Pengasuhan Positif

Pembelajaran Secara Maya: Kerisauan dan Kesan Pada Kanak-Kanak

Pelbagai artikel telah menerangkan bagaimana COVID-19 memberi kesan pada kita sejak dua tahun lalu. Malah, anak-anak kita juga turut tidak terlepas daripada menerima kesannya.

Hampir 2 bilion kanak-kanak seluruh dunia telah terjejas, terutamanya kerana penutupan sekolah akibat pandemik yang masih berterusan ini. Disebabkan itu, terdapat peningkatan mendadak pembelajaran secara maya, yang juga dikenali sebagai pembelajaran dalam talian, jarak jauh, digital atau e-pembelajaran, apabila proses pengajaran dijalankan secara jarak jauh, selalunya dari rumah, luar daripada kelas biasa dan menggunakan perantaraan digital.

Maka, penting untuk kita teliti kerisauan dan kesan yang dikaitkan dengan pembelajaran digital pada jangka panjang ke atas kanak-kanak, agar ibu bapa dan pendidik boleh membantu mereka menghadapi situasi ini, walaupun kini sekolah telah mula dibuka, sama ada secara sepenuhnya, berperingkat atau pembelajaran hibrid fizikal-maya.

Dua sisi pembelajaran secara maya

Jika anda ibu bapa yang bekerja, anda pasti sedar dengan segala cabaran dan kelebihan bekerja dari rumah. Begitu juga dengan pembelajaran secara maya, terdapat masalah serta manfaat yang datang bersamanya yang mungkin telah dialami anak anda sejak dia mula menghadiri kelas dalam talian pada awal 2020.

Menurut Prof Dr Alvin Ng Lai Oon, “Salah satu masalah utama ialah perubahan mendadak daripada kelas fizikal yang biasa kepada pembelajaran digital dan jarak jauh. Kanak-kanak dan guru yang tidak pernah menggunakan Zoom, Google Classroom atau saluran digital lain terpaksa menyesuaikan diri dengan perisian ini semasa kali pertama sekatan dikenakan. Terdapat juga kerisauan tentang kekurangan akses sama rata kerana bukan semua keluarga mampu menyediakan peranti pembelajaran digital yang mencukupi untuk anak-anak mereka dan bukan semua kawasan mempunyai talian internet yang lancar dan stabil untuk memudahkan e-pembelajaran. Ini boleh menyebabkan perbezaan digital antara anak-anak kita.”

Pakar psikologi klinikal ini menyambung, “Pembelajaran secara maya juga boleh meningkatkan masa skrin dan mengurangkan kegiatan fizikal di kalangan kanak-kanak. Ia juga mengurangkan keterlibatan dan perhubungan dengan rakan sebaya dan orang lain selain keluarga. Kekurangan struktur dalam rutin harian anak juga boleh menjejaskan pembelajarannya. Bagi kanak-kanak dengan masalah pembelajaran atau kelainan upaya, ini lebih mencabar bagi mereka, kerana ketiadaan sokongan untuk pembelajaran secara maya dan persekitaran rumah yang mungkin tidak sesuai untuk pembelajaran mereka.”

Namun, bukan semuanya berita buruk. Kata Dr Cindy Chan Su Huay, “Terdapat beberapa aspek positif pembelajaran secara maya seperti jadual yang lebih luwes di rumah berbanding jadual sekolah yang ketat. Pembelajaran secara maya juga menggalakkan pembelajaran mampu diri (self-paced learning) dan pengurusan diri kerana kanak-kanak boleh membuat kerja mengikut kemampuannya dan belajar menguruskan jadual sendiri.”

“Sesetengah pelajar mungkin akan lebih memberi tumpuan melalui pembelajaran secara maya kerana kurang gangguan di rumah, berbanding dengan kelas yang lebih sesak. Tekanan sosial atau rakan sebaya juga berkurangan, terutamanya bagi pelajar yang dibuli atau didiskriminasi di sekolah. Di rumah, kanak-kanak juga boleh belajar kemahiran baru yang mungkin tidak akan dipelajari di sekolah, apabila mereka meneroka saluran pembelajaran digital, menyertai kelas berkaitan IT di luar kurikulum atau mencuba minat baru seperti memasak atau berkebun,” jelas Dr Chan.

Beliau juga menyatakan, “Kanak-kanak juga boleh mendapatkan lebih banyak rehat dan tidur kerana mereka tidak perlu meredah trafik pagi dan selepas sekolah, dan ini juga melegakan ibu bapa! Selain itu, apabila semua orang meluangkan lebih banyak masa bersama di rumah, ini peluang yang baik untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan.”

Pembelajaran secara maya atau fizikal: yang mana lebih baik?

Bagi menjawab soalan ini, kita perlu melihat realiti di negara kita. Sejak anak-anak kita beralih kepada pembelajaran secara maya pada 2020, anda mungkin pernah mendengar berita mengejutkan bagaimana pelajar di kawasan luar bandar terpaksa mengambil langkah ekstrem untuk mendapatkan sambungan internet yang lancar bagi kelas dan peperiksaan.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kadar penggunaan jalur lebar tetap di Malaysia hanya 34.5% pada suku kedua 2020, dengan Kelantan dan Sabah didapati mempunyai kadar terendah, iaitu 12.2% dan 16.1%. Jalur lebar tetap mempunyai kelajuan dan kestabilan yang lebih baik berbanding sambungan 4G melalui telefon pintar. Dan walaupun kanak-kanak tinggal di kawasan dengan internet yang stabil, keluarga mereka mungkin tidak mampu melanggannya atau tiada peranti yang sesuai untuk pembelajaran.

Kata Dr Chan, “Bagi pelajar yang bertuah untuk menjalani pembelajaran secara maya yang stabil dan lancar, ia masih satu cabaran bagi mereka untuk kekal fokus sepanjang kelas, kerana melihat skrin selama berjam-jam boleh meletihkan minda. Interaksi dalam talian juga kurang berkesan bagi ramai pelajar dan guru. Ini lebih sukar bagi kanak-kanak kecil kerana tempoh tumpuan mereka lebih pendek dan mereka memerlukan persekitaran fizikal yang berstruktur. Mereka juga lebih gemarkan aktiviti amali yang aktif.”

Pakar pediatrik perkembangan dan kelakuan itu menyambung, “Selepas dua tahun berhadapan pandemik, kita boleh lihat ramai pelajar dan guru mula mengalami ‘kelesuan e-pembelajaran’. Sesetengah pelajar sudah kurang bersemangat untuk menyertai kelas dalam talian atau menyiapkan tugasan mereka. Ibu bapa pula risau yang anak mereka mungkin ketinggalan dari segi akademik dan sosial.”

Beliau juga mempertimbangkan sisi positif, “Harus diakui, kanak-kanak lebih besar dengan kemahiran pengurusan diri yang baik boleh memanfaatkan keluwesan jadual ketika pembelajaran secara maya. Kajian awal menunjukkan pembelajaran secara maya, dengan alat dan suasana yang sesuai, boleh membantu sesetengah pelajar belajar lebih pantas berbanding dalam persekitaran tradisional kerana mereka boleh belajar mengikut rentak mereka sendiri, mengulang kaji, melompat atau mempercepatkan silibus mengikut kebolehan sendiri.”

Kesan jangka panjang

Kita tidak boleh meramal masa depan, tapi kita perlu mempertimbangkan kesan jangka panjang pembelajaran secara maya yang berterusan agar langkah pencegahan dan pemulihan boleh dibuat dari awal.

Menurut Prof Ng, “Antara kesan yang mungkin dan telah kita lihat adalah akibat sosial-emosional seperti kekurangan minat dan mengasingkan diri. Tanpa hubungan sosial yang berkesan dengan rakan sebaya dan guru dalam kelas, pelajar mungkin bergelut untuk menumpukan pada pelajaran mereka. Selain itu, masa skrin yang meningkat kerana pembelajaran dalam talian juga boleh mengurangkan interaksi satu-sama-satu, lalu mengakibatkan pengasingan sosial.”

“Kekurangan minat dan pengasingan sosial menjejaskan perkembangan kemahiran dan kepintaran sosial-emosional yang diperlukan untuk hubungan interpersonal, kesejahteraan emosional dan menyesuaikan diri ke dalam masyarakat. Terlalu banyak fokus pada silibus, penghafalan, kerja rumah dan gred ujian tanpa sosialisasi boleh menyebabkan kanak-kanak membesar menjadi dewasa yang bermasalah untuk berdikari dan menyesuaikan diri dengan masyarakat,” tambahnya lagi.

Presiden pengasas Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia ini juga berkata, “Masalah kesihatan mental, seperti kemurungan, keresahan dan gangguan penyesuaian juga dibimbangi boleh meningkat ketika tempoh pembelajaran secara maya dan perintah sekatan. Ketidaktentuan, kerisauan pandemik, masalah kewangan, hidup sedentari, semua faktor ini meningkatkan tekanan dan menjejaskan kesejahteraan emosi, lalu boleh menyebabkan masalah kesihatan mental berpanjangan.”

Sambung Prof Ng lagi, “Kajian juga menunjukkan pembelajaran secara maya yang berpanjangan boleh meninggalkan kesan neuropsikologi ke atas otak kanak-kanak kecil yang sedang berkembang. Pembelajaran secara maya memerlukan pelajar untuk bertukar-tukar tugasan digital dan melibatkan pelbagai rangsangan audio-visual yang rumit. Pada jangka panjang, ini boleh memberi kesan kepada jaringan neural dan struktur otak, lalu menjejaskan tumpuan, kecerdasan lisan dan kelajuan pemprosesan. Beban kognitif yang sarat ketika pembelajaran secara maya juga boleh menjejaskan kepuasan belajar, pemahaman, pengutamaan dan pemprosesan maklumat tahap tinggi. Akhirnya, pelajar mungkin gagal memahami apa yang diajar, dan lebih teruk, hilang minat belajar secara formal.”

Datuk Dr Zulkifli Ismail juga menawarkan pandangannya, “Kita juga mungkin akan melihat kejatuhan prestasi akademik. Ramai pelajar ketika pandemik ini yang tidak mampu mengikuti silibus pelajaran dan ketinggalan di belakang rakan-rakan. Kekurangan penilaian dan interaksi langsung ketika pembelajaran secara maya juga menyukarkan guru untuk mengesan kanak-kanak dengan masalah pembelajaran dan memberikan bantuan kepada mereka.”

Pengerusi Pengasuhan Positif ini juga menyebut tentang kesihatan fizikal, “Duduk di rumah telah menggalakkan gaya hidup sedentari di kalangan kanak-kanak dan menjejaskan kesihatan fizikal mereka. Kanak-kanak makin kurang bersenam dan makin banyak mengambil makanan bergula, bergaram atau terproses. Mereka juga tidak mendapat tidur yang baik dan mengalami keletihan mata akibat peningkatan masa skrin. Satu terma baru, “covibesity”, juga telah dicipta kerana terdapat peningkatan berat badan mendadak semasa pandemik.”

Prof Ng menambah, “Malah, gaya hidup sedentari dan kekurangan aktiviti fizikal juga mungkin menyumbang kepada kegagalan neuropsikologi kerana tubuh yang sihat dan cergas akan menyokong kebolehan kognitif dan fungsi eksekutif, yang penting untuk pembelajaran dan perkembangan.”

Peranan ibu bapa

Ketika pembelajaran secara maya di rumah, ibu bapa berperanan penting untuk memudahkan proses tersebut dan membantu anak mereka. Berikut pandangan Pn Anisa Ahmad tentang apa yang boleh anda lakukan:

  • Bina hubungan dengan guru: Berhubunglah dengan guru anak anda agar anda mengetahui semua aktiviti dan tugasan yang anak anda perlu sertai. Perhubungan dua hala dengan guru penting agar kedua-dua pihak boleh saling bantu-membantu demi manfaat anak.
  • Sediakan ruang khas: Siapkan ruang khas yang menyeronokkan untuk pembelajaran secara maya anak anda. Biar mereka menghias sendiri ruang tersebut, serta letakkan mainan atau buku cerita kegemaran mereka. Selepas kelas, benarkan mereka bermain atau melakukan aktiviti amali sendiri di ruang itu.
  • Pantau sesi e-pembelajaran: Jika anak anda masih kecil, anda perlu menemaninya sepanjang sesi tersebut. Jika anak anda sudah besar, anda hanya perlu memantaunya dari masa ke masa dan bertanya jika dia memerlukan bantuan anda.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia ini juga menekankan bahawa “E-pembelajaran untuk kanak-kanak bawah 2 tahun tidak perlu mengambil lebih 10 minit per sesi kerana tempoh tumpuan mereka amat pendek; tujuan sesi tersebut hanyalah untuk membina kepercayaan dan hubungan dengan guru mereka. Bagi kanak-kanak lebih besar di tadika, jangan paksa mereka duduk lebih 20 minit per sesi pembelajaran secara maya kerana tujuan utama hanyalah untuk mereka berhubung dengan rakan mereka dan membina kemahiran sosial-emosional. Lebih penting lagi, hadkan masa skrin selain e-pembelajaran.”

Ms Eveleen Ling juga berkongsi beberapa tips e-pembelajaran:

  • Pastikan mereka tidak ketinggalan: Ketahui tahap kemajuan mereka dan bantu mereka mengikuti guru dan rakan dengan memberi penerangan dan contoh. Ambil tahu perkembangan terkini dengan guru dan catat keputusan penilaian dan perkembangan mereka.
  • Tetapkan rutin harian: Walaupun mereka tidak pergi ke sekolah, jadual boleh membantu mencipta struktur dalam kegiatan harian dan mengisi masa mereka. Tanya pendapat mereka apabila membuat jadual dan jangan jadikannya terlalu ketat.
  • Tetapkan peraturan dan panduan: Bagi kanak-kanak lebih besar, ini mungkin perlu agar mereka berdisiplin dan teratur. Ini juga satu cara untuk memberitahu jangkaan anda kepada mereka.

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia ini menambah satu peringatan kepada ibu bapa, “Jangan terlalu memaksa diri anda! Buat yang terbaik untuk memudahkan e-pembelajaran anak anda sambil memenuhi tanggungjawab anda yang lain. Tapi ingat, anda tidak dilatih sebagai guru dan tidak perlu menggantikan peranan guru sepenuhnya.”

Kembali ke sekolah

Sekolah dan tadika telah beberapa kali dibuka dan ditutup sejak pandemik bermula. Pembukaan semula sekolah bermula Oktober lepas telah dijalankan secara beransur-ansur kerana pihak bertanggungjawab masih mempertimbangkan pembukaan sepenuhnya.

Menurut Pn Anisa, “Adalah perlu kanak-kanak dibenarkan untuk kembali ke sekolah, tadika, taska dan pusat jagaan kerana ibu bapa telah mula kembali ke pejabat. Namun lebih penting lagi, ini memberikan peluang untuk memupuk perkembangan sosial, emosi dan fizikal kanak-kanak. Pembelajaran secara fizikal juga menyediakan ruang dan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran yang kondusif, menawarkan akses ke sumber-sumber lain dan membolehkan kanak-kanak bersenam secara kerap.”

“Jangan risau untuk menghantar anak anda ke TASKA kerana kami mempunyai SOP yang ketat yang diiktiraf oleh UNICEF. Kami berusaha untuk sentiasa menyediakan persekitaran pembelajaran yang paling selamat untuk kanak-kanak. Malah, semua guru dan pengasuh kanak-kanak diwajibkan untuk menerima dos lengkap vaksin,” tambahnya lagi.

Ms Ling menyatakan, “Virus ini akan kekal bersama kita, jadi ibu bapa dan guru perlu terus mematuhi SOP, seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal yang selamat, amalan kebersihan yang baik, mengambil ujian kendiri, mengelak tempat sesak dan mengisi borang pengakuan kesihatan. Pantau kesihatan dan kesejahteraan anak anda, tahap pembelajaran, kehadiran mereka serta corak kes tempatan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan bersedia dengan sebarang perubahan.”

Datuk Dr Zulkifli pula mengingatkan ibu bapa untuk “Dapatkan vaksin COVID-19 untuk anak anda sebaik sahaja mereka layak menerimanya. Jangan terlepas vaksin rutin serta vaksin lain yang disarankan!”

Ini pula kata-kata penutup Prof Ng: “Jaga kesihatan mental anak anda juga! Awasi sebarang tanda kebimbangan atau keresahan dan sediakan sokongan emosi secukupnya kepada anak yang terkesan.”

Pendekatan pendidikan yang berubah mendadak tanpa dirancang daripada pembelajaran secara fizikal kepada maya, serta ketidaktentuan akibat pandemik merupakan faktor utama yang mencetuskan kebimbangan melibatkan pembelajaran secara maya. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar akan peranan penting mereka dalam membantu anak mereka menyesuaikan diri dengan situasi baru ini. Tidak dinafikan bahawa pembelajaran secara maya mempunyai potensi bagi pendidikan di masa depan, namun penting untuk kita perhalusi pendekatannya agar ia dapat memenuhi keperluan anak-anak kita.

Reference:

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen