Pengasuhan Positif

Cara Mengatasi Cerewet Makan

Ramai ibu bapa mengalami kesukaran bagi memastikan anak yang cerewet untuk menghabiskan makanannya. Oleh itu, anda perlu mengenal pasti punca penolakan makanan dan menyesuaikan proses penyediaan makanan.

Cerewet makan merupakan perkara biasa pada zaman kanak-kanak, tapi ia tidak mempunyai definisi jelas yang diterima ramai. Walaupun terdapat perbezaan dalam definisi cerewet makan, ia sering dikaitkan dengan stres dalam keluarga dan konflik ketika waktu makan. Ramai kanak-kanak dilaporkan sebagai cerewet makan, tetapi bukan semuanya mempunyai masalah pemakanan (eating disorder).

Makanan yang diambil oleh anak yang cerewet selalunya kurang kepelbagaian dan mungkin kekurangan nutrien penting yang boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangannya. Artikel ini akan membincangkan punca kanak-kanak menolak sesetengah makanan, yang seterusnya menyebabkan diet mereka terhad dan tidak cukup kepelbagaian.

Ibu bapa perlu memahami punca sebenar mengapa anak anda berkata “tidak” semasa waktu makan. Terutamanya jika ini menyebabkan berat badannya turun tanpa sengaja, kurang berat badan, peningkatan berat badannya perlahan, atau pengambilan makanannya kurang daripada biasa. Sebaliknya, sesetengah anak yang cerewet makan suka makan makanan yang diproses, dan makanan atau snek yang tinggi kalori, di mana ini akan meningkatkan risiko mereka mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Menaikkan seleranya

Kanak-kanak mempunyai deria rasa yang sensitif, menyebabkan mereka cerewet memilih makanan, dan ini boleh jadi mencabar. Mulakan dengan mengenal pasti punca anak anda cerewet terhadap makanan tersebut dan tanganinya dengan menghidangkan makanan yang menarik deria penglihatan, bau, rasa dan teksturnya. Berikut beberapa sebab kanak-kanak memilih makan dan cara untuk menanganinya.

Tekstur terlalu keras atau berserat

  • Anak anda mungkin rasa sukar atau penat mengunyah. Cuba kaedah memasak berbeza (cth: kukus, reneh, dll.) untuk melembutkan jenis makanan ini.
  • Saiz juga memainkan peranan, jadi cuba cincang atau potong bahan-bahan masakan menjadi kecil agar ia senang dimasak dan dinikmati.

Tekstur terlalu lembut

  • Sesetengah makanan akan jadi lembut setelah dimasak, tetapi anak anda tidak suka tekstur lembik dalam mulutnya.
  • Guna kaedah memasak pantas seperti menumis. Atau masak bahan-bahan tersebut secara berasingan untuk mengelakkan terlebih masak dan masukkannya sebelum dihidang.

Tidak suka rasanya

  • Kebanyakan sayuran mempunyai rasa yang pahit. Jadi, cincang sayuran tersebut sehingga halus dan gunakannya sebagai ramuan dalam hidangan yang lebih besar. Ini akan menyukarkan anak untuk mengasingkannya daripada hidangan.
  • Campurkan sedikit sayuran ke dalam popia, bebola daging, begedil, telur dadar, gulungan ayam-kobis, atau inti ladu.

Tidak suka aromanya

  • Aroma boleh menarik minat anak anda terhadap sesetengah hidangan. Pastikan bahan makanan itu segar, terutamanya bagi daging dan makanan laut. Sesetengah sayuran atau herba secara semula jadinya memiliki aroma yang kuat.
  • Cuba guna rempah atau herba mengikut minat anak anda. Anda juga boleh mengurangkan bau tidak enak dengan ramuan tertentu (cth: kukus ikan bersama halia untuk mengurangkan bau hanyir ikan).

Kelihatan tidak menyelerakan

  • Kekurangan daya tarikan visual juga merupakan salah satu penyebabnya. Satu cara penyelesaiannya adalah menjadikan makanan lebih menarik dan seronok dimakan.
  • Ini boleh dilakukan dengan memotong makanan kepada pelbagai bentuk (dengan acuan biskut, acuan makanan, pencucuk makanan yang comel) dan susun atur makanan dengan kreatif. Pelbagai idea ada di internet!

Teruskan mencuba!

Kenali pilihan makanan anak anda agar seleranya boleh dipenuhi apabila menyediakan hidangan untuknya. Langkah ini dapat mengurangkan pembaziran makanan dan memaksimumkan percubaan anda untuk memberinya makan. Anda perlu lebih bersabar untuk memperkenalkan makanan baru kepada anak anda kerana dia mungkin memerlukan sehingga 20 percubaan sebelum dapat menerima makanan tersebut. Jangan paksa anak anda memakannya kerana ini boleh mengakibatkannya mula “membenci” anda dan makanan tersebut! Jadilah contoh yang baik dengan menunjukkan betapa sedapnya makanan tersebut semasa anda menawarkannya kepada anak anda.

Tabiat cerewet makan yang berpanjangan boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan anak anda dalam jangka masa panjang kerana dietnya mungkin kekurangan nutrien penting (terutamanya jika dia hanya menerima beberapa jenis makanan tertentu). Justeru, pilihlah diet yang sihat dengan nutrien yang pelbagai. Utamakan diet yang kaya dengan nutrien berbanding dengan yang kaya kalori, contohnya dengan mengurangkan makanan bergula atau berminyak kerana makanan ini tinggi dengan tenaga namun hanya membekalkan nutrien yang terhad. Doktor mungkin menyarankan makanan tambahan yang tinggi dengan kalori dan nutrien untuk menyokong pengambilan makanan anak cerewet makan yang mengalami masalah tumbesaran.

Saiz hidangan anak anda juga perlulah bersesuaian dengan umurnya. Sila rujuk konsep Piramid Makanan Malaysia atau Pinggan Sihat Malaysia (dikenali sebagai Suku-Suku-Separuh) sebagai panduan untuk memberi anak anda makan.

Memberi makanan kepada anak anda memang penting, namun jangan tertekan jika usaha anda kelihatan tidak berhasil. Rehat sebentar dan cuba berinya makan lagi. Pastikan makanan sihat sentiasa tersedia. Libatkan anak anda dalam proses penyediaan makanan dan cuba cara-cara kreatif. Nikmati detik-detik bersama anak anda dan keajaiban mungkin berlaku sekiranya anda terus mencuba!

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen