Orang kurang upaya intelektual (ID) adalah 3-5 kali lebih kemungkinan mempunyai gangguan psikiatrik juga. Gangguan tersebut sering kali tidak dikesan atau disalah diagnosis, lalu tidak dirawat sewajarnya.
Faktor risiko yang membuat orang kurang upaya intelektual lebih rentan kepada masalah kesihatan mental termasuk: biologi (cth. sejarah keluarga menghidapi penyakit mental, penyakit genetik, ubat-ubatan), psikologi (cth. kurang kemahiran sosial, kawalan terhadap kehidupan yang terbatas), dan sosial (cth. fungsi keluarga, kurang sokongan sosial, peristiwa buruk dalam hidupan).
Faktor lain termasuk kecederaan otak, epilepsi, kehilangan atau perpisahan yang berulangan, kesukaran berkomunikasi, mekanisma daya tindak (coping mechanism) yang lemah, kesusahan keluarga, kurang kemahiran sosial, harga diri rendah, dan faktor psikologi lain.
Kanak-kanak kurang upaya intelektual juga berisiko dieksploitasi dan dianiayai yang boleh menjadi punca penyakit mental. Beberapa kajian mendapati bahawa 50-85% wanita dan 25-50% lelaki kurang upaya intelektual mengalami serangan seksual sebelum berumur 18 tahun. Hampir separuh daripada yang diserang telah dianiayai lebih daripada 10 kali!
Masalah Mental Tidak Diendahkan
Walaupun ramai pesakit kurang upaya intelektual menghidapi penyakit mental, tidak ramai yang dikenalpasti atau didiagnosis dengan masalah tersebut. Ini sebahagiannya disebabkan oleh sesuatu yang dipanggil diagnostik membayangi atau diagnostic overshadowing. Ia adalah di mana simptom tingkah laku disalah andaikan sebagai berkait dengan ketidakupayaan kanak-kanak dan bukan daripada masalah kesihatan mental yang tersembunyi.
Sering kali, ini menyukarkan untuk mengenalpasti masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak kurang upaya intelektual. Diagnosis salah akan menyebabkan rawatan salah dan ubat salah (jika ada) diberi kepada seorang kanak-kanak. Hanya 1 dalam 10 kanak-kanak dan remaja yang mengalami gangguan mental bersama kurang upaya intelektual mendapat perkhidmatan kesihatan mental yang khusus.
Merawat Penyakit Mental Kanak-Kanak Kurang Upaya Intelektual
Amnya, intervensi awal bagi kanak-kanak kurang upaya intelektual yang mengalami komorbiditi psikiatrik harus melibatkan keperluan asas manusia seperti penerimaan oleh masyarakat, hubungan sosial, dan kasih sayang. Unsur-unsur tersebut adalah penting dalam usaha ke arah kesihatan mental jangka panjang bagi orang kurang upaya intelektual. Jenis rawatan lain termasuk:
Psikofarmakologi: Ini melibatkan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat gangguan mood dan gangguan psikotik lain. Ubat-ubatan sahaja tidak harus digunakan sebagai satu satunya rawatan, tetapi sebaliknya sebagai sebahagian daripada pendekatan rawatan yang komprehensif.
Psikoterapi: Psikoterapi individu, berkumpulan dan/atau keluarga mungkin dimasukkan dalam pelan rawatan. Ia dijalankan oleh seorang pakar psikoterapi. Terapi berkumpulan termasuk latihan kemahiran berkumpulan seperti kemahiran sosial, kemahiran berinteraksi, keyakinan diri, dan latihan menangani kemarahan. Terapi lain mungkin bertumpu kepada membangunkan kebolehan khusus seperti berdikari atau mengatasi kesedihan akibat kematian orang terdekat . Sesi psikoterapi mungkin berstruktur atau tidak berstruktur, masa terhad atau berterusan.
Pengendalian Tingkah Laku: Pelan ini dibangunkan untuk mengatasi tingkah laku tidak wajar dan mengajar kemahiran adaptif. Program tingkah laku sistematik mungkin dilaksanakan oleh individu dalam persekitarannya.
Selain itu, rawatan harus juga melihat kepada pembangunan personaliti kanak-kanak tersebut, mewujudkan sifat berdikari dan mencipta satu peranan untuknya dalam persekitarannya. Adalah penting untuk mengingati bahawa setiap kanak-kanak berfungsi mengikut kebolehannya.
Baca Seterusnya
Mengasuh Anak Kurang Upaya Intelektual: Pendidikan & Latihan
Komen