Pengasuhan Positif

Memperkasakan Kanak-Kanak Dengan Keyakinan Diri

Maruah diri adalah tanggapan kita mengenai diri kita sendiri. Bagaimana kita mentakrifkan diri sendiri akan mempengaruhi motivasi, sikap, dan seterusnya emosi dan kepintaran kita. Kanak-kanak yang bersikap positif umumnya merasakan diri mereka baik dan boleh memberi banyak sumbangan. Sebaliknya, kanak-kanak yang merasa rendah diri merasakan diri mereka tidak berguna dan tidak boleh memberi banyak sumbangan.
Memperkasakan Kanak-Kanak Dengan Keyakinan Diri

Kanak-kanak yang merasa rendah diri mungkin menunjukkan tanda-tanda berikut:

  • Merasa terasing dan tidak disayangi.
  • Cenderung melarikan diri daripada situasi baru dan berlainan.
  • Tidak dapat menerima kegagalan dan kritikan.
  • Cenderung memperkecilkan diri sendiri dengan cara negatif.
  • Merasakan usaha mereka sama sekali tidak sebaik orang lain.

Peranan ibu bapa dalam mempengaruhi anak-anak

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak perdebatan mengenai gaya pendidikan anak-anak yang diamalkan antara budaya Timur dan Barat. Pengasuhan gaya Barat mencadangkan bahawa pandangan dan pendapat kanakkanak harus didengari agar mereka merasakan diri mereka dihargai di dalam masyarakat. Gaya pendidikan Asia pula kurang memberi perhatian kepada pandangan kanak-kanak, sekaligus mengurangkan keyakinan diri mereka. Walaupun tidak benar untuk semua ibu bapa Asia, gaya pendidikan anak-anak sangat penting kerana ia boleh mempengaruhi keyakinan diri anak-anak dan membentuk watak dan personaliti mereka pada masa akan datang.

Senarai petua di bawah menunjukkan bagaimana ibu bapa boleh membantu dalam usaha membina keyakinan diri:

  • Sentiasa bersikap penyayang dan spontan. Dengan menyayangi dan menerima mereka tanpa syarat, anda dapat meyakinkan dan mengajar anak-anak anda bahawa dengan sokongan, mereka boleh menjadi sesiapa sahaja atau melakukan apa sahaja.
  • Tunjukkan teladan yang positif. Jika anda terlalu keras dengan diri sendiri atau tidak yakin dengan keupayaan anda, anak-anak anda mungkin menjadi seperti anda. Kuatkan keyakinan diri anda sendiri, dan anak-anak anda pasti akan mencontohi anda.
  • Anda juga boleh cuba mewujudkan persekitaran dalam rumah yang mesra dan diselubungi kasih sayang agar anak-anak anda merasa selamat dan selesa. Persekitaran di rumah yang sihat akan membentuk identiti anak-anak anda
  • Jangan sesekali membandingkan anak-anak anda dengan kanak-kanak lain yang jauh lebih baik atau membuat mereka rasa bersalah dan kemudian menghukum mereka apabila gagal. Anda mesti menyedarkan anak-anak anda bahawa ada kalanya mereka boleh gagal tetapi dengan menaikkan maruah diri, mereka boleh bangkit semula daripada kegagalan.
  • Biasakan anak-anak anda bertanggungjawab menyelesaikan masalah mereka sendiri. Berdepan dengan kesusahan, sama ada gagal dalam ujian dan berjuang untuk membaiki pencapaian, atau bersaing dalam tugasan yang sukar, akan menggalakkan anak-anak untuk membina maruah diri dan berdikari.

Dapatkan bantuan yang professional

Jika anda mengesyaki anak anda merasa rendah diri, anda boleh menimbangkan kemungkinan untuk mendapatkan bantuan profesional. Kaunselor keluarga dan kanak-kanak boleh mencari isu-isu di sebaliknya, yang membuat anak anda merasa rendah diri. Terapi boleh membantu kanak-kanak belajar melihat diri sendiri dan dunia dengan optimis. Dengan sedikit bantuan, setiap kanak-kanak boleh membina harga diri dan seterusnya hidup bahagia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen