Ramai ibu bapa mungkin tersalah anggap kelakuan bertenaga anak mereka sebagai gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (attention deficit hyperactivity disorder, ADHD) kerana menyangka ia petanda hiperaktif. Sebaliknya, sesetengah ibu bapa mungkin mengabaikan petanda kurang tumpuan dan kelakuan impulsif kerana menganggapnya kelakuan biasa yang akan reda setelah anak membesar, walhal realitinya, ini tanpa sedar boleh menjejaskan fungsi harian anak mereka dan perkembangannya.
“ADHD ialah satu gangguan perkembangan neurologi di kalangan kanak-kanak yang biasanya berlanjutan hingga dewasa. Masalah ini menunjukkan corak kelakuan kurang daya tumpuan dan/atau hiperaktif dan impulsif yang berterusan,” kata Datuk Dr Zulkifli Ismail, pengerusi Program Pengasuhan Positif. “Apa yang membezakannya daripada kelakuan biasa pada peringkat perkembangan tertentu ialah kelakuan ini lebih kerap dan teruk dalam kanak-kanak dengan ADHD.”
Walaupun terdapat peningkatan prevalens sedunia, ADHD masih kurang dikenali dan kurang didiagnosis di kebanyakan negara, terutamanya di kalangan kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lebih tua. “Prevalens gangguan ini berbeza dari negara ke negara. Di Malaysia, kadar yang dilaporkan adalah antara 1.6% ke 4.6%. Jika diabaikan dan tidak dirawat, ADHD boleh mengganggu hubungan interpersonal anak anda dan prestasi pembelajarannya,” katanya lagi.

Diagnosis ADHD
Pengenalpastian dan pengurusan awal ADHD penting bagi memastikan kanak-kanak dan ibu bapa mampu menghadapi cabaran di setiap peringkat perkembangan kanak-kanak. Mengikut Dr Cindy Chan Su Huay, pakar perunding perkembangan pediatrik, mendiagnosa ADHD dengan tepatnya merupakan langkah pertama yang penting sebelum memulakan intervensi. “Terdapat tiga subjenis ADHD yang berbeza, dan masing-masing mempunyai kriteria diagnosis yang spesifik. Jika anak anda hiperaktif dan impulsif, ini tidak semestinya bermaksud dia mempunyai ADHD, dan begitu juga bagi kanak-kanak yang kurang tumpuan dan sering lupa,” katanya. Oleh kerana tingkah laku yang dilihat dalam ADHD juga boleh dilihat pada kanak-kanak biasa, adalah penting untuk mengenal pasti sama ada gejala tersebut berlebihan atau tidak padan dengan perkembangan, serta menjejaskan fungsi kanak-kanak tersebut.
“Dalam kategori pertama ADHD, iaitu subjenis hiperaktif dan impulsif, kanak-kanak biasanya menunjukkan gejala seperti sukar duduk diam, sering meninggalkan tempat duduk apabila diminta duduk, terlampau banyak bercakap, dan sukar menunggu giliran.” Dr Cindy menjelaskan bahawa kanak-kanak dengan ADHD jenis ini biasanya dilihat sebagai sentiasa “on the go” atau “dipandu enjin”. “Menggunakan perkataan ini apabila bercakap dengan ibu bapa boleh membantu mereka mengenal pasti gejala dalam kanak-kanak.”
Sebaliknya, kanak-kanak dengan subjenis kurang tumpuan biasanya bergelut dengan daya tumpuan dan fokus. “Sering membuat kesilapan kerja, tidak boleh mengekalkan tumpuan atau mengikut arahan, sentiasa tidak terurus, dan mengelakkan tugas yang memerlukan daya mental berterusan adalah antara gejala yang dikaitkan dengan ADHD jenis ini,” jelasnya. “Diagnosis ADHD jenis gabungan pula dibuat apabila kanak-kanak memenuhi kriteria kedua-dua subjenis.”
Gejala ADHD boleh diperhatikan dari awal usia dan akan menjadi lebih ketara apabila anak anda mula bersekolah. Mendapatkan maklum balas daripada guru anak anda tentang kelakuannya di kelas dan interaksinya dengan rakan sebaya, merupakan idea yang bagus. “Ini bagi memastikan yang kelakuan mereka tidak terhad pada persekitaran tertentu sahaja, sama ada di rumah atau sekolah,” kata Dr Cindy.
Kedua-dua faktor biologi dan persekitaran boleh meningkatkan risiko ADHD. “Kanak-kanak lelaki tiga ke empat kali ganda lebih berkemungkinan didiagnosis dengan gangguan perkembangan ini berbanding kanak-kanak perempuan, dan faktor genetik berperanan besar, kerana kanak-kanak dengan ADHD lebih berkemungkinan mempunyai ibu bapa atau adik-beradik dengan keadaan yang sama,” katanya. “Kelahiran pramatang, alkohol, merokok, dan penyalahgunaan bahan semasa mengandung, serta tekanan psikososial ibu, adalah antara faktor persekitaran yang boleh meningkatkan risiko ADHD. Risiko ini boleh dikurangkan dengan penjagaan antenatal yang baik dan perubahan gaya hidup.”
Diagnosis ADHD bermula dengan mengumpulkan maklumat daripada beberapa sumber, termasuklah ibu bapa dan guru, diikuti oleh pemeriksaan klinikal yang menyeluruh bagi memastikan ia bukan berpunca daripada masalah perubatan lain. Dr Cindy menjelaskan, “Pemeriksaan keadaan mental juga akan dijalankan bagi menilai tahap mental anak anda, dan diagnosis akan dibuat berdasarkan kriteria yang tersenarai dalam Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5). Tiada ujian makmal atau pengimejan diperlukan untuk mengesahkan diagnosis ADHD.”
Beliau juga menerangkan bahawa hiperaktif bukanlah sentiasa menjadi petanda ADHD semata-mata. “Diagnosis mengikut kriteria yang ketat dan seorang kanak-kanak perlu menunjukkan sekurang-kurangnya enam kriteria bagi salah satu atau kedua-dua subjenis ADHD untuk didiagnosis dengan gangguan ini. Selain itu, doktor juga akan mempertimbangkan diagnosis lain jika set gejala yang sama tidak diperhati di lebih daripada satu persekitaran, seperti di rumah dan sekolah, atau jika gejala-gejala ini tidak mengganggu fungsi dan perkembangan kanak-kanak tersebut. Adalah penting juga untuk sedar bahawa gejala dan kesan ADHD akan berubah secara beransur-ansur apabila kanak-kanak membesar dan melalui kumpulan umur berbeza.”
Menguruskan ADHD dalam kanak-kanak
Bagi memastikan rawatan bersasar untuk ADHD, Dr Norazlin Kamal Nor berpendapat bahawa pendekatan serampang berbilang mata yang disesuaikan dengan keperluan khusus kanak-kanak tersebut perlu diutamakan. “Tujuan rawatan adalah untuk menambah baik fungsi, pembelajaran, dan keyakinan diri anak anda dan mengurangkan gejala,” katanya. “Intervensi awal meningkatkan kemungkinan hasil terbaik, dan kerana ADHD ialah masalah kronik, rawatan susulan jangka panjang biasanya diperlukan.”

Antara rawatan biasa bagi ADHD dalam kanak-kanak ialah psikopendidikan (atau pendidikan berunsurkan pemahaman psikologi) serta rawatan berubat dan tidak menggunakan ubat. “Bagi intervensi tidak menggunakan ubat, ibu bapa boleh dididik untuk menggunakan jadual, senarai, pemasa, dan perancang bagi membantu anak mereka menguruskan dan merancang dengan lebih berkesan. Pilihan rawatan lain termasuklah terapi cara kerja bagi latihan tumpuan dan menambah baik fungsi eksekutif, di samping kegiatan fizikal harian bagi meningkatkan tumpuan dan konsentrasi,” tambahnya lagi.
Dr Norazlin, yang merupakan pakar perunding perkembangan pediatrik, menjelaskan bahawa ubatan seperti ubat perangsang dan bukan perangsang, biasanya diberi untuk kes khas apabila gejala ADHD berpanjangan dan menyebabkan masalah teruk pada kanak-kanak tersebut. “Ubatan harus digunakan secara cermat, dengan dos yang dikira dengan berhati-hati,” katanya. Ibu bapa juga perlu memantau kesan sampingan yang mungkin muncul seperti masalah tidur, tiada atau kurang selera makan, dan sakit perut apabila kanak-kanak memulakan rawatan. “Ubat perangsang biasanya diberikan bersama intervensi lain seperti terapi cara kerja dan aktiviti fizikal bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan ADHD.”
ADHD mungkin dihidapi serentak dengan masalah kesihatan lain. Gangguan keresahan, gangguan kedegilan melawan, kemurungan, kesukaran pembelajaran, dan masalah tidur adalah antara komorbiditi yang sering dikaitkan. “Kadangkala masalah ini dicetuskan akibat kekecewaan berhadapan dengan gejala ADHD. Gangguan tumpuan yang kronik di sekolah mungkin mengakibatkan keresahan, manakala kemarahan dan maklum balas negatif berterusan daripada ahli keluarga mungkin menyebabkan kemurungan,” jelasnya.
Dalam jangka masa panjang, ADHD serta komorbiditi lain boleh mengakibatkan prestasi akademik dan interaksi sosial yang teruk bagi kanak-kanak. “Mereka juga berisiko tinggi mendapat masalah psikologi, emosi, dan keyakinan diri. Contohnya, kanak-kanak dengan ADHD mungkin rasa kurang berjaya dan yakin berbanding rakan sebaya. Ini akhirnya menjejaskan pembelajaran dan perkembangan mereka, lalu menyebabkan mereka mengasingkan diri daripada masyarakat,” kata Dr Norazlin.
Akhir sekali, keluarga dan guru berperanan penting dalam menyokong kanak-kanak dengan ADHD dan menangani apa-apa komorbiditi serta kesan negatif ke atas prestasi akademik dan interaksi sosial mereka. Kerjasama ibu bapa dan guru boleh memastikan usaha untuk membantu kanak-kanak ini menyesuaikan diri dengan dunia di sekitar mereka akan berterusan di luar rumah dan sekolah.
Tambah beliau: “Selain itu, perlu diakui bahawa membesarkan anak dengan ADHD ialah satu cabaran bagi ramai ibu bapa. Kadangkala, anak anda mungkin kelihatan seperti sengaja membuat perangai, padahal mereka sedang bergelut dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengawal kelakuan. Walau apa pun, kita perlu memahami jika ibu bapa rasa kecewa atau tertekan semasa menguruskan anak mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu kekal positif dan sabar, serta lengkapkan diri dengan pengetahuan tentang ADHD, supaya boleh menyokong anak mereka dan menguruskan emosi sendiri dengan lebih baik.”
Pesanan bagi ibu bapa
Beberapa strategi mudah boleh membantu ibu bapa menyusuri cabaran membesarkan anak dengan ADHD secara berkesan sambil menguruskan jadual yang sibuk. “Ibu bapa boleh membina struktur untuk anak mereka melalui rutin konsisten melibatkan kerja rumah, waktu makan, waktu bermain, dan waktu tidur. Paling penting, ibu bapa harus melatih anak mereka untuk mengikuti rutin setiap hari. Tugasan seperti menyuruh anak anda menyusun pakaian untuk keesokan hari atau mengikuti ritual sebelum tidur – seperti menggosok gigi, memakai baju tidur, dan membaca cerita bersama – boleh mengukuhkan struktur ini,” terang Datuk Dr Zulkifli.

“Selain itu, tetapkan peraturan yang jelas dalam rumah. Beri arahan yang tepat kepada anak anda dan jelaskan kepada mereka akibat melanggar peraturan,” pesannya. “Kanak-kanak dengan ADHD bertindak balas dengan baik kepada sistem ganjaran dan akibat yang tersusun. Puji anak anda bagi kelakuan yang bagus dan tarik balik kelebihan sebagai akibat kelakuan kurang baik. Anda juga perlu fleksibel. Kanak-kanak dengan ADHD berhadapan dengan banyak kritikan dan menerima sedikit pujian, dan ini boleh menghindarkan pengukuhan positif. Sedikit kesabaran dan galakan amat berguna bagi mendorong anak anda belajar kelakuan baru dan membantu mereka rasa lebih yakin dengan diri sendiri.”
Secara amnya, antara strategi tanpa ubat termasuklah:
- Latihan ibu bapa dan penjaga – ramai kanak-kanak dengan ADHD mempunyai tingkah laku yang mencabar dan masalah mengawal emosi, dan ini boleh menyebabkan ibu bapa keletihan (sehingga menjejaskan fungsi keluarga) dan anak yang rendah keyakinan diri
- Senaman
- Pengurusan di dalam kelas – termasuk penyesuaian dalam cara arahan diberi dan kemudahan semasa ujian/peperiksaan (contoh: masa tambahan 25%, bilik yang senyap)
- Intervensi / sokongan kemahiran sosial
- Latihan kesedaran diri (mindfulness)
- Bagi kanak-kanak yang lebih matang– terapi tingkah laku kognitif (CBT)
- Di rumah – latihan fungsi eksekutif bagi membina kemahiran pengurusan diri semasa kanak-kanak sedang membesar
Kesimpulannya, tingkah laku hiperaktif dalam kanak-kanak boleh disalah anggap sebagai ADHD, lalu menyebabkan kerisauan ibu bapa dan intervensi yang mungkin tidak perlu untuk kanak-kanak. Ibu bapa perlu merujuk doktor anak mereka jika terdapat apa-apa petanda ADHD bagi mengelakkan diagnosis sendiri dan kelewatan mendapat sokongan dan rawatan yang betul. Membesarkan dan membimbing anak dengan ADHD mempunyai cabaran yang unik, namun dengan intervensi yang sesuai dan sokongan yang baik, anak anda akan mempelajari kemahiran yang betul untuk berkembang maju dan mencapai potensi penuh. Secara beransur-ansur, kemahiran ini akan membolehkan mereka melibatkan diri dan menyumbang kepada masyarakat dengan yakin.
Bersama
Dr Cindy Chan Su Huay, Pakar Perunding Perkembangan Pediatrik
Dr Norazlin Kamal Nor, Pakar Perunding Perkembangan Pediatrik
Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif

