Pengasuhan Positif

Berikan Anak Anda Masa Untuk Bersendirian

Kanak-kanak memerlukan masa untuk bersendirian kerana ia memberi mereka ruang untuk mula mentakrifkan diri mereka sendiri dan bukannya ditakrif oleh orang lain. Ia membolehkan mereka memilih apa yang penting buat mereka, bagaimana mereka mengungkap perasaan, menguruskan perkara peribadi, dan menggunakan masa peribadi. Ini membantu mendidik minda individualiti yang sihat dalam anak anda.

Bila ia bermula

Keperluan masa peribadi bermula apabila kanak-kanak sedar bahawa mereka terpisah daripada orang lain. Menurut Pakar Psikologi dari Harvard Robert Kegan*, kanak-kanak dilahirkan tidak berkemampuan untuk membezakan diri mereka dengan orang lain. Sebaliknya, sifat kesedaran diri mereka mula terbina apabila mereka sedar bahawa setiap orang dibezakan daripada diri mereka melalui keperluan dan pandangan yang berlainan.

Mengikut teori Kegan, bayi tidak memerlukan privasi kerana mereka tidak dapat mengecam kewujudan individu lain. Walau bagaimanapun, bayi juga memerlukan ruang untuk berehat daripada interaksi bersama manusia dan stimulasi. Waktu bayi berehat bersendirian dapat membantunya belajar cara untuk menghiburkan diri mereka, bermain jari dan jari kaki sendiri, ataupun berlatih mendekut untuk menenangkan diri sendiri apabila diagah.

Apabila anak kecil dan kanak-kanak pra-sekolah membesar, mereka mula sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada golongan orang lain; dan mula menyimpan rahsia. Kesedaran ini akan menjadi lebih ketara apabila mereka mula bersekolah dan bergaul dengan kanak-kanak lain. Kanak-kanak dalam umur ini perlu mempunyai ruang peribadi atau kawasan sekitar rumah yang mereka dapat dijadikan sebagai milik mereka.

Anda perlu menggunakan hak sebagai ibu bapa dalam penilaian keperluan masa persendirian anak anda bergantung kepada perwatakan and tahap kematangan. Sudah tentu, terdapat juga pengecualian dalam pemberian hak peribadi kepada anak anda untuk memastikan keselamatan mereka terjamin.

Bagaimana anda bermula

Berikan anak anda masa untuk bersendirian serta mengawal ruang peribadi adalah semudah memberikan mereka laci sendiri di mana orang lain tidak dibenarkan untuk berkongsi mahupun melihat dalam laci tersebut. Ini amat berguna terutamanya jika anda mempunyai lebih daripada seorang anak yang berkongsi ruang atau bilik yang sama.

Pastikan anda berbincang dan menerangkan kepada anak anda bahawa ruang persendirian mereka bukanlah satu pas yang tidak terhad untuk melakukan sebarang perkara yang mereka mahu. Terangkan kepada mereka bahawa hak privasi bergantung kepada perasaan saling mempercayai. Sekiranya kepercayaan tersebut dikhianati, maka hak persendirian mereka tidak akan dihormati. Selain ruang peribadi fizikal, anak anda juga memerlukan ruang emosi peribadi untuk membina dan menerokai kegemaran, minat, aktiviti dan pendapat tentang orang dan perkara lain. Selagi tidak melanggar kebiasaan/norma, cuba menghormati ruang emosi anak anda dengan tidak memaksa mereka untuk mematuhi keinginan anda. Anda boleh menyatakan minat anda dalam perkara yang mereka lakukan atau bertanya untuk melihat seni lukis atau karya mereka; tetapi penting untuk anda menghormati ruang emosi mereka dan tidak memaksa sekiranya mereka tidak mahu anda melihat karya, atau lukisan mereka. Anda mesti yakin bahawa anak anda akan membuka hati mereka kepada anda.

Mencerobohi ruang peribadi mereka tanpa kebenaran atau dengan sebab yang munasabah bersamaan dengan mengganggu perkembangan peribadi mereka. Ini akan menjejaskan dan mengancam hubungan, melemahkan kepercayaan serta rasa hormat yang terjalin sekian lama di antara anda dengan anak anda. Komunikasi secara terbuka mengenai privasi dan kepercayaan adalah penting, tetapi penting juga untuk menyelia atau mengawasi privasi anak anda dan berbincang tentang had privasi mereka.

*Robert Kegan adalah seorang pakar teori perkembangan psikologi yang mengkaji perkembangan identiti dan kematangan sosial. Teori kematangan sosial beliau telah diperkenalkan buat kali pertama dalam bukunya ‘The Evolving Self’ pada tahun 1982.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen