Pengasuhan Positif

Kemahiran Motor Anak Anda

‘Kemahiran motor’ merupakan tindakan-tindakan yang melibatkan penggunaan otot-otot anak anda. Ia boleh di kategorikan sebagai kemahiran motor kasar (pergerakan besar yang dilakukan menggunakan tangan, kaki, tapak kaki, atau seluruh tubuh, contohnya, merangkak, berlari, dan melompat) dan kemahiran motor halus (tindakan ‘kecil’ yang melibatkan manipulasi seperti memegang objek dengan jari dan ibu jari.)

Dari Satu Hingga Dua

Sebagai panduan, jadual perkembangan kemahiran motor bagi umur satu hingga dua tahun adalah disenaraikan di bawah. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa anak anda adalah seorang individu yang unik dan kemahiran motornya mungkin tidak tepat seperti yang tertera di dalam jadual.

table-kanak-kanak-kemahiran-motor

Idea-Idea untuk Dicuba

Bermain adalah komponen penting dalam perkembangan kemahiran motor anak anda kerana ia membantu anak anda mengembang dan menguasai fungsi badannya. Untuk membantu anak anda mengembangkan kemahiran motornya, anda boleh menggunakan permainan sebagai ransangan untuk melatihnya menggunakan otot, contohnya seperti bermain kejar-kejar, menyusun blok, membuat susun suai gambar, dll.

Tidak tahu bagaimana hendak mula? Berikut adalah beberapa tip untuk anda memulakannya:

Pergi ke taman permainan: Anak anda boleh berlatih kemahiran fizikal yang berlainan seperti memanjat dan turun naik tangga. Anda boleh juga bermain permainan bersamanya seperti Follow the Leader atau mengajar dia cara bermain buaian.

Berjalan di luar:Bawa dia mengembara berjalan kaki atau berjalan-jalan di taman. Anda boleh berpurapura menjadi binatang yang berbeza-beza (contohnya, melompat seperti seekor arnab, melompat seperti seekor kanggaru), main kejar-kejar, atau bermain dengan bola.

Balapan berhalang: Buat balapan berhalang anda sendiri (sama ada di dalam atau luar rumah) untuk dia berlari, melompat, memanjat, merangkak, dll. Tambahkan sedikit keseronokkan; anda boleh berpura-pura menjadi naga menghembus api yang akan ‘memakannya’ jika dia berdiri, dan untuk melepaskan diri, dia terpaksa merangkak dari satu bahagian ke bahagian lain di dalam bilik tidurnya. Permainan ini menyeronokkan bagi seisi keluarga!

Menunggang basikal roda tiga: Ini membantu dia mengembangkan pergerakan, koordinasi, dan imbangan duduk yang lebih baik. Anda boleh ikut bersamanya dengan menunggang basikal anda sendiri, atau berjoging sambil menemaninya.

Melibatkan anak anda dalam kemahiran kehidupan harian dan membuat kerja-kerja rumah yang mudah. Biarkan anak anda makan sendiri dan libatkan dia dalam membantu melakukan kerja-kerja penyediaan makanan yang mudah. Jika dia tertumpahkan makanan, tunjukkan cara untuk membersihkannya. Biarkan dia membantu kerja-kerja harian anda – ini bukan sahaja memperbaiki kemahiran motornya tetapi interaksi juga membantu kemahiran bahasanya.

Yang paling penting, setiap masa yang diluangkan bersama anak anda bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada kemahiran motornya, ia juga akan merapatkan hubungan anda sebagai sebuah keluarga!

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen