Anak yang berazam tinggi mahu belajar untuk diri sendiri, bukan sekadar menerima kata-kata orang lain. Ini membuatkan mereka sentiasa cuba menguji had dan peraturan berkali-kali.
Mereka selalunya mempunyai pilihan sendiri tentang apa yang mereka mahu dan bagaimana untuk melakukan sesuatu. Mereka memiliki kecekalan tinggi untuk mencapai sesuatu dan gigih berusaha untuk mendapatkannya. Sifat positif ini diperlukan untuk mengatasi cabaran di masa hadapan apabila mereka dewasa.
Malangnya, ini mungkin dilihat sebagai kedegilan, iaitu tidak mendengar atau mengikut arahan atau melawan perubahan walaupun demi kebaikan mereka. Oleh itu, ibu bapa dan anak mungkin akan mempunyai pendapat yang bercanggah dalam pelbagai hal.
Perebutan kuasa antara ibu bapa dan anak
Akibat jangkaan yang tidak dicapai (anak tidak patuh kepada arahan) dan reaksi/disiplin keras kerana ibu bapa kecewa, perebutan kuasa tak dapat dielakkan. Mudah untuk seseorang hilang sabar apabila berhadapan dengan anak yang tidak mendengar cakap.
Namun, ini boleh menghalang anak belajar, dan lebih teruk, meningkatkan kelakuan negatif dan memberontak jika anda berebut kuasa dengan mereka. Ibu bapa yang terlebih emosional juga mungkin akan melakukan atau mengatakan sesuatu yang akan dikesali. Kita boleh mengekalkan ‘kuasa’ dengan bertenang, jadi sentiasa ingat bahawa anda lebih dewasa.
Separuh daripada perlawanan telah dimenangi jika anda terbuka dengan perspektif dan cara baru untuk menangani anak anda dalam situasi mencabar ini. Separuh lagi adalah dengan memahami keperluan dan dorongan di sebalik kelakuan anak yang berazam tinggi dan bertindak balas sewajarnya kepada mereka (bukan terhadap kelakuan mereka). Kadang-kala anak kelihatan degil kerana perasaan mereka terluka atau pendapat mereka tak didengari.
Jangan patuh secara melulu
Anda mungkin fikir ia perkara yang bagus jika anak anda sentiasa mengikut apa yang anda arahkan tanpa banyak soal, tapi kepatuhan yang melulu juga tidak bagus. Adalah lebih baik jika anda mengajarnya untuk bersikap wajar, bertimbang rasa dan bertolak ansur. Menghancurkan azam anak dengan memaksanya untuk patuh tidak bagus dalam jangka masa panjang kerana dia akan terdedah kepada manipulasi pihak lain yang ingin menganiayanya.
Agar anak yang berazam tinggi mendengar arahan, ambil pendekatan untuk bekerja bersamanya, bukan bekerja melawannya. Ini mengubah cara anda bekerja dengannya. Berhubunglah dengan anak anda dan cuba sedari keperluannya. Dengan memahami isi hatinya, anda boleh melihat daripada perspektifnya, dan ini peluang untuk memperakuinya dan meningkatkan empati. Pada masa sama, biarkan anak anda mengalami akibat ‘dunia sebenar’, kerana akibat yang semulajadi dan logik lebih berkesan sebagai ‘guru’ berbanding leteran dan herdikan.
Kebanyakan orang tidak suka diberi arahan, lebih-lebih lagi anak yang berazam tinggi. Mereka akan lebih keras kepala jika mereka rasa seperti diarah-arahkan. Ini beberapa kaedah kreatif yang boleh dicuba agar anak anda mendengar kata-kata anda:
- Jadikan tugasan atau rutin satu permainan
Bertanding siapa yang paling banyak atau cepat menyiapkan tugasan. Contohnya, “Mari kemas dan lihat siapa boleh kutip mainan paling banyak,” atau “Lampu akan dipadam pukul 9. Kalau awak cepat, kita mungkin boleh baca dua buku cerita.”
- Minta pertolongan
Jadikan anak anda “penolong khas” untuk menyiapkan tugasan. Bagi anak yang lebih tua, bangkitkan semangat suka menolongnya. Ini boleh menggalakkannya jadi lebih prihatin dan bertimbang rasa. - Pendekatan positif
Guna perkataan yang menyokong dan mendorong, bukan yang mengancam. Contohnya, tukar “Kita tak akan keluar hinggalah awak habiskan makanan,” kepada “Sebaik saja awak habiskan makanan, kita boleh keluar.” Cara ini memfokuskan kepada apa yang perlu dibuat untuk mencapai tujuan. - Dapatkan jawapan “ya”
Tanya soalan yang anak anda pasti akan jawab “ya” beberapa kali berturut-turut agar dia tidak melawan. Contohnya, jika dia enggan keluar daripada kolam renang, tanya “Awak suka main air, ya?”, “Lain kali kita akan ajak sepupu awak sekali. Awak mahu?”, “Seronok keluar hari ini, kan? Awak mahu datang lagi minggu depan?” Dia akan rasa lebih difahami apabila anda menumpukan pada persefahaman.
- Berikan pilihan
Daripada memberikan kata dua, terus mulakan tugasan. Contohnya, apabila masa bermain tamat, tanya “Awak mahu kemas mainan awak sendiri atau mahu Ayah tolong awak?” Kemudian, mula mengemas sambil memberi pilihan, seperti “Apa perlu disimpan dulu? Itik atau blok?”, “Kotak mana untuk simpan kereta api? Merah atau hijau?”
Tidak mudah menangani anak berazam tinggi. Mereka amat berpotensi tapi ibu bapa perlu banyak bersabar dan kreatif untuk berjaya menangani mereka. Apabila anda menemui cara berkesan untuk menyalurkan keazaman mereka ke arah yang betul, ini membantu mereka mencapai potensi untuk membesar menjadi individu yang bermotivasi tinggi kelak.
Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.
Komen