Walaupun anda kurang sihat atau sedang mengambil ubat-ubatan, kekalkan bekalan susu anda dengan memerah susu anda.
Para pakar bersetuju bahawa susu ibu harus diberi secara eksklusif bagi 6 bulan pertama dan kemudiannya diteruskan bersama makanan pepejal dan makanan tambahan lain sehingga anak mencapai umur 2 tahun ke atas. Dalam tempoh penyusuan ini, dan juga sepanjang hayatnya, ibu-ibu tidak dapat lari daripada dijangkiti penyakit. Apabila ia berlaku, ramai yang tawar hati untuk terus menyusukan bayi mereka.
Kebimbangan mereka boleh difahami, apabila seorang ibu dijangkiti selesema, demam atau penyakit lain, tubuh mereka mungkin menjadi lemah dan keinginan untuk menyusukan bayi mungkin berkurangan terutama apabila penyakit mereka semakin teruk. Ibu-ibu juga mungkin bimbang yang penyakit tersebut akan menjangkiti bayi dan menyebabkan bayi jatuh sakit.
Percayalah, walaupun terdapat pelbagai salah tanggapan, kebanyakan pakar pediatrik dan pakar penyusuan susu ibu bersetuju bahawa ibu-ibu harus terus menyusukan bayi walaupun ketika mereka tidak sihat. Sebab utamanya ialah kemungkinan penyakit ibu tersebut sudahpun menjangkiti bayinya sebelum menunjukkan sebarang simptom yang mereka tidak sihat. Oleh sebab tubuh ibu membina tindak balas imun terhadap penyakit secara serentak, bayi juga akan mendapat manfaat melalui antibodi yang melawan penyakit yang terdapat dalam susu ibu.
Walau bagaimanapun:
- Jika penyakit anda berlarutan melebihi 3 hari, anda harus berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat sama ada masih selamat untuk anda menyusukan bayi.
- Jika anda perlu mengambil ubat-ubatan, minta doktor anda memberi ubat yang juga selamat untuk bayi. Biasanya ia melibatkan antibiotik yang boleh masuk ke dalam susu ibu.
- Jika anda tidak mampu menyusukan bayi, anda boleh memerah susu anda dan suami atau pengasuh boleh menyusukannya. Dengan cara demikian, anda boleh mengelakkan komplikasi penyusuan yang lain seperti kebengkakan dan pada masa yang sama dapat memberi bayi anda susu ibu.
- Anda harus sentiasa ingat untuk membasuh tangan setiap kali sebelum anda menyusukan bayi untuk mencegah jangkitan. Dalam tempoh ini juga, elak daripada mencium bayi anda. Jangan bimbang kerana anda mempunyai banyak masa untuk bermesra dengannya setelah anda sihat.
- Bayi yang berumur kurang dari 3 minggu dan bayi pramatang adalah terkecuali memandangkan mereka mudah mendapat jangkitan. Ibu selalunya diasingkan daripada bayi jika dia tidak sihat semasa melahirkan bayi. Penggunaan gaun dan topeng mungkin diperlukan jika ibu mendesak untuk memegang bayinya.
Beberapa penyakit lazim dan saranan mengenai amalan penyusuan susu ibu:
Hepatitis C
Hepatitis B
Herpes Simpleks
Cacar Air
Selesema Babi (H1N1)
Penyusuan susu ibu TIDAK DISARANKAN dalam keadaan berikut:
- Ibu yang dijangkiti virus imunodifisiensi manusia (HIV), virus limfotropik sel T, tuberkulosis yang aktif dan tidak dirawat
- Ibu yang sedang mengambil ubat antiretroviral (HIV)
- Ibu yang menagih dadah
- Ibu yang sedang mengambil ubat kemoterapi bagi kanser
- Ibu yang sedang melalui terapi radiasi
Apabila ibu-ibu tidak sihat, mereka harus mendapat cukup rehat dan minum banyak air. Dapatkan nasihat mengenai penyusuan susu ibu daripada profesional kesihatan sebelum menyusukan bayi bagi mengelakkan bayi daripada dijangkiti penyakit yang mungkin berbahaya atau membawa maut di peringkat awal kehidupannya dan ketika tubuhnya masih lemah.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen