Pengasuhan Positif

Kehamilan & NCD

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes kematian ibu di peringkat global berkurangan sebanyak 44% sejak 1990 hingga 2015. Kebanyakan penambahbaikan difokuskan kepada penyebab paling umum dan langsung bagi kematian ibu, termasuk komplikasi obstetrik seperti keguguran atau kelahiran yang sukar (distosia). Bagaimanapun, penyebab tidak langsung seperti penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases, NCD) dan faktor risiko berkaitan kurang diberi perhatian. Walhal, hampir 15% kematian ibu disebabkan oleh keadaan kesihatan yang sudah dialami sebelum mengandung termasuklah NCD, menurut analisis WHO pada 2014.

NCD yang juga dirujuk sebagai penyakit kronik, mengambil masa yang lama untuk berkembang dan disebabkan oleh kombinasi faktor genetik, fisiologi, persekitaran dan perlakuan. NCD seperti diabetes, anemia, dan penyakit jantung boleh memberi kesan serius dan membawa maut dalam kehamilan. Faktor risiko metabolik bagi NCD seperti obesiti, glukosa darah tinggi, dan hipertensi juga boleh menyebabkan komplikasi terhadap kedua-dua ibu dan bayi. Wanita mengandung dengan NCD harus menguruskan keadaannya dengan sebaiknya bagi memastikan kelahiran yang selamat.

Komplikasi dari NCD

Kebimbangan lain

Penyakit NCD lain juga boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi berkaitan semasa kehamilan. Penyakit jantung adalah penyebab utama kematian ibu semasa hamil di banyak negara maju. Wanita yang sudah ada penyakit jantung terdedah kepada komplikasi obstetrik dan jantung jika mereka hamil, dan mungkin dinasihatkan supaya tidak mengandung. Sementara itu, tekanan darah tinggi semasa kehamilan membawa pelbagai risiko seperti aliran darah berkurangan ke uri, uri tercabut, kebantutan tumbesaran dalam rahim, dan kemungkinan penyakit kardiovaskular bagi ibu. Anemia ringan biasa berlaku semasa hamil, tetapi jika ia serius atau tidak dirawat, komplikasi seperti kelahiran pra-matang, bayi terlalu ringan, kemurungan selepas bersalin, dan bayi yang menghidapi anemia boleh berlaku.

Awasi kehamilan anda

Kehamilan dengan NCD jelas menjadi satu risiko kesihatan terhadap ibu dan bayi mereka. Pengurusan NCD yang baik serta langkah pencegahan adalah penting semasa kehamilan. Wanita dengan NCD perlu melalui kaunseling pra-kehamilan dengan pakar obstetrik apabila merancang untuk hamil bagi memahami risiko-risikonya. Jika mereka mahu hamil, penjagaan sebelum, semasa dan selepas bersalin yang betul dan tepat pada masanya sangat penting bagi mengawasi status kesihatan mereka. Tambahan, pemeriksaan NCD yang menyeluruh bagi wanita mengandung harus disyorkan kerana masih ramai yang tidak tahu mereka menghidap NCD. Ini wajar bagi pengesanan awal dan pengurusan NCD.

Ubat-ubatan mungkin diberikan kepada wanita mengandung yang menghidap NCD. Contohnya, anemia biasanya disebabkan oleh kekurangan zat besi, folat, atau vitamin B12 dalam darah, dan boleh dirawat dengan mengambil suplemen atau makanan yang kaya dengan mikronutrien ini. Selain itu, rawatan terapi insulin atau agen anti-diabetik oral penting bagi wanita mengandung yang menghidap diabetes. Wanita yang sudah menghidap NCD mungkin dinasihatkan doktor untuk menukar ubat mereka semasa hamil kerana sesetengah ubat mungkin berbahaya kepada bayi. Kenaikan berat badan semasa hamil juga harus diawasi mengikut panduan, terutamanya oleh ibu yang obes atau kurang berat badan.

Sudah pastinya pengurusan NCD yang ideal ialah pencegahan; tidak terlalu lewat untuk mula mengamalkan pemakanan sihat bersama gaya hidup fizikal yang aktif. Bagaimanapun, terdapat perubahan trend dalam morbiditi dan kematian ibu kerana lebih ramai wanita yang berada pada umur reproduktif menghidap NCD. Pendekatan dalam penjagaan kesihatan ibu harus diteliti semula bagi menyelesaikan masalah ini.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen