Si manja mula menguap dan perlahan-lahan kedua kelopak matanya mula tertutup dan bergerak-gerak. Selepas itu anda boleh mendengar bunyi nafasnya.
Memerhatikan bayi tidur adalah satu pengalaman yang tak ternilai bagi para ibu bapa, terutamanya bayi yang baru lahir. Alangkah bertuahnya kalau kita dapat tidur senyenyak dia.
Tidur merupakan waktu untuk bayi berehat. Tambahan lagi, tidur itu adalah penting kepada tumbesaran dan perkembangannya juga. Sebagai contoh, kadar pembesaran otaknya adalah paling tinggi semasa tidur. Sebagai ibubapa yang penyayang, anda sepatutnya biarkan anak anda tidur.
Berapa Banyak Tidur Yang Bayi Perlukan?
Corak tidur bayi akan berubah apabila membesar. Apabila baru dilahirkan, bayi memerlukan kira-kira 15 hingga 18 jam tidur setiap hari. Ini adalah sebab kenapa dia mudah tertidur, terutamanya setelah disusukan.
Namun, bayi akan terjaga dalam 3-4 jam kemudian untuk menyusu sekali lagi. Dia mudah lapar disebabkan kapasiti perutnya yang kecil.
Selepas bulan ketiga anda akan dapati bahawa bayi tidur kurang daripada sebelumnya. Jangan bimbang kerana bayi telah membesar dan menjadi lebih peka kepada persekitarannya. Jadi, jika dia tidak mengantuk dan ingin memerhati dunia sekelilingnya, biarkan sahaja. Banyak yang mahu dipelajarinya dan anda pasti juga mahu bayi anda membesar menjadi kanak-kanak yang pintar.
Apabila bayi mencapai umur 8 bulan dan ke atas, dia biasanya kurang terjaga pada waktu malam. Dia tidak perlu diberi susu dengan kerap lagi di tengah malam. Walau bagaimanapun, bayi masih tetap bayi dan, adakalanya, dia akan terbangun pada waktu malam dan menangis. Pastikan apa yang dia mahu atau perlukan dan, dengan kasih-sayang, cuba memujuknya supaya tidur semula.
Bagaimana Untuk Membolehkan Bayi Anda Tidur Dengan Lebih Nyenyak?
Anda sudah tahu bahawa bayi perlu tidur. Anda boleh meningkatkan kualiti tidurnya dengan mencuba panduan di bawah:
- Bersedia untuk tidur Anda tentu dapat meramal bila bayi anda biasanya menjadi mengantuk. Sebelum waktu itu, tukarkan pakaian dan lampinnya. Berikan susu 30-60 minit sebelum dia tidur. Pastikan dia tidak berasa terlalu panas ataupun sejuk.
- Tempat tidur Sudah pasti, tempat yang paling selesa baginya adalah dalam pangkuan anda. Anda boleh mendukungnya sambil mendodoikannya tidur. Apabila matanya telah terpejam, teruskan mendukungnya selama 10 minit sebelum meletakkannya secara perlahan-lahan ke dalam katil kotnya. Pastikan bahawa tilamnya cukup empuk. Jangan mengalas pagar katil kotnya dengan bantal; bayi mungkin lemas sekiranya mukanya tersembam ke bantal. Sebaliknya gunakan pengalas pagar yang diikat dengan tali yang tidak melebihi 6 inci panjang.
- Posisi tidur Bayi yang sihat tanpa sebarang masalah digalakkan tidur dalam keadaan terlentang.
- Hubungan rapat Ibubapa dan bayi seharusnya mempunyai perhubungan yang rapat. Apabila anda tidur bersama bayi, dia dapat merasakan kehangatan tubuh badan anda. Ini boleh membantu bayi untuk tidur dengan lebih nyenyak lagi. Sekiranya dia mempunyai katil kotnya sendiri, adalah digalakkan supaya ia diletak di dalam bilik tidur anda sehingga bayi berumur 1 tahun.
Masalah Tidur Yang Biasa Ditanya
“Bayi saya tidak dapat tidur. Apakah yang patut saya lakukan?”
Terdapat bayi yang tidak dapat tidur dengan senangnya. Jika ini berlaku kepada bayi anda, periksa cukup keadaannya. Dia mungkin tidak kenyang, sakit, tidak selesa atau tidak sihat. Jika keadaan ini berterusan, dapatkan bantuan.
“Bayi saya senang terjaga.”
Bayi anda kelihatan telah tidur tetapi terjaga sebaik sahaja anda mahu beredar dari sisinya. Dalam situasi begini, anda perlu sabar dan cuba tidurkannya semula. Beredar hanya apabila anda pasti bahawa bayi sedang tidur dengan nyenyak.
“Bayi saya tidur pada waktu siang dan berjaga seluruh malam!”
Jika bayi anda tidak tidur pada masa yang betul, jangan salahkannya. Bayi anda mungkin masih belum tahu membezakan antara siang dan malam.
Apa yang boleh anda lakukan ialah mengurangkan masa tidur siangnya. Jangan biarkan dianya terus tidur selepas menyusu. Sebaliknya bermain-main dengannya. Pada waktu-waktu yang munasabah, biarkan dia tidur tetapi letakkannya di dalam persekitaran yang tidak terlalu sunyi. Kejutkannya selepas kira-kira 3 jam tidurnya.
Pada waktu malam, biarkan dia tidur di dalam bilik yang sunyi dan malap. Kurangkan perbualan di sekelilingnya.
“Saya rasa bayi saya tidur terlalu lama!”
Sekiranya anda dapati bayi anda tidur terlalu lama dari biasa, dapatkan nasihat doktor.
Komen