Pengasuhan Positif

Optimumkan Perkembangan Anak Anda: Peranan Ibu Bapa

Tahap perkembangan merupakan penanda khusus yang mengukur tumbesaran anak anda dalam 4 aspek utama iaitu pertuturan/bahasa, kognitif/intelektual, sosial/emosional, dan perkembangan motor lokomasi/genggaman. Kesemua ini dibahagikan mengikut lingkungan umur anak-anak, sebagai contoh: 0-5 bulan, 5-8 bulan, dan sebagainya. Tahap perkembangan ini membantu ibu bapa, penjaga, dan pakar pediatrik untuk menentukan sama ada perkembangan kanak-kanak berada di tahap yang sepatutnya.

Mula Awal

Memandangkan perkembangan sosial/emosional anak anda berkait rapat dengan anda, adalah penting untuk anda menjalinkan hubungan antara ibu bapa dan anak secepat mungkin. Perlu diingatkan bahawa hubungan ini merupakan asas kepada perkembangan kesihatan emosi dan hubungan sosial mereka kelak.

Bermula dari ketika bayi, anda perlu bersikap terbuka, bertindak-balas dan sensitif terhadap anak anda untuk mendapatkan kepercayaan mereka. Ini akan membantu mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak, seterusnya menjadikannya seorang yang lebih berdikari dan mampu mengekspresikan diri.

Campur Tangan Ibu Bapa Diperlukan

Ibu bapa dan keluarga merupakan ‘guru’ pertama dalam kehidupan seorang anak. Walaupun peranan ibu bapa dipenuhi dengan pelbagai cabaran, anda boleh menghasilkan keseimbangan dalam kehidupan anak anda dengan cara mewujudkan rutin. Contoh rutin termasuklah makan bersama-sama dan memberi urutan kepada bayi sebelum tidur.

Dr Raja Juanita

Hubungan dengan anak anda akan mewujudkan ikatan yang berkekalan. Hal ini penting kerana ia memberi anak anda pengalaman pertama hubungan intim antara ibu dan anak, dan membina keyakinan diri yang positif.

Hubungan awal ini akan memberi kesan terhadap perkembangan sosial dan kognitifnya pada masa akan datang. Sebagai ibu bapa, anda perlu memberi komitmen untuk meluangkan masa dan tenaga anda bersamanya. Selagi ibu bapa boleh membina ikatan dengan anak, dia akan merasa rapat dan mendapat sokongan untuk membesar dengan sihat. Buat hubungan mata dan ekspresi muka seperti senyum dan angguk. Beri respon kepada bayi anda dengan membalas secara pendek seperti “Kamu bercakap!” dan menyanyi untuk menggalakkan komunikasi. Kasih sayang fizikal seperti membelai, menyentuh dengan lembut dan memegang membuatkan bayi anda rasa disayangi dan selamat.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan di mana anda sukar untuk berhubung dengan bayi anda, berbincanglah tentang kebimbangan anda dengan pakar pediatrik. Ia mungkin disebabkan oleh kemurungan selepas bersalin, rasa penat, atau rasa gelisah. Tidak kira apa pun alasannya, kenal pasti masalah tersebut dan selesaikannya dengan cepat.


Dr Rajini Sarvananthan

“Bermain merupakan cara yang terbaik untuk berhubung dengan anak anda. Ia membantunya untuk membina kemahiran sosial, emosi, kognitif dan fizikal. Bermain dengan orang lain juga membantunya untuk menjadi lebih berdaya tahan, kerana dia belajar untuk bekerja dan berunding dengan orang lain untuk mengatasi sesuatu cabaran. Secara tidak langsung, bermain membantu mengembangkan kreativitinya.

Sebagai ibu bapa, waktu bermain merupakan peluang terbaik untuk anda terlibat dengan hidup anak anda dan merupakan salah satu cara untuk mengukuhkan ikatan antara ibu bapa dan anak. Lihat anak anda bermain, atau bermain bersama-samanya! Melihat dunia menerusi kaca matanya membolehkan anda berkomunikasi dengannya secara lebih baik.

Beri perhatian kepada anak anda kerana ia lebih mudah bagi mereka untuk mengekspresikan emosi mereka dengan bermain. Dengan menyelami dunia anak anda, mereka akan berasa disayangi dan merasakan bahawa mereka mendapat kesemua perhatian anda.”


Ms Loh Sit Fong

Meluangkan masa dengan anak anda merupakan aspek penting yang membantu menghasilkan ikatan emosi yang kukuh antara anda dan anak anda. Kualiti dan kuantiti masa adalah merupakan dua elemen yang sama penting. Berikut adalah beberapa tip mudah bagi ibu bapa yang sibuk bekerja:

Pilih satu hari dalam seminggu untuk meluangkan waktu bersama keluarga. Ketepikan kerja anda untuk sementara waktu dan kumpulkan semua ahli keluarga untuk melakukan aktiviti yang menarik seperti permainan papan, menonton wayang, bersiar-siar ke taman atau melakukan sesuatu yang digemari oleh anak-anak anda.

Pembantu kecil: Apabila anak anda lebih besar, minta dia untuk membantu anda melakukan kerja rumah. Tujuan utama adalah untuk bekerja bersama-sama sebagai sebuah kumpulan, dan bukan untuk menyiapkan kerja secepat mungkin.

Makan bersama keluarga sekerap mungkin! Tiada cara yang lebih baik untuk meluangkan masa bersama keluarga melainkan makan bersama-sama. Ia tidak semestinya terhad kepada waktu makan malam yang tetap sahaja; anda juga boleh minum petang bersama-sama pada hujung minggu. Penggunaan alat digital ketika waktu makan juga perlu dilarang.


Menggalakkan Anak Anda Berdikari

Apabila anak anda membesar, dia akan menunjukkan beberapa tanda bahawa dia sudah berdikari. Walaupun penglibatan ibu bapa merupakan komponen penting, anda haruslah belajar untuk mengimbangkan keinginan anda untuk selalu menunaikan keperluannya. Hal ini merupakan cabaran besar dalam tugas keibubapaan; untuk mengetahui bila untuk campur tangan dan bila untuk membiarkannya menyelesaikan masalah sendiri.

Analogi untuk menunjukkan kepentingan prinsip ini adalah cerita tentang rama-rama yang berusaha untuk melepaskan diri dari kepompongnya. Jika kita membantunya keluar dari kepompong, sayap rama-rama tidak akan terbentuk sempurna. Ketika rama-rama berusaha sendiri untuk keluar dari kepompong, sejenis cecair akan keluar ke atas sayapnya, membolehkannya meregang dan terbuka. Cerita klasik ini menggambarkan kepentingan memberi peluang kepada anak anda untuk belajar melalui pengalaman.

Dr Raja Juanita berkata…

“Kesan pengasuhan yang berlebihan dapat dilihat di kalangan kanak-kanak pada masa ini. Mereka bersikap manja dan tidak kental serta merasakan bahawa mereka berhak mendapat apa saja. Mereka tidak mampu untuk berdepan dengan masalah dan tidak mempunyai sikap bertangunggujawab. Tindakan yang menunjukkan pengasuhan berlebihan berlaku termasuklah:

  • Memanjakan kanak-kanak yang sudah besar (mendukung mereka, memotong makanan untuk mereka dan sebagainya)
  • Membataskan aktiviti, terutama bagi kanak-kanak yang lebih tua (contohnya tidak membenarkan dia mendapatkan lesen kereta kerana berpendapat bahawa memandu itu berbahaya)
  • Tidak membenarkan anak anda berhadapan dengan tindakannya sendiri (contohnya ibu bapa yang menyalahkan orang lain walaupun anaknya yang salah)
  • Ibu bapa yang bersikap terlalu melindungi yang meminta guru memberi anak mereka pengecualian (contohnya tidak melakukan kerja sekolah atau projek) tanpa sebarang sebab yang munasabah
  • Berkeras ingin menjadi sebahagian daripada lingkaran sosial anak anda (‘ibu bapa sebagai rakan karib’ dan bukan ‘ibu bapa’)
  • Tidak memberikan anak sebarang masa untuk berseorangan; anak tidak mendapat privasi
  • Menguruskan aktiviti anak-anak dengan ketat dan mengambil alih tanggungjawabnya
  • Tidak memberikan panduan untuk dia melakukannya sendiri sebaliknya hanya memberitahu apa yang perlu dilakukannya

Ini adalah beberapa contoh tindakan pengasuhan yang berlebihan. Tugas anda sebagai ibu bapa adalah untuk menyiapkan anak anda untuk menghadapi masa depan. Anda perlu menyediakan tempat berteduh dan keselamatan untuknya, tetapi jangan melakukannya secara keterlaluan.”

Helicopter parenting’ digunakan untuk menerangkan sifat ibu bapa yang terlalu melindungi dan terlalu memanjakan anak mereka.

Hal ini boleh memudaratkan anak anda dalam jangka masa panjang. Walaupun ibu bapa harus mengawasi anak mereka yang kecil dengan teliti, namun pengawasan ini mungkin terlebih sehingga ia menjadi melindungi secara keterlaluan.

Dr Rajini Sarvananthan berkata…

“Sebagai ibu bapa, anda perlu ingat bahawa kekuatan anda sekarang datang daripada kesusahan yang anda lalui ketika anda kecil. Pengasuhan yang berjaya bukanlah tentang seberapa banyak yang boleh anda lakukan untuk anak anda, tetapi tentang seberapa baik anda mampu mengajarnya untuk bertindak sendiri. Melindungi anak anda daripada realiti hidup yang mencabar mungkin kelihatan seperti idea yang baik, namun berbuat demikian hanya akan menghindarinya daripada mempelajari cara untuk menyelesaikan masalah.

Merasa gusar, bimbang atau kecewa kerana tidak mendapat sesuatu yang dihajatinya adalah perkara biasa. Hidup ini ada turun naiknya, dan mempelajari bagaimana untuk berhadapan dengan rasa ragu-ragu dan tidak pasti apabila dia sedih merupakan satu kemahiran yang penting.

Antara tip-tip untuk mengelakkan helicopter parenting:

  • Berhenti dan fikir secara mendalam: sebelum anda berusaha menyelamatkan anak anda dalam sebarang situasi, analisis terlebih dahulu. Jika dia tidak berada dalam keadaan yang membahayakan atau dia tidak cuba untuk menyakiti diri atau orang lain, beri dia ruang untuk meneroka sesuatu sendiri. Tahan keinginan untuk sentiasa ‘menyelamatkannya’.
  • Anda adalah ibu bapanya, bukan rakan karibnya: Semakin anak anda membesar, keperluan privasi dan lingkaran sosialnya turut berkembang. Elakkan dari menganggu ruang persendiriannya. Walaupun anda risau tentang pembulian siber, adalah lebih penting untuk anda mengajar anak anda bertindak bagi mengatasi masalah tersebut.
  • Peluang belajar yang tersembunyi: kesalahan membantu dia untuk belajar, maka jangan ‘selamatkannya’, dan galakkan dia untuk cuba menyelesaikan masalahnya sendiri. Ini akan membantu membina daya tahan dan ketabahan; berusaha menyelamatkannya dalam setiap masalah akan menidakkan peluangnya untuk membina kemahiran hidup dan seterusnya akan memudaratkan dirinya apabila dewasa kelak.”

Ms Loh Sit Fong berkata…

“Penglibatan ibu bapa yang sedikit atau terhad boleh menyumbang kepada masalah berkaitan kurang keyakinan diri apabila dewasa kelak. Namun, penglibatan yang berlebihan pula boleh menyebabkan masalah yang sama. Walaupun penyebab kepada kedua-dua masalah ini adalah berbeza, kesannya tetap sama.

Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk anda sentiasa ada bersama anak anda apabila dia memerlukan sokongan, sama ada sokongan emosi, kewangan, atau sokongan dalam bentuk lain. Anda perlu berasa selesa untuk membiarkan anak anda membuat keputusan mereka sendiri dan membiarkan mereka berhadapan dengan masalah, kegagalan dan kejayaannya dengan sendiri. Keseimbangan ini akan membenarkan anak anda untuk mencari kekuatan dan dirinya yang sebenar, lantas membolehkan dia membina keyakinan diri dan harga diri.

Akhirnya, dia perlu belajar untuk menangani hidupnya sendiri. Semakin dia membesar, tugas anda akan berubah, daripada seorang penjaga kepada seorang penasihat.”

‘Helicopter parenting’ boleh menjadi masalah kerana ia dapat menghalang perkembangannya.

Untuk membolehkan dia berdikari, anda perlu mengajar dia bagaimana untuk berdikari. Suruh dia lakukan kerja rumah seperti mencuci pinggan mangkuk atau memberi makan haiwan peliharaan. Memberi dia peluang untuk melakukan sesuatu pekerjaan akan membantu meningkatkan keyakinan dan harga diri.

Realiti kehidupan sebagai ibu bapa adalah anda perlu berdepan dengan keadaan di mana anak anda perlu berdikari sendiri. Oleh itu, sebagai ibu bapa, anda hendaklah membesarkan anak yang berdikari dan bertanggungjawab, yang mampu membuat keputusan yang matang dan rasional. Menyayangi anak anda bererti mengetahui bila untuk melepaskan mereka pergi, jadi tumpukan kepada usaha untuk memperkasakan mereka bagi menghadapi alam dewasa.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen