Pengasuhan Positif

Permulaan Baik bagi Mikrobiota Usus Bayi

Mikrobiota usus anak anda mula berkembang sejurus selepas dia dilahirkan, dengan pendedahan pertama ketika kelahiran dan daripada susu ibu.

Ini merupakan dua sumber utama yang membekalkan anak anda dengan campuran bakteria mikrobiota usus, seperti Bifidobacteria dan Lactobacillus. Kedua-dua bakteria baik ini juga boleh didapati daripada makanan kaya probiotik. Bagi bayi yang mendapat susu ibu, kajian menunjukkan bahawa nisbah Bifidobacteria dan Lactobacillus ialah 8:2.

Secara amnya, kelahiran semulajadi akan memberi permulaan yang paling baik untuk bayi (dari segi pertumbuhan mikrobiota usus terawal) berbanding dengan kelahiran secara pembedahan. Bagaimanapun, satu kajian menyangkal pendapat ini.

Apakah maknanya untuk bayi anda?

Susu ibu penting bukan sahaja untuk memberi pemakanan penuh dan perkembangan optimum bagi bayi anda, tetapi ia juga untuk membentuk mikrobiota ususnya. Susu ibu kaya dengan pelbagai zat yang diperlukan oleh bayi, termasuk prebiotik dalam bentuk oligosakarida dan glikokonjugat, yang tidak dicernakan dalam usus kecil dan bertindak sebagai prebiotik dalam usus besar. Ini akan membantu menyokong pertumbuhan Bifidobacteria.

Namun, pertumbuhan Bifidobacteria dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti tempoh penyusuan susu ibu, kualiti susu ibu, penggunaan produk antibakteria dan antibiotik. Terdapat bukti menunjukkan bayi diberi susu ibu mempunyai mikrobiota usus yang lebih stabil dan seragam serta lebih cenderung mempunyai kurang bakteria ‘jahat’ dalam usus mereka, dibandingkan bayi diberi susu formula.

Tahukah anda?

Prebiotik adalah makanan bagi probiotik (iaitu bakteria baik). Prebiotik boleh didapati dalam bentuk makronutrien seperti oligosakarida (contohnya galakto-oligosakarida (GOS), atau serat daripada makanan seperti kekacang, makanan bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran.)

Membina bakteria baik

Memandangkan susu ibu merupakan sumber utama prebiotik dan probiotik bagi bayi anda, berikut adalah beberapa perkara yang perlu dilakukan atau dielakkan oleh para ibu untuk memastikan anak anda mencapai mikrobiota usus yang seimbang.

Perkara yang perlu dilakukan

  • Makan secara sihat: Doktor akan menasihati anda jika terdapat sebarang makanan yang perlu anda elak, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai penyakit kronik seperti penyakit diabetes atau darah tinggi. Pastikan pemakanan anda lengkap dari segi kandungan zat – ini penting semasa menyusukan anak kerana anda perlu memberi pemakanan yang secukupnya melalui susu ibu. Jika terdapat masalah kesihatan yang menghalang daripada menyusukan anak anda, berbincanglah dengan pakar pediatrik anda agar dapat memastikan perkembangan mikrobiota usus anak kekal sihat.
  • Jaga kesihatan penghadaman dengan baik: Pastikan anda makan makanan yang kaya probiotik dan prebiotik dengan secukupnya supaya kesihatan penghadaman anda sendiri di tahap yang memberansangkan bagi menghalang penyakit atau jangkitan. Makanan kaya probiotik termasuklah produk susu difermentasi (seperti minuman susu berkultur, yogurt dan keju), produk soya difermentasi (seperti tempe), dan sayur-sayuran difermentasi (seperti acar, kimchi dan jeruk). Bayi yang telah memulakan makanan pelengkap juga digalakkan untuk makan makanan kaya probiotik. Berbincanglah dengan pakar pediatriknya untuk maklumat lanjut tentang cara mengekalkan nisbah yang baik antara Lactobacillus dan Bifidobacteria.
  • Kekal aktif: Walaupun memenatkan untuk sentiasa kekal aktif, jangan sesekali mengabaikan kesihatan fizikal anda. Cuba sasarkan masa terkumpul sebanyak satu jam untuk melakukan aktiviti fizikal atau senaman setiap hari. Rutin mudah termasuklah berjalan di taman dengan bayi anda pada waktu pagi dan petang (15 minit bagi setiap sesi) dan diikuti dengan satu sesi (30 minit) yoga, atau bahagikannya lagi menjadi dua sesi 15 minit untuk aktiviti lain seperti berenang atau berjoging. Asalkan anda melakukan aktiviti yang membuat anda berpeluh tetapi bukan sehingga tercungap-cungap dan susah bernafas.

Elakkan

  • Penggunaan antibiotik: Jadikan ia satu tabiat untuk TIDAK meminta antibiotik apabila anda berjumpa dengan doktor. Jika doktor memberi preskripsi antibotik, semak jika anda betul-betul memerlukannya atau tidak. Jika ia jangkitan virus, anda tidak memerlukannya. Antibotik hanya mempengaruhi jangkitan bakteria, dan pengambilannya akan menyebabkan mikrobiota usus menjadi tidak seimbang dan seterusnya membunuh probiotik, lalu membenarkan bakteria lain membiak. Kesan sampingannya termasuklah cirit-birit disebabkan oleh antibotik, yang boleh dilegakan melalui pemberian probiotik – rujuk doktor anda jika anda mengalami masalah ini.
  • Penggunaan produk antibakteria: Ini termasuklah produk seperti sabun, pencuci dan produk pembersih lain yang dilabel sebagai ‘antibakteria’. Bagi sabun antibakteria, Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat menggalakkan penggunaan sabun biasa bersama air kerana tiada bukti saintifik yang menyokong dakwaan pihak pengilang. Sebaliknya, penggunaan meluas produk ini disyaki mempunyai kesan buruk terhadap kesihatan. Pastikan anda memeriksa produk yang ingin dibeli tidak mengandungi sebarang bahan aktif iaitu triklosan dan triklokarban. Amalkan amalan membasuh tangan yang biasa kerana ia berkesan dalam menghalang penyebaran jangkitan dan penyakit. Saranan FDA hanya meliputi sabun antibakteria dan sabun badan yang digunakan dengan air, tetapi tidak termasuk produk lain seperti sanitiser tangan, tisu basah atau sabun antibakteria yang digunakan dalam penjagaan kesihatan (seperti di hospital).

Teruskan

Walaupun mendapatkan permulaan yang baik bagi mikrobiota usus anak anda adalah penting, jangan jadikan ia fokus utama anda. Sebaliknya, tumpukan kepada pemberian susu ibu, anda akan dapat mencapainya, di samping memastikan anak anda memperoleh kesemua zat yang diperlukannya untuk membesar. Pemberian susu ibu juga membantu mengeratkan hubungan anda dengannya. Pastikan anda menyusukannya susu ibu secara eksklusif untuk 6 bulan pertama dan meneruskan pemberian susu ibu sehingga anak berumur 2 tahun.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen