Pengasuhan Positif

Pembekuan Embrio

Pada 2017, seorang bayi perempuan di Amerika Syarikat dilahirkan hasil daripada pemindahan beku-nyahbeku embrio yang dibekukan lebih 25 tahun. Kelahiran ini sememangnya satu peristiwa penting kerana ia menandakan buat pertama kalinya dalam sejarah yang kehamilan berjaya terhasil selepas pemindahan embrio yang dibekukan sebegitu lama.

Sejak bayi pertama daripada embrio beku dilahirkan pada 1984, krioawetan (cryopreservation) embrio menjadi sebahagian daripada prosedur rutin dalam pembiakan bantuan manusia, di mana embrio diawet dengan membekukannya pada suhu bawah sifar semasa peringkat pra-penempelan.

Bagaimana proses IVF berlaku?

Mengapa embrio dibekukan?

Terdapat pelbagai keadaan di mana embrio dibekukan. Kadangkala, pada akhir kitaran IVF, pemindahan embrio tidak sesuai kerana lapisan rahim (endometrium) terjejas oleh tahap hormon yang tinggi akibat rangsangan ovari. Dalam keadaan seperti ini, embrio harus dibekukan dahulu dan hanya dipindahkan kemudian apabila keadaan rahim pesakit sudah stabil dan sesuai untuk kehamilan. Satu lagi situasi biasa yang memerlukan embrio dibekukan adalah apabila terdapat embrio yang lebih pada akhir kitaran segar. Memandangkan hanya satu (atau maksimum dua) embrio dipindahkan pada satu-satu masa, embrio yang lebih akan dibekukan untuk kegunaan masa depan jika pemindahan pertama tidak berjaya.

Selain itu, embrio juga boleh diuji untuk mengesan keabnormalan genetik sebelum dipindahkan ke rahim. Ini dipanggil ujian genetik pra-kehamilan (PGT). PGT melibatkan beberapa sel daripada embrio (biasanya embrio berusia 5 atau 6 hari yang dipanggil blastosis) dan beberapa ujian genetik khas akan dijalankan ke atas sel-sel ini. Memandangkan ada sela masa antara ujian dan keputusannya, embrio-embrio ini mungkin perlu dibekukan sementara menunggu keputusan.

Membekukan telur

Wanita juga boleh memilih untuk membekukan telur mereka yang belum disenyawakan, selain embrio. Krioawetan oosit (telur) memberikan wanita autonomi reproduktif kerana pasangan lelaki tidak diperlukan, tidak seperti pembekuan embrio. Ia sesuai untuk wanita yang ingin menangguhkan kehamilan atas sebab peribadi seperti kerjaya, atau untuk pesakit muda yang akan melalui rawatan (seperti kemoterapi atau radioterapi) yang boleh menjejaskan kesuburan mereka. Membekukan telur juga pilihan lebih mudah untuk mengelakkan komplikasi etika dan undang-undang pada masa depan.

Kaedah krioawetan

Risiko utama krioawetan adalah pembentukan kristal ais di dalam dan luar sel serta dehidrasi sel yang boleh merosakkan sel. Dua kaedah krioawetan telah dicipta untuk menyelesaikan masalah ini iaitu pembekuan perlahan terprogram dan vitrifikasi. Kedua-dua kaedah ini melibatkan penambahan bahan perlindungan krio untuk melindungi sel daripada kesan pembekuan. Hari ini, vitrifikasi adalah kaedah yang menjadi pilihan pusat-pusat kesuburan untuk krioawetan kerana ia lebih cepat, cekap dan menjimatkan. Lebih penting, dengan vitrifikasi, risiko kerosakan embrio dikurangkan dan peluang hidup selepas penyahbekuan lebih tinggi. Kemajuan kaedah vitrifikasi menjadikan kadar kehamilan bagi kitaran beku-nyahbeku lebih baik berbanding kitaran pemindahan segar, dan mendorong peralihan ke arah pemindahan blastosis.

Soalan yang sering ditanya

Q: Berapa lamakah embrio beku boleh disimpan?

A: Tempoh paling lama embrio dibekukan sebelum kelahiran adalah 25 tahun. Secara teori, ia boleh bertahan lebih lama, jika disimpan dengan elok. Bagaimanapun, dari perspektif undang-undang, kita hanya boleh menyimpan embrio beku selama 5 tahun di Malaysia dan tambahan 5 tahun dengan kelulusan Kementerian Kesihatan.

Q: Berbezakah hasil antara pemindahan embrio segar dan beku?

A: Pada awalnya, pemindahan segar mencatat kadar kehamilan yang lebih tinggi secara konsisten berbanding kitaran beku-nyahbeku. Bagaimanapun, sejak vitrifikasi diperkenalkan, kitaran beku-nyahbeku menunjukkan kadar kehamilan lebih tinggi berbanding kitaran segar. Dengan mengelakkan pemindahan kitaran segar, persekitaran hormon dalam rahim boleh kembali normal sebelum pemindahan embrio. Tambahan pula, pemindahan yang ditangguh membolehkan pemilihan bagi pemindahan embrio yang terbaik, berbeza dengan memilih mana-mana embrio yang ada sebagaimana yang selalu dilakukan dalam kitaran segar.

Q: Apakah anggaran kos bagi pembekuan embrio?

A: Kosnya mungkin berbeza mengikut tempat bergantung kepada kemudahan dan kepakaran yang ada. Kos anggaran bagi pakej kitaran segar tidak termasuk pemindahan embrio antara RM16,000 sehingga RM18,000. Pakej pemindahan embrio beku mempunyai kos tambahan sebanyak RM3,500 hingga RM5,000, sementara yuran penyimpanan embrio tahunan antara RM1,000 hingga RM2,000.

Pasangan yang merancang mendapatkan rawatan kesuburan boleh mempertimbangkan pembekuan embrio sebagai sebahagian dari perancangan. Isteri tidak perlu berkali-kali melalui kitaran IVF yang menyakitkan dan mahal jika pemindahan pertama tidak berjaya. Pasangan yang mendapatkan rawatan perlu bersiap sedia secara kewangan dan mental, kerana mereka mungkin memerlukan beberapa cubaan sebelum berjaya hamil. Seperti yang kerap dikatakan, rawatan kesuburan sangat mencabar dari segi emosi, kewangan dan logistik!

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen