Pengasuhan Positif

Kebersihan dan Keselamatan Makanan

Makanan dan minuman yang tercemar boleh mengandungi agen-agen bahaya seperti bakteria, virus dan parasit. Agen-agen tersebut selalunya menjadi punca kepada sakit perut dan cirit-birit.

Penyakit-penyakit yang lebih serius yang boleh timbul akibat pengambilan makanan dan minuman yang tercemar termasuklah kolera, demam tifoid, hepatitis A, keracunan makanan dan disentri. Kelima-lima penyakit tersebut kini dipantau oleh Kementerian Kesihatan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit-penyakit bawaan makanan dan minuman membunuh lebih daripada dua juta penduduk sejagat setiap tahun, dengan majoriti mangsanya adalah kanak-kanak.

Namun begitu, anda boleh mengatasi penyakit-penyakit bawaan makanan dan minuman dengan mengikuti prosedurprosedur kebersihan dan keselamatan makanan yang sempurna.

Enam tip kebersihan dan keselamatan makanan

Berikut adalah enam panduan utama yang perlu difikirkan sebelum anda mula menyediakan hidangan lazat:

1. Pilih makanan dan minuman yang bersih dan selamat

Sentiasa beli makanan mentah yang bersih dan segar, makanan diproses yang dilabelkan dengan sempurna dan belum mencapai tarikh luput, dan pilih tin-tin (atau pembungkusan lain) yang dalam keadan baik, dan tidak kemek atau menggelembung. Apabila membeli makanan sejuk/sejuk beku, ambilnya sejurus sebelum meninggalkan kedai dan simpan di dalam kotak/beg penyejuk semasa dalam perjalanan pulang.

2. Simpan makanan dengan cara yang sewajarnya

Makanan yang mudah rosak seperti susu, yogurt, dan telur mesti disimpan pada 5°C, manakala daging, ayam, dan makanan laut harus disejuk bekukan pada -18°C. Sentiasa asingkan makanan mentah daripada makanan yang telah dimasak, tidak kira sama ada anda sedang menyediakan hidangan, atau menyimpan di dalam peti sejuk. Jangan simpan baki hidangan melebihi dua hari pada suhu 5°C; untuk disimpan lebih lama, sejuk bekukan makanan pada -18°C.

3. Kekalkan kebersihan semasa menyediakan makanan

Basuh tangan dan peralatan memasak dengan sabun dan air bersih sebelum menyediakan hidangan. Elak daripada mengendalikan makanan jika terdapat luka di tangan anda. Guna peralatan berasingan untuk mengendalikan makanan mentah dan telah dimasak (contohnya, jangan guna sebilah pisau dan satu papan pemotong apabila memotong daging untuk dimasak dan kemudian mengguna alat-alat yang sama untuk memotong sayur bagi salad). Lebih baik mencairkan makanan dengan meletakkannya di dalam peti sejuk atau di bawah air bersih yang mengalir daripada ditinggalkan pada suhu bilik.

4. Masak semua makanan dengan sempurna

Semua makanan mesti dimasak dengan sempurna dan betul-betul masak. Masak daging atau ayam sehingga tidak lagi berwarna merah muda. Apabila memasak sup/stew, pastikan ia masak sehingga mendidih dulu. Jika anda memanaskan semula baki makanan, pastikan ia dipanaskan dengan sempurna.

5. Titikberatkan kebersihan semasa menghidangkan makanan

Sentiasa gunakan pinggan mangkuk yang bersih apabila menghidangkan makanan. Jika anda sedang menyediakan hidangan di atas meja dan merancang untuk makan kemudian, pastikan makanan ditutup dan tidak ditinggalkan pada suhu bilik melebihi empat jam. Suhu terbaik untuk menyimpan makanan panas ialah melebihi 60°C, manakala makanan sejuk harus disimpan pada suhu di bawah 5°C.

6. Jika anda makan di luar, makanlah di premis yang bersih/selamat

Pilih premis yang bersih yang jauh dari potensi sumber pencemaran seperti parit, tempat pembuangan sampah, tangki septik, pembuangan sisa, dll. Jauhi premis-premis tersebut jika:

  • anda boleh lihat tanda-tanda tikus, lipas, atau haiwan/serangga perosak lain
  • mereka menggunakan pinggan mangkuk yang tidak bersih atau dalam keadaan buruk (contohnya, pinggan kotor atau pecah/cawan sumbing)
  • mereka menghidangkan makanan yang tidak ditutup dengan baik
  • staf mereka tidak mengamalkan tabiat kebersihan diri yang baik.

Memastikan Si kecil anda selamat

Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk anda lebih berwaspada dalam mencegah anak dan keluarga anda daripada menghidapi sebarang penyakit bawaan makanan dan minuman. Didik anak anda mengenai kepentingan kebersihan. Membasuh tangan merupakan salah satu amalan kebersihan paling asas yang kerap diabaikan. Ajar anak anda untuk membasuh tangan sebelum dan selepas makan, selepas ke tandas atau menghembus hidung, selepas membelai binatang atau binatang kesayangan, dan selepas menyentuh sampah atau menggunakan tong sampah.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen