Pengasuhan Positif

Manfaat Membela Haiwan & Hal Yang Perlu Dipertimbangkan

Membela haiwan di rumah boleh memberikan banyak manfaat kepada keluarga, termasuklah kanak-kanak. Menjaga dan bermain dengan haiwan peliharaan boleh memberi kesan positif terhadap perkembangan kanak-kanak.

Manfaat haiwan peliharaan

Manfaat mempunyai haiwan peliharaan meliputi pelbagai faktor, seperti rasa penerimaan dan kasih sayang tak berbelah bahagi (antara kanak-kanak dan haiwan), dan lebih penting, ia membantu kanak-kanak mengembangkan sifat prihatin, kasih sayang, sokongan, dan hubungan. Membela haiwan juga dapat memberi ruang positif untuk kanak-kanak mengawal tekanan dan belajar tentang tanggungjawab.

Membenarkan anak anda memelihara haiwan boleh meningkatkan keyakinan, belas ihsan dan empati dalam diri. Haiwan peliharaan anak anda juga boleh menjadi temannya dan membantunya memahami hal-hal rumit dalam hidup, seperti pembiakan, kelahiran, kesakitan, kemalangan dan kematian. Lebih utama lagi, ia juga boleh mengajar anak anda untuk jadi berdikari, proaktif dan bertanggungjawab.

Pengalaman memelihara dan menjaga haiwan melibatkan proses penglibatan yang mendalam antara anak anda dan haiwannya. Belajar menjaga dan mengasihi hidupan lain ialah tanggungjawab yang besar, yang membantu perkembangan kemahiran eksekutif (cth. menyelesaikan masalah, membuat pilihan, merancang, mengatur, berfikir secara kritis, dll.). Anak anda akan belajar cara:

  • Merancang dan mengatur aktiviti berkaitan penjagaan haiwan (cth. melatih, memberi makan, membersihkan haiwan, dll.)
  • Bertindak balas dengan krisis (cth. haiwan jatuh sakit, masalah dengan tempat tinggal haiwan, dll.)

adorable boy standing near table with fish bowl and pet cage

Kemahiran apabila dewasa

Menjaga haiwan menggalakkan anak anda membina kemahiran menyelesaikan masalah, kreativiti, berfikir secara kritis, meminta bantuan dan berdaya maju. Kemahiran ini menyumbang kepada daya tahan dan kebolehan menyesuaikan diri dengan cabaran hidup, lalu membantunya berdikari. Bimbing dan galakkan anak anda agar kecekapan kendirinya bertambah baik!

Haiwan peliharaan yang sesuai

Apabila tiba masa untuk mendapatkan haiwan peliharaan, berbincanglah dengan anak anda tentang haiwan yang sesuai berdasarkan faktor seperti di mana anda tinggal, dengan siapa anda tinggal atau jika sesiapa mempunyai alahan.

Berikut beberapa hal yang perlu dipertimbangkan sebelum mendapatkan haiwan peliharaan:

  • Kediaman: Pertama, saiz rumah anda mengehadkan saiz haiwan peliharaan, terutama bagi pencinta anjing (lebih besar jenisnya, lebih banyak ruang diperlukan). Jika anda tinggal di apartmen kecil atau berkongsi rumah dengan orang lain, pilihan anda makin terhad.
  • Masa & komitmen: Gaya hidup keluarga menentukan berapa banyak masa yang boleh diperuntukkan kepada haiwan peliharaan. Secara amnya, haiwan lebih kecil cuma memerlukan sedikit perhatian. Jadikan ini panduan untuk memilih haiwan peliharaan.
  • Tahap tanggungjawab: Jika haiwan tersebut akan dijaga oleh anak anda, anda perlu menilai tahap tanggungjawabnya, kebolehannya untuk menjaga haiwan itu, serta kesukaran cara penjagaannya. Pastikan peranan tambahan ini tidak mengganggu tanggungjawabnya yang lain, seperti sekolah. Jika anda tidak mengambil kira faktor ini, penjagaan haiwan hanya akan beralih kepada anda sebagai ibu bapa.
  • Mula dengan yang mudah: Penjagaan haiwan berbeza bergantung kepada jenisnya. Jika ini kali pertama anak anda mendapat haiwan peliharaan, lebih baik dia bermula dengan haiwan yang lebih mudah, cth. ikan (laga atau emas), hamster, tikus belanda, atau spesies kucing/anjing tertentu. Elakkan haiwan eksotik atau liar kerana ia sukar dijaga dan boleh menggigit dan mencakar. Sesetengah haiwan liar juga diharamkan sebagai peliharaan di Malaysia, seperti tenggiling atau memerang. Pastikan anda menyelidik terlebih dahulu sebelum ke kedai haiwan peliharaan. Walaupun ia dijual, tidak semestinya ia boleh dibeli dari sisi undang-undang!

Lebih baik jika anda berpengalaman dengan jenis haiwan tersebut. Ini membolehkan anda berkongsi pengalaman dengan anak anda dan membimbingnya dengan betul. Sebagai bonus, ini juga peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama.

Anda menjadi sandaran

Akhir sekali, anda perlu bersedia menangani perkara tidak diingini! Jika anak anda gagal melaksanakan tugasnya untuk menjaga haiwan tersebut dengan betul atau langsung tidak menghiraukannya, anda perlu menasihatinya dengan tegas atau mengambil alih peranannya.

Tanggungjawab memiliki haiwan peliharaan meliputi jangka masa panjang. Bagi anjing atau kucing, ini boleh mengambil masa lebih sedekad. Pastikan keluarga anda memahami komitmen ini sebelum memutuskan untuk menambah ahli keluarga baru!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen