Alahan terhadap makanan
Manusia makan pelbagai jenis makanan. Sesetengah orang alah terhadap makanan tertentu dan akan memberikan reaksi kurang baik jika makan makanan tersebut. Keadaan ini berlaku kerana sistem imun bertindak balas terhadap protein di dalam makanan itu dan dikenali sebagai alahan makanan. 3% daripada populasi mengalami alahan makanan. Masalah ini lebih biasa di kalangan kanak-kanak, melibatkan 6% kanakkanak berusia 3 tahun ke bawah. Susu formula bayi dihasilkan daripada susu lembu. Protein susu lembu adalah penyebab sistem imun tubuh bertindak balas terhadap protein asing ini. Keadaan ini membawa kesan buruk kerana bahan kimia dibebaskan dan berlaku kerosakan sel pada sel tisu yang bertanggungjawab menimbulkan manifestasi. Makanan lain seperti telur, kacang tanah atau makanan laut adalah penyebab alahan lain yang kurang biasa.
Ketidakserasian makanan
Jangan terkeliru di antara satu keadaan yang dipanggil ketidakserasian makanan dengan alahan makanan.
Mekanisme yang menyebabkan keadaan ini berbeza dan ia tidak berkaitan dengan sistem imun. Ada di antara kita yang tidak tahan akan susu lembu bukan kerana alahan, tetapi kerana tubuh kita kekurangan sejenis enzim untuk menghadam gula yang terdapat secara semulajadi di dalam susu lembu, iaitu laktosa. Mereka yang tidak tahan laktosa boleh mendapat gejala seperti sakit perut dan cirit-birit. Dalam keadaan ini, laktosa adalah penyebab masalah dan dapat diatasi apabila pesakit diberi susu tanpa laktosa.
Tanda-tanda alahan susu lembu
Oleh kerana susu lembu adalah makanan utama bayi dan sesetengah kanak-kanak, masalah alahan lebih jelas pada mereka yang bertindak balas terhadapnya. Alahan susu lembu boleh menunjukkan pelbagai petanda. Adalah penting untuk mengenali petanda-petanda tersebut supaya mendapat diagnosis pada peringkat awal. Petanda-petanda termasuk reaksi kulit seperti ruam, ekzema, gatal-gatal kulit atau masalah usus seperti sakit perut, cirit-birit, darah dalam muntah atau najis dan masalah pernafasan seperti hidung berhingus, batuk atau berdehit. Kesemua petanda ini tidak spesifik menunjukkan keadaan alahan susu lembu kerana terdapat lagi penyebabpenyebab lain keadaan ini. Oleh itu, seseorang perlulah berhati-hati dan tidak membuat kesimpulan terlalu awal jika kanak-kanak mempunyai petanda-petanda tersebut.
Mendapatkan diagnosis
Jika seorang anak mempunyai petanda-petanda tersebut untuk suatu jangka masa yang agak lama, doktor perlu menilainya. Doktor itu akan mengkaji semula petanda yang telah ditunjukkan untuk mengenal pasti bagaimana dan waktu simptom ini telah berlaku serta betapa serius keadaannya. Anak ini akan diperiksa untuk tanda-tanda yang boleh mendapatkan petunjuk yang lebih jelas. Diagnosis yang lain perlu dikecualikan. Sejarah pemakanan yang lepas adalah penting. Ia adalah lebih senang untuk mengenalpasti alahan susu lembu pada bayi kerana susu adalah satu-satunya makanan bayi. Ia adalah lebih sukar untuk menentukan makanan yang mendatangkan alahan pada kanakkanak, contohnya pada anak berumur 1 tahun kerana dietnya terdiri daripada pelbagai jenis makanan. Mujurlah alahan susu lembu biasanya berlaku pada beberapa bulan pertama kehidupan, dan pada mereka yang mengalami alahan, mereka akan dapat membentuk toleransi semasa membesar bermula dari umur satu tahun. Alahan susu lembu boleh membawa kesan yang cepat atau lambat kepada penghidapnya. Ada yang membentuk gejala dengan cepat selepas minum susu lembu, contohnya bibir membengkak, gatal-gatal, mata membengkak atau menerima kejutan manakala ada juga yang hanya membentuk petanda yang lambat selepas beberapa minggu atau bulan.
Menjalankan ujian untuk alahan?
Diagnosis untuk alahan terhadap susu lembu dibuat dari gejala-gejala klinikal, bergantung kepada keputusan doktor selepas mengkaji semua petanda yang ada. Tidak ada ujian darah khusus untuk mengenal pasti keadaan ini. Jika perlu, ujian darah untuk mengenal pasti alahan terhadap makanan spesifik dapat dilakukan dan keputusan ujian akan ditafsir dan dinilai untuk mengukuhkan diagnosis. Ujian yang lebih penting dan berkesan adalah penghapusan atau cabaran makanan. Secara mudahnya, kanak-kanak akan disuruh menjauhkan diri atau diberi makanan tersebut (susu lembu). Jika anak alah terhadap makanan tersebut, dia akan menunjukkan petanda yang baik atau lebih buruk.
Rawatan
Apabila diagnosis telah dibuat, satusatunya cara rawatan adalah untuk menghindarkan diri daripada susu lembu. Walaupun begitu, terdapat beberapa keadaan yang perlu diperjelaskan. Jika semua bayi diberi susu ibu, maka alahan susu lembu sepatutnya tidak berlaku. Akan tetapi, bagi bayi yang mudah dipengaruhi, mereka boleh mendapat alahan susu lembu walaupun diberi susu ibu. Keadaan ini berlaku apabila ibu mengambil produk tenusu – sesetengah protein susu lembu akan diserap dan disalurkan kepada bayi melalui susu ibu dan menghasilkan tindak balas alahan. Penawar keadaan ini adalah para ibu menjauhkan diri daripada produk tenusu. Menukar formula kepada susu kambing adalah tidak digalakkan kerana susu kambing mempunyai protein yang bersifat sama seperti susu lembu dan turut boleh mendatangkan alahan. Bagi mereka yang tidak boleh memberi susu ibu, cara lain untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memberikan formula susu kacang soya kepada bayi. Formula susu kacang soya boleh mengatasi keadaan ini kerana telah diformulasi khusus untuk memenuhi keperluan nutrisi bayi yang membesar. Formula ini dihasilkan untuk memberi lemak, karbohidrat, protein, vitamin dan nutrisi yang lain dalam kadar yang betul. Tetapi, anak yang alah terhadap susu lembu mungkin juga alah kepada protein kacang soya. Bagi mengatasi keadaan ini, anda boleh memberikan formula khusus, iaitu formula susu penuh hidrolisis. Pemprosesan susu ini akan menghadam protein susu lembu menjadi serpihan kecil yang membawa risiko alergi yang kurang. Makanan yang paling sesuai adalah unsur formula di mana protein susu lembu hanya wujud dalam keadaan paling asas, iaitu asid amino.
Penghujung yang menggembirakan?
Ramalan atau kesudahan bagi kanakkanak alah terhadap susu lembu adalah baik kerana kebanyakan mereka akan membentuk toleransi terhadap keadaan ini secara beransur-ansur, bermula dari umur satu tahun dan ramai yang tidak akan alah lagi dalam masa 5 tahun. Bagi kumpulan minoriti yang masih lagi sensitif, menjauhkan diri daripada susu dan produk tenusu serta makanan yang mengandungi produk tenusu akan memastikan kehidupan berkualiti tanpa gejala-gejala yang bermasalah.
Komen