini lebih sedar akan persekitarannya. Otaknya masih mengalami tumbesaran dan menjalani proses myelinasi di mana saraf diselaputi oleh lapisan myelin. Proses ini membolehkan si kecil berkembang. Perkembangan bayi bolehlah diklasifikasikan mengikut bidang motor, penglihatan, pertuturan dan pendengaran.

Memandang Dunia Yang Berlalu

Bayi tidak lagi berbaring secara pasif apabila diletakkan di atas tilam atau katil. Kini dia mampu mengangkat kepalanya beberapa inci daripada tilam. Apabila usianya menjangkau 3 bulan, dia juga mampu menahan berat badan dengan lengan semasa dalam keadaan meniarap. Ini membolehkan dia melihat persekitarannya. Cadar atau tikar mainannya kini menjadi sumber keseronokan baginya. Penglihatannya kini bertambah baik dan boleh mengekori objek-objek pada 180 darjah secara mendatar. Justeru itu, dia boleh memerhati orang yang lalu lalang di hadapan katil atau kandang mainannya semasa meniarap. Sesetengah bayi mula bergolek apabila berusia tiga bulan. Adalah penting mereka tidak dibiarkan di atas tempat yang tinggi seperti katil atau meja menukar lampin kerana mereka boleh bergolek dan jatuh, justeru mencederakan diri sendiri. Jika bayi anda belum bergolek pada peringkat ini, jangan risau kerana had normal usia bayi bergolek adalah sehingga enam bulan.

Bayi tidak lagi menggenggam tangannya. Sebaliknya, ia terbuka, dan bersedia untuk mengalami sensasi-sensasi baru. Apa sahaja yang diletakkan di tapak tangannya akan digenggam walaupun dia masih belum boleh mencapai sebarang objek. Satu cara untuk menghiburkannya ialah dengan meletakkan mainan lembut yang berbunyi di tangannya. Lihatlah dia menggoncang mainannya!

Melihat dan Mendengar

Dia boleh mendengar tetapi masih belum boleh memusing ke arah sumber bunyi tersebut. Sering kali ia akan berhenti merengek sebaik sahaja dia mendengar suara anda atau suara mereka yang biasa dengannya. Dia juga akan menunjukkan air muka yang terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti bunyi pintu tertutup atau guruh.

Anak kecil anda juga sedang belajar bercakap dengan cara mendengar. Pertuturannya buat masa ini kebanyakannya terdiri daripada vokal dan dikenali sebagai cooing atau bunyi seperti vokal “au” dan “u”. Walaupun perkataan-perkataannya adalah terhad kepada “oooo”, “eeee” dan “aaaaa”, air mukanya dan nada suaranya berubah-ubah dengan ketara mengikut mood atau perasaannya. Dia juga responsif dan tertawa kecil dengan mudanya. Pendek kata, rumah anda akan dipenuhi dengan gelak ketawa dan celoteh, yang tidak difahami oleh sesiapapun.

Pada usia ini, bayi suka akan objek-objek yang berwarnawarni. Anda boleh merangsangnya dengan menggunakan alas untuk sisi katil bayi dan cadar yang berwarna-warni. Alat permainan yang menggalakkan pergerakan boleh meningkatkan koordinasi antara mata dan tangan dan kekuatan otot. Walau bagaimanapun, rangsangan yang paling baik masih lagi ibu bapanya. Curahkanlah kasih sayang sepenuhnya dengan memberikan ciuman dan pelukan pada bila-bila masa sahaja. Bercakap dan menyanyi kepadanya. Rangsangan daripada sentuhan, pandangan dan suara akan membuatkannya rasa disayangi. Kajian juga menunjukkan kanak-kanan mengalami perkembangan yang lebih baik dalam persekitaran yang dipenuhi dengan kasih sayang. Jangan rasa kecewa jika anda tidak mampu membelikan permainan yang mahal untuk anak anda. Ingatlah, anda adalah alat bantuan perkembangan yang paling berharga bagi anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen