Pengasuhan Positif

Gas Berlebihan dalam Perut Kanak-kanak

Setiap orang pasti bernafas, menelan, makan, menghembus, menarik nafas dan melepaskan gas. Ia merupakan komponen metabolisma tubuh yang penting. Oleh itu, adalah normal untuk kita mengalami masalah berlebihan gas, samalah juga dengan bayi dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, terlalu banyak gas boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Simptom-simptom gas berlebihan termasuk:

  • Kembung
  • Menangis tanpa henti
  • Sendawa
  • Kentut berlebihan
  • Kejang perut

Tahukah Anda?

Reaksi normal tubuh terhadap gas yang berlebihan adalah untuk mengeluarkannya melalui kentut atau sendawa. Kentut 14-23 kali sehari dianggap normal!

Mengapa Anak Saya Mengalami Gas Berlebihan?

Terdapat beberapa sebab, tetapi yang utamanya:

1. Menelan terlalu banyak angin:

Tabiat seperti mengunyah gula-gula getah, menghisap jari, makan terlalu pantas atau minum menggunakan straw boleh menambahkan gas di dalam perut. Dalam kalangan bayi, peningkatan gas berlaku apabila mereka menghisap puting atau menyusu (menggunakan botol atau penyusuan susu ibu) dalam kedudukan yang tidak betul.

2. Pengambilan makanan bergas:

Makanan yang menghasilkan gas dalam seorang kanak-kanak tidak semestinya akan menyebabkan gas dalam seorang kanak-kanak yang lain. Ia bergantung kepada bagaimana badan mereka menghadam karbohidrat dan jenis bakteria yang terdapat di dalam usus mereka. Jenis-jenis makanan yang boleh menghasilkan gas berlebihan termasuklah:-

  • Kekacang
  • Brokoli
  • Kubis Brussels
  • Kubis
  • Minuman berkarbonat
  • Bunga kubis
  • Buah-buahan seperti epal, pic dan pir
  • Makanan berasaskan bijirin
  • Gula-gula getah
  • Gula-gula keras
  • Daun salad
  • Susu dan hasil tenusu
  • Bawang

3. Komplikasi gastrousus:

Beberapa penyakit seperti penyakit Crohn, pertumbuhan bakteria berlebihan dalam usus kecil (SIBO), ketakcernaan (ketidakhadaman), sembelit dan cirit-birit boleh menyebabkan gas berlebihan di dalam saluran usus.

Pertumbuhan bakteria berlebihan dalam usus kecil atau Small Intestine Bacteria Overgrowth (SIBO)

Disifatkan sebagai kehadiran jumlah bakteria yang tinggi (melebihi 100,000 bakteria setiap mililiter) di bahagian atas usus kecil. Pengumpulan bakteria tersebut, yang pada asalnya selamat, boleh menyebabkan kemudaratan apabila ianya berlebihan. Ini kerana bakteria menghasilkan toksin, enzim, dan gas-gas usus (iaitu hidrogen, metana dan karbon dioksida) yang mengganggu penghadaman, mengakibatkan ketidakselesaan fizikal dan juga kecederaan usus.

4. Intoleransi terhadap sesetengah makanan:

Terdapat kanak-kanak yang tidak berupaya menghadam beberapa jenis makanan tertentu disebabkan kekuranganenzim-enzim penghadaman – keadaan ini dikenali sebagai ‘intoleransi makanan’. Makanan-makanan ini jika diambil, akan digunakan oleh bakteria, dan seterusnya menghasilkan gas. Terdapat pelbagai jenis intoleransi makanan tetapi yang paling lazim dilaporkan adalah intoleransi terhadap laktosa (terdapat di dalam kebanyakan produk tenusu) atau fruktosa.

Masalah intoleransi boleh didiagnosis dengan menggunakan beberapa kaedah (iaitu, ujian darah, diet pengecualian, dll.), tetapi yang paling mudah, kurang invasif dan mudah didapati ialah ujian nafas hidrogen.

Ujian Nafas Hidrogen

Sebuah alat akan digunakan untuk mengukur jumlah hidrogen dalam nafas anak anda. Selepas berpuasa semalaman, doktor akan memberi anak anda minum cecair berasaskan laktosa atau fruktosa. Alat tersebut akan digunakan selepas beberapa jam untuk memeriksa perubahan kadar hidrogen di dalam nafas anak anda.

Peningkatan hidrogen adalah petunjuk bagi intoleransi, ini kerana bakteria di dalam usus anak anda menghasilkan hidrogen apabila ia memproses laktosa – satu keadaan yang tidak akan berlaku jika seseorang mempunyai enzim-enzim penghadaman; begitu juga seperti dalam intoleransi fruktosa, hidrogen terhasil daripada hasil sampingan metabolisma fruktosa oleh bakteria usus. Ujian ini boleh juga digunakan untuk mengesan SIBO.

Bagaimana jika kesakitan akibat berlebihan gas berterusan?

Komplikasi gastrousus yang lebih serius seperti penyakit Celiac, Sindrom Usus Iritabel (IBS), SIBO, penyakit Crohn, dll. boleh menjadi penyebabnya. Apapun puncanya, simptom-simptom berikut perlu diawasi:

  • Penurunan berat badan
  • Kurang bertenaga atau hilang keupayaan melakukan rutin harian
  • Najis cair atau cirit-birit yang berlarutan melebihi satu minggu
  • Abdomen membesar (menonjol seperti belon)
  • Kesakitan perut berterusan terutamanya yang mengganggu waktu tidur
  • Terdapat darah di dalam najis
  • Kurang selera makan
  • Muntah-muntah

Simptom-simptom di atas kerap berlaku dalam kombinasi, oleh itu anda perlu peka dengan tandatanda amaran ini dan bawa anak anda berjumpa doktor pakar gastroenterologi pediatrik dengan segera jika ia berlaku.

Bagaimana saya boleh membantu anak saya?

Anda boleh mengurangkan ketidakselesaan yang dialami anak anda dengan menyapu minyak atau menggosok perut atau belakang untuk melegakannya. Jika masalah berpunca daripada penyakit yang serius (iaitu, sembelit, IBS, dll.), ia memerlukan rawatan ubat-ubatan khas. Jika masalah gas berlebihan adalah disebabkan oleh intoleransi, anda harus mempertimbangkan intervensi diet. Elakkan makanan yang tidak boleh diterima oleh badan anak anda, awasi mereka ketika waktu makan dan amalkan gaya hidup sihat yang merangkumi aktiviti fizikal yang tetap.

mommy-with-baby

Gas berlebihan dalam kanak-kanak adalah sesuatu yang normal; setiap orang pada suatu ketika akan merasa ketidakselesaan akibat gas berlebihan. Sebagai ibu bapa, perkara terpenting yang anda boleh lakukan adalah memberi anak anda diet yang berkhasiat dan seimbang serta awasi kesihatan penghadaman mereka. Dapatkan nasihat pakar pediatrik atau pakar gastroenterologi pediatrik dengan segera jika anda mengesyaki anak anda menghadapi sebarang masalah.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen