Pengasuhan Positif

Kepentingan Jaringan Sokongan Untuk Ibu Bapa dan Kanak-kanak

Di dunia hari ini yang bergerak pantas dan berubah-ubah, pepatah Afrika “Perlu sekampung untuk besarkan seorang anak” amatlah relevan. Berhadapan dengan kerumitan rumah tangga moden boleh jadi keterlaluan, oleh itu jaringan sokongan yang kuat – terdiri daripada keluarga, rakan-rakan, dan komuniti – amat berharga. Jaringan yang kukuh menawarkan panduan penting kepada ibu bapa dan berperanan penting dalam perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Peranan sokongan komuniti

Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif, menyatakan betapa pentingnya sokongan komuniti pada kesihatan rohani dan jasmani kanak-kanak. “Kanak-kanak boleh berkembang apabila mereka membesar dalam persekitaran yang membina,” kata beliau. “Jaringan yang baik menawarkan lebih ramai contoh teladan, kekuatan emosi, dan rasa diterima.”

Dr Zulkifli menekankan bahawa ibu bapa dengan bantuan sistem sokongan lebih bersedia untuk menangani cabaran membesarkan anak-anak. “Pengasuhan boleh jadi sukar tanpa bantuan yang mencukupi. Jaringan sokongan – sama ada keluarga, kawan, atau kumpulan komuniti – boleh memberikan pertolongan praktikal dan sokongan emosi. Ini mengurangkan tekanan ke atas ibu bapa, yang boleh menjejaskan kesejahteraan anak-anak. Ibu bapa yang kurang tertekan lebih sabar, mendengar, dan menyayangi.”

Manfaat kesihatan pada kanak-kanak yang berada dalam komuniti yang mapan amatlah penting. “Komuniti sering bertukar-tukar maklumat berguna tentang pemakanan, penjagaan anak, dan amalan kesihatan, lalu menghasilkan keputusan yang lebih baik dan gaya hidup lebih sihat untuk anak-anak. Hikmah daripada jaringan sokongan boleh menambah baik kesejahteraan anak-anak.”

Perkembangan emosi dan sosial

Pakar psikologi klinikal, Dr Serena In, bersetuju dengan pendapat Dr Zulkifli, dan menggariskan bahawa perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak sangat dipengaruhi oleh kehadiran jaringan sokongan yang kuat. “Kanak-kanak belajar kemahiran sosial dan pengaturan emosi melalui interaksi dengan orang dewasa dan rakan sebaya dalam komunitinya,” kata beliau.

Di Malaysia, unit keluarga masih lagi menjadi batu asas masyarakat dan ini menyediakan persekitaran yang subur untuk kanak-kanak melalui sokongan keluarga besar. “Persekitaran ini boleh memberikan bantuan tambahan semasa diperlukan dan ini mengelakkan rasa bersendirian,” kata Dr Serena.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai ikatan rapat dengan ibu bapa sepanjang tahun-tahun pertumbuhan mereka akan lebih berdaya tahan dan berkembang secara lebih sihat. Kanak-kanak ini lebih mudah belajar daripada kesilapan, meminta bantuan apabila perlu, mengawal emosi dengan berkesan, dan mempunyai prestasi akademik lebih baik berbanding kanak-kanak tanpa pengawasan.

Dr Serena juga menyatakan bahawa apabila kanak-kanak melihat ibu bapa menerima sokongan dan penerimaan daripada orang lain, ia mengukuhkan lagi rasa selamat dan harga diri mereka. “Kanak-kanak yang melihat ibu bapa mereka dikelilingi oleh jaringan yang prihatin akan faham bahawa mereka merupakan sebahagian daripada komuniti lebih besar yang menyokong. Ini bukan saja boleh meningkatkan harga diri mereka, malah membantu membentuk identiti yang kuat.”

Jaringan sokongan amat berharga ketika waktu-waktu sukar. Dr Serena menekankan: “Tiada keluarga yang kalis daripada cabaran, sama ada masalah kewangan, kesihatan, atau peribadi. Jaringan sokongan yang kuat boleh memberikan sumber, nasihat, dan sokongan emosi semasa tempoh sukar. Daya tahan kolektif ini membantu kanak-kanak agar rasa selamat dan dilindungi walaupun berhadapan kesukaran.”

Menangani tempoh sukar

Kewujudan jaringan sokongan memainkan peranan penting semasa berhadapan kesukaran. Dr Serena menerangkan: “Jika anda mempunyai jaringan sokongan, anda tidak akan berseorangan melalui waktu sukar.” Dalam kesukaran, bantuan praktikal daripada jaringan sokongan amat bernilai.

Contohnya, apabila mendapat sakit kronik, kehilangan pasangan, atau kejadian besar lain, sistem sokongan yang kuat boleh membantu meringankan bebanan dan tekanan. Bantuan penjagaan, penyediaan makanan, atau bantuan tugasan seperti mengemas rumah sangatlah membantu bagi seseorang yang sedang melalui pengalaman yang sukar. Dengan berkongsi tanggungjawab, beban akan jadi lebih ringan.

Bantuan kewangan daripada jaringan juga boleh menjadi talian hayat yang memberikan akses kepada sumber-sumber penting seperti bantuan pakar, keperluan perubatan, atau kegiatan pendidikan. Dari segi sosial, mempunyai contoh teladan positif tambahan daripada jaringan sokongan boleh mengisi kekosongan dalam keluarga. Contohnya, seorang anak tunggal boleh mendapatkan bimbingan rakan yang lebih tua yang boleh dipercayai dalam membantunya membuat keputusan peribadi dengan bijak.

Dari segi kerohanian, menjadi sebahagian daripada kumpulan yang mempercayai positiviti dan kuasa yang lebih tinggi juga boleh memberikan rasa kebersamaan dan tujuan hidup. Dr Serena juga menyatakan bahawa kumpulan sebegini juga biasanya berkumpul bersama untuk berdoa dan menawarkan sokongan berkumpulan apabila diperlukan.

Inisiatif kerajaan

Kepentingan jaringan sokongan melangkaui keluarga individu dan melibatkan masyarakat awam. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menjelaskan, “Jaringan sokongan penting kerana ia memberikan ibu bapa sokongan emosi, sosial, dan praktikal yang diperlukan untuk berhadapan dengan cabaran dalam menjaga keluarga. Ia membantu mengurangkan tekanan, memupuk semangat komuniti, dan membolehkan ibu bapa berkongsi pengetahuan dan sumber. Selain itu, jaringan sokongan yang kuat akan meningkatkan kesejahteraan ibu bapa dan anak-anak, lalu menjadikan keluarga lebih kuat dan berdaya tahan.”

Beliau juga menggalakkan ibu bapa untuk membina jaringan dengan melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan komuniti. “Menyertai kumpulan sokongan ibu bapa, menjadi sukarelawan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah anak anda, atau melibatkan diri dengan pusat komuniti merupakan antara cara yang bagus untuk berhubung dengan ibu bapa lain,” nasihat beliau. Menggunakan platform dalam talian dan media sosial juga boleh membantu ibu bapa saling berkongsi pengalaman dan menyokong satu sama lain.

Kerajaan berperanan penting dalam menyediakan persekitaran yang membolehkan keluarga hidup sejahtera. “Ini termasuklah dengan melaksanakan dasar-dasar yang menjamin akses kepada khidmat jagaan kanak-kanak yang berpatutan, cuti ibu bapa, dan perkhidmatan kesihatan,” kata Dato’ Sri Nancy. “Kita juga ingin memupuk komuniti inklusif dengan menyokong inisiatif yang menggalakkan keseimbangan kerja dan hidup, dasar tempat kerja yang mesra keluarga, dan program pendidikan yang menekankan kepentingan nilai-nilai keluarga. Tujuan kita adalah untuk memperkasakan ibu bapa dengan sumber dan pengetahuan yang diperlukan untuk membesarkan anak-anak yang sihat dan riang dalam komuniti yang menyokong.”

Beliau juga menjelaskan beberapa dasar utama dan program yang dilancarkan untuk membantu keluarga, antaranya:

  • Subsidi dan sokongan untuk jagaan anak:Bantuan kewangan diberikan kepada keluarga yang hidup di bawah paras kemiskinan untuk memastikan anak-anak mendapat jagaan yang sepatutnya. Pelepasan cukai pendapatan juga diberi untuk yuran jagaan kanak-kanak atau tadika.
  • Cuti ibu bapa:Bermula 1 Januari 2023, wanita yang berkerja di sektor swasta layak mendapat 98 hari cuti bersalin, manakala cuti bapa telah ditambah daripada tiga hari kepada tujuh hari.
  • Khidmat kaunseling keluarga:Pelbagai agensi menawarkan kaunseling dan sokongan untuk keluarga yang berhadapan masalah, seperti masalah perkahwinan, pengasuhan, dan kesihatan mental.
  • Program pemerkasaan wanita:Melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), inisitiatif diadakan untuk menyokong penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan membantu mereka menyeimbangkan kerjaya dan keluarga.
  • Program khidmat masyarakat:Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyediakan platform bagi ibu bapa dan anak-anak berkongsi pengalaman, mendapatkan sumber, dan mencari sokongan.

Dato’ Sri Nancy juga mengakui bahawa mencapai keluarga di kawasan luar bandar dan terpencil masih menjadi satu cabaran. “Terdapat keperluan untuk melihat kepada norma budaya dan masyarakat yang membuatkan ibu bapa mengelak daripada mendapatkan bantuan atau menggunakan sumber yang tersedia,” tambah beliau. “Dalam kebanyakan kes, masih terdapat stigma yang dikaitkan dengan meminta bantuan atau mengaku terdapat masalah, khususnya melalui kaunseling.”

Jaringan sokongan yang kuat tidak ternilai pentingnya untuk ibu bapa dan anak-anak. Bagi ibu bapa, ia melegakan tekanan, menyumbang pertolongan praktikal, dan meningkatkan kesejahteraan. Bagi kanak-kanak, ia menawarkan persekitaran yang kaya untuk perkembangan sosial dan emosi, rasa selamat, dan daya tahan berhadapan cabaran. Usaha bersama sesebuah komuniti penting dalam memupuk generasi seterusnya. Dengan membina jaringan ini, kita sedang melabur untuk masa depan yang lebih sihat dan gembira untuk semua.

Mencipta persekitaran keluarga yang kohesif

Dr Serena menawarkan tip praktikal kepada ibu bapa tentang bagaimana untuk berkomunikasi secara berkesan dengan saudara-mara dan rakan-rakan untuk membina persekitaran yang kohesif dan menyokong untuk anak-anak:

Buat keputusan bersama: Sebagai pasangan, mulakan dengan berbincang dan bersetuju tentang persekitaran yang anda mahukan untuk keluarga anda. Pertimbangkan siapa yang anda mahu libatkan daripada keluarga besar dan sejauh mana penglibatan mereka, kerana ini bergantung kepada latar belakang anda berdua.

Tetapkan batasan: Adalah penting untuk menetapkan batasan yang sihat tentang jenis sokongan dan bantuan yang anda perlukan daripada pihak lain. Batasan yang jelas boleh mengelakkan salah faham dan menjaga harmoni.

Kongsi nilai anda: Pastikan anda menyampaikan nilai-nilai dan keutamaan keluarga anda kepada keluarga besar dan rakan-rakan. Galakkan mereka bertanya soalan jika tidak pasti, bukannya membuat sangkaan. Komunikasi terbuka membolehkan semua orang selesa untuk membincangkan topik sukar atau sensitif seperti cabaran pengasuhan, kehilangan, atau masalah perhubungan.

Jadi teladan yang baik: Tunjukkan kepada semua bagaimana anda berkomunikasi dengan anak-anak anda, dan galakkan mereka untuk mengikutinya, jika boleh. Namun, anda perlu faham yang anda tidak boleh mengawal semua perkara yang berlaku di sekitar anak anda. Selepas meluangkan masa dengan keluarga besar, mungkin bagus untuk anda menjelaskan sebarang kekeliruan kepada anak anda dan pastikan semua orang saling memahami dan menerima perbezaan.

Bersama Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat,
Dr Serena In, Pakar Psikologi Klinikal & Ahli Jawatankuasa, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia (MSCP),
Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi, Program Pengasuhan Positif

Langgani surat berita pengasuhan kami.