Pengasuhan Positif

Kisah Seorang Pesakit Meningokokus

Meningitis meningokokus ialah jangkitan serius pada meninges (lapisan nipis menyelaputi otak dan saraf tunjang). Ia meningitis yang disebabkan oleh bakteria Neisseria meningitidis. Ia boleh menyebabkan kerosakan otak dan kematian jika rawatan sewajarnya tidak diberikan. Simptom biasa adalah sakit kepala, kekeliruan, demam panas, peka terhadap cahaya, kekejangan tengkuk, dan muntah-muntah. Statistik menunjukkan 5-10% pesakit meningokokal meninggal dunia dalam masa 24-48 jam selepas simptom bermula, sementara 10-20% pesakit yang berjaya hidup mengalami kerosakan otak, kehilangan pendengaran, atau kehilangan anggota badan. Emma menceritakan kisah bayi perempuannya dan perjuangan mereka menghadapi meningitis meningokokus.

Kisah Hana

Hana, 14 bulan, sentiasa ceria dan bertenaga meneroka persekitarannya. “Saya baru sahaja melalui pembedahan tumor otak beberapa bulan sebelum itu, jadi saya fikir tiada lagi yang lebih buruk boleh berlaku. Hana adalah pembakar semangat saya dalam menghadapi ketakutan,” kata Emma, ibu Hana. Pada suatu malam, Hana sering terjaga akibat demam dan hidung yang berair. Pada mulanya, Emma fikir ia disebabkan gigi anaknya yang sedang tumbuh, jadi dia periksa suhu Hana dan berikannya ubat. Hana kelihatan lebih baik keesokan harinya dan makan sarapan seperti biasa.

Namun, pada tengahari, suhunya meningkat. Hana kelihatan sangat kelesuan dan kerap muntah. Emma dan suami terus membawa Hana ke hospital. Doktor membuat pemeriksaan awal, dan mengambil darah Hana untuk diuji. Hana muntah-muntah setiap kali diberikan minuman dan terpaksa diberikan cecair IV. Keputusan ujian darah menunjukkan petanda jangkitan, tetapi mereka masih tidak pasti akan keadaannya. “Kami bertanya semua orang, apa yang tidak kena dengan bayi kami, tetapi tiada siapa pun dapat memberikan jawapan jelas,” kata Emma.

Selepas beberapa jam, keadaan Hana semakin teruk. “Saya cuba mendudukkannya untuk memberinya makan kerana sudah lama dia tidak makan, tetapi dia menangis dengan nyaring. Dia tidak pernah menangis sebegitu. Dia sangat lemah dan tidak boleh mengangkat lehernya. Saya juga perasan ada tompok ungu di kulitnya,” terang Emma. Hana dibawa ke unit rawatan rapi dengan segera. Lebih banyak ujian dijalankan, termasuklah punktur lumbar. Pelbagai tiub dan wayar disambungkan ke badan Hana. “Saya patah hati melihat Hana dalam keadaan sebegitu, tanpa mampu melakukan apa-apa untuk membantunya. Mereka akhirnya mengesahkan dia menghidap meningitis meningokokus,” kata Emma.

Hana diberikan pelbagai dos antibiotik dan ubatan lain, tetapi keadaannya masih tidak bertambah baik selepas beberapa hari. Lengannya mula bertukar menjadi gelap, dan pada hari ketujuh di hospital, doktor memberitahu Emma untuk bersedia dengan segala kemungkinan. Mereka memaklumkan yang jika Hana berjaya hidup sekalipun, dia mungkin akan kehilangan anggota badan. “Hati saya hancur mendengarnya. Saya fikir tentang semua perkara yang saya belum lakukan bersama Hana.” Selepas beberapa pembedahan, lengan kiri Hana di bawah siku dan semua jarinya di sebelah kanan terpaksa dipotong. Hana akhirnya dibenarkan keluar hospital selepas dua bulan. Hana bertuah kerana sembuh daripada jangkitan itu tetapi kesan yang ditinggalkan amat serius. Selain daripada tangannya yang kurang upaya, Hana mungkin mengalami kesukaran dalam pembelajaran pada masa depan. “Kalaulah saya boleh lakukan sesuatu sebelum ini untuk mencegahnya. Hana berjaya hidup dan itu yang paling penting buat kami sekarang,” kata Emma.

Menurut Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, meningitis meningokokus adalah penyakit berbahaya dan mungkin sukar untuk didiagnos kerana simptom awal seperti demam, muntah, tidak selesa, dan kelesuan adalah tidak spesifik. “Cara terbaik mencegahnya adalah dengan memberikan vaksin meningokokal kepada anak anda,” jelas Dr Musa. Dianggarkan sehingga 10% penduduk adalah pembawa N. meningitidis di tekak mereka pada satu-satu masa. Pembawa mungkin tidak dijangkiti tetapi mereka boleh menyebarkan bakteria ini kepada orang lain, terutamanya ketika bersentuhan rapat dan perhimpunan besar, seperti semasa menunaikan Haji dan Umrah. Bayi dan anak kecil, yang mempunyai sistem imun yang lebih lemah, lebih terdedah dengan jangkitan. Mereka yang sering melancong, terutamanya di kawasan cenderung meningitis di sub-Sahara Afrika, dan pelajar yang tinggal di bilik asrama juga berisiko tinggi untuk dijangkiti.

“Selain anak, ahli keluarga juga dicadangkan mendapatkan vaksin ini, bukan hanya untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan, tetapi juga untuk melindungi anak dengan imuniti kelompok,” tambah Dr Musa. Imuniti kelompok boleh memberikan perlindungan untuk individu yang masih belum ada imuniti terhadap sesuatu jangkitan. Jika dijangkiti, meningitis meningokokus boleh membawa maut atau menyebabkan komplikasi serius seperti yang berlaku kepada Hana. Walaupun vaksin ini bukan sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia yang diwajibkan, anda digalakkan mengambil vaksin ini di hospital awam atau swasta. Tanya doktor anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkara ini dan untuk mencegah anda dan keluarga daripada penyakit yang menderitakan ini.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysian.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen