Jika anda pertama kali menimang cahaya mata, pasti anda rasa cemas setiap kali si manja bersin atau demam.
Jangan risau! Apabila sudah dapat anak kedua atau ketiga, anda akan sedar bahawa kanak-kanak akan jatuh sakit sekalisekala. Alasan yang baik untuk si manja “ponteng” sekolah juga!
Akan tetapi, jika anak anda sering kelihatan pucat dan lemah, atau dijangkiti selsema dengan kerap, ini adalah tanda menunjukkan sistem imunnya kurang sihat.
Sistem imun atau sistem pertahanan badan terdiri daripada sel-sel “tentera”, seperti fagosit, limfosit dan antibodi. Askaraskar memerlukan makanan untuk terus berjuang, begitu juga sel-sel tersebut memerlukan nutrien untuk mengalahkan bakteria dan virus.
Pemakanan yang baik membekalkan ‘tenaga’ serta ‘bahan mentah’ untuk membantu mengekalkan keutuhan sistem imun badan. Ia juga membantu melindungi sel dan organ daripada kerosakan yang disebabkan oleh persekitaran anak anda, misalnya pencemaran. Walaupun anak anda makan banyak, dia mungkin tidak mendapat nutrien yang seimbang. Oleh itu, sistem pertahanannya akan menjadi lemah.
Tiada makanan atau nutrien yang khas untuk sistem imun. Semua nutrien – vitamin dan mineral, protein, karbohidrat dan lemak – adalah penting untuk mengekalkan kekuatan sistem imun.
Jadi, si manja anda cuma memerlukan pemakanan seimbang supaya selalu sihat. Berikannya pelbagai jenis makanan setiap hari, supaya dia mendapat kesemua jenis nutrien dengan seimbang. Pastikan dia makan buah-buahan dan sayuran yang berwarna-warni, kerana itulah punca vitamin dan
mineral yang terbaik. Sistem imun yang kuat bermakna bahawa semua tentera badan sedia untuk berperang. Jika bakteria, virus atau kuman lain cuba menyerang anak anda, mereka pasti kalah teruk!
MAKAN SUPAYA SIHAT
Pemakanan yang baik akan membantu melindungi si manja supaya tidak jatuh sakit. Tahukah anda ia bermula dengan apa yang dimakan semasa anda hamil? Ikutilah petua berikut untuk memastikan anak sentiasa sihat, dari dalam kandungan sehingga dia membesar.
Semasa hamil
- Pilih makanan yang kaya dengan vitamin C, seperti jambu batu, betik, buah limau, buah belimbing dan mangga.
- Pilih makanan yang kaya dengan vitamin A, seperti hati, susu, telur, buah-buahan berwarna kuning dan merah, serta sayur-sayuran.
- Pilih makanan yang kaya dengan vitamin B, seperti hati, daging tanpa lemak, ikan, susu, sayuran berdaun hijau, buahan dan sayuran berwarna kuning tua, serta kekacang.
- Pilih makanan yang kaya dengan zat besi, seperti hati, daging tanpa lemak, makanan berasaskan kacang soya, bijirin dan roti yang diperkuat dengan zat besi, serta sayuran berdaun hijau.
- Pilih makanan yang bersih dan cukup masak. Jauhi daripada ikan mentah, daging yang kurang masak, telur separuh masak, susu dan hasil tenusu yang tidak dipasteurkan, serta keju yang lembut (seperti Brie).
Semasa menyusu anak
- Beri susu ibu selama mungkin kerana susu ibu mengandungi antibodi dan komponen sistem imun lain yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan.
- Berikan susu ibu sebaik sahaja bayi dilahirkan kerana susu awal yang dihasilkan (kolostrum) mengandungi banyak antibodi.
- Makan diet yang seimbang, dan pilih makanan yang kaya dengan nutrien, seperti makanan bijirin penuh, daging, kekacang, buah-buahan, sayuran, susu serta makanan berasaskan kacang soya.
- Jangan merokok semasa menyusu; ia mungkin menyebabkan bayi rasa loya, muntah atau cirit-birit.
- Terus menyusu bayi walaupun anda dijangkiti selsema. Antibodi yang dihasilkan dalam badan akan didapati dalam susu ibu dan dapat melindungi si manja.
- Ajar anak supaya memilih snek yang berkhasiat dan hadkan pengambilan “makanan rapu” setiap hari.
- Ajar anak supaya tidak berkongsi perkakas makan di sekolah dan selalu membasuh tangan sebelum makan.
Komen