Buli merupakan masalah berterusan dalam masyarakat yang menjejaskan individu yang dianggap berbeza. Bagi Datin Nora Abu Hassan, walaupun perjalanannya dengan klef bibir dan lelangit (cleft lip and palate, CLP) membuatkannya terdedah kepada buli, ia juga mendorongnya untuk menjadi sumber harapan dan kecekalan bagi orang lain. Hari ini, beliau ialah seorang penceramah motivasi, penulis buku, dan penggiat masyarakat yang gigih memberi kesedaran tentang CLP dan menyokong penerimaan diri dan antibuli.
Hidup Nora merupakan bukti kegigihan. Dilahirkan dengan klef bibir dan lelangit unilateral lengkap, beliau melalui lapan ke 10 pembedahan daripada umur semuda tiga bulan hingga 30-an. Pembedahan ini ialah sebahagian daripada proses transformasi yang terdiri daripada dua peringkat: pemulihan dan penjagaan.

Nora dan bapanya
“Zaman kanak-kanak saya tidak mudah,” kongsi Nora kepada Pengasuhan Positif. “Orang mungkin tidak sedar bahawa terdapat pelbagai variasi klef bibir dan lelangit.” Beliau menjelaskan empat variasi utama: klef bibir, klef lelangit, klef bibir dan lelangit unilateral (satu bukaan dari bibir ke lelangit), dan klef bibir dan lelangit bilateral (bukaan di kedua-dua belah bibir ke lelangit).
Membesar dengan CLP, Nora berhadapan dengan banyak cabaran, termasuklah kesukaran makan, pertuturan, dan jangkitan telinga. Namun, cabaran sosial mungkin yang paling menyukarkan. “Pergi ke sekolah dan kelihatan berbeza daripada orang lain tak mudah bagi saya,” kenang beliau. “Sentiasa ada budak-budak yang membuli, memanggil gelaran buruk, mengejek… ‘Oh senget, sengau, sumbing’. Zaman kanak-kanak saya memang sukar.”
Pembulian ini berterusan sepanjang zaman kanak-kanaknya. Nora mengingat semula: “Keperitan akibat buli dan ejekan bermula sebaik saja saya masuk Darjah 1 hinggalah umur 17 tahun. Hanya setelah saya menjalani pembedahan rinoplasti pertama barulah ejekan berhenti.”
Laluan pemulihan
Perjalanan Nora ke arah penerimaan diri bermula sedikit demi sedikit. Ibu kepada tiga anak ini menjelaskan transformasinya berlaku dalam tiga fasa. Fasa pertama, sebelum pembedahan rekonstruktifnya, dilalui dengan rasa rendah diri dan marah. Semasa fasa kedua, walaupun beliau telah menjalani beberapa pembedahan, beliau masih bergelut dengan pergolakan emosi dalaman. Hanya semasa fasa ketiga, sekitar tahun 2000, barulah Nora memulakan perjalanan pemulihannya. Menulis bukunya, Born to Smile, merupakan sebahagian daripada fasa ini.

Penulis dan bukunya, Born to Smile
“Saya menulis buku tersebut untuk berkongsi pengalaman saya,” jelas Nora. Dilancarkan pada Oktober 2019, sejurus sebelum pandemik, buku tersebut amat membantu dalam meningkatkan kesedaran tentang CLP dan menyediakan platform bagi orang lain untuk berkongsi kisah mereka di Malaysia. “Kerana perjalanan saya sendiri, saya mahu mendorong dan mengilhamkan orang dewasa dengan CLP serta ibu kepada kanak-kanak CLP. Apabila mereka membaca buku tersebut, saya harap mereka sedar apabila mereka menerima perbezaan diri, mereka boleh menjadi apa saja yang mereka mahu dan mencapai impian mereka,” katanya.
“Sebelum buku itu diterbitkan, saya tak pernah bercakap dengan sesiapa tentang pengalaman saya. Saya hanya bercakap dengan ibu saya semasa masih kecil, pada umur tujuh atau lapan tahun, apabila saya tak tahan dibuli; saya enggan ke sekolah. Ibu saya akan pergi bercakap dengan cikgu atau guru besar,” jelas Nora, yang mengaku bahawa selain itu, beliau tak pernah berbincang dari hati ke hati dengan ibu bapanya tentang apa yang dilaluinya.
“Dari segi emosi, saya rasa saya bersendirian. Bapa saya seorang yang sibuk dan saya anak sulung. Saya menghormati ibu dan bapa saya, namun pengasuhan pada waktu itu amat berbeza daripada sekarang. Kini, saya akan nasihatkan ibu bapa agar cuba jadi lebih baik. Apabila anda melihat anak anda sedih atau kecewa, anda perlu bercakap dengan mereka – dan bukan saja dengan anak yang mempunyai masalah klef, malah apa saja masalah sama ada berbeza warna kulit atau bentuk tubuh – terdapat bermacam jenis pembuli di luar sana. Buli amat berleluasa. Sebagai ibu bapa, kita perlu lebih peka dan sedar dengan apa yang dihadapi oleh anak-anak kita di sekolah.”
Trauma akibat buli yang berterusan dan kesakitan yang dialami, Nora tiada pilihan selain untuk mengawal mindanya dan membayangkan dirinya berada di tempat yang lebih baik, sebagai seseorang yang lebih gembira. “Apabila saya rasa disakiti dan marah, saya akan bayangkan fikiran positif untuk ‘membawa’ saya ke tempat yang gembira agar saya tidak rasa teruk,” katanya. “Kemudian, apabila saya telah dewasa dan memulakan perjalanan pemulihan, baru saya sedar yang saya tanpa sengaja telah menggunakan kuasa minda bawah sedar… Saya telah pun mengamalkan teknik pemulihan diri sebelum saya tahu apa-apa mengenainya!”
Mesej harapan
Semasa pandemik, Nora menyesuaikan diri dengan norma baharu dan membawa kempennya ke dalam talian. “Saya lihat orang mula mengadakan program, temubual, dan rancangan dalam talian untuk mencapai masyarakat awam. Jadi, saya putuskan untuk memulakan rancangan saya sendiri, Smile With Nora, di Facebook Live,” katanya. Rancangan setiap dua minggu ini menampilkan tetamu daripada komuniti klef, termasuklah ibu, kanak-kanak, pakar bedah plastik, pakar ENT, dan pakar terapi pertuturan. Anda boleh menonton rancangan Nora dengan mengikuti beliau di Facebook (https://www.facebook.com/nora.hassan.9250).
Beliau juga terlibat dengan Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC) sebagai rakan kongsi dalam projek CSR mereka ‘Gift of Smile’, yang bertujuan untuk membantu kanak-kanak CLP yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dengan menaja rawatan mereka (pertuturan, penjagaan gigi, ortodontik, graf tulang, dan pembedahan pemulihan).

Semasa sambutan Hari Senyuman Sedunia

Di Rumah Ronald McDonald
Nora menekankan kepentingan untuk meningkatkan kesedaran tentang CLP dan menyediakan sokongan kepada keluarga yang terkesan. “Jika anak anda dilahirkan dengan klef, ia okay. Pergi jalani pembedahan pemulihan, dan jika anda tidak okay tentangnya, itu juga okay! Seseorang perlu ambil masa untuk menerima keadaan sendiri atau keadaan orang tersayang.”
Kisah Nora bukan saja tentang hidup dengan perbezaan wajah; ia juga tentang menghadapi kesukaran dan menemui kekuatan daripada kelemahan. Beliau menggesa ibu bapa dan masyarakat untuk jadi lebih memahami dan menyokong.
“Saya amat bersyukur kerana ibu bapa saya sentiasa di samping saya, dan membawa saya menjalani pembedahan sejak awal; ibu saya menemani saya melalui semua pembedahan, setiap satu daripadanya. Ia tugas yang besar bagi ibu bapa untuk mendapatkan bantuan, jadi sebagai masyarakat kita perlu cuba memahami mereka. Jaga kata-kata anda kerana seseorang boleh jatuh merudum jika anda tidak berhati-hati apabila berbicara dengan mereka.”
Melalui kerjanya, Nora akan terus mendorong dan memperkasakan orang lain, serta membuktikan bahawa daya tahan dan pemikiran positif boleh mengubah kehidupan. Perjalanan beliau merupakan petanda jelas bahawa penerimaan dan kasih sayang daripada keluarga sendiri serta masyarakat awam adalah kunci bagi mengatasi cabaran akibat perbezaan.
Imbas kod QR berikut bagi membeli e-buku Born to Smile:


