Kanak-kanak yang montel dan tembam mungkin kelihatan comel, dan dalam masyarakat Asia, dianggap ‘bertuah’ atau ‘cukup makan’. Namun, kanak-kanak montel tidak harus dianggap normal demi kesihatannya. Sukar untuk kita tentukan jika seorang kanak-kanak itu berlebihan berat badan atau tidak kerana mereka membesar pada kadar berbeza. Indeks Jisim Tubuh (IJT) seseorang boleh dikira dengan mengukur berat badan relatif kepada ketinggian untuk menentukan sekiranya seseorang kurang berat badan, normal, berlebihan berat badan atau obes.
Bagi kanak-kanak, IJT-bagi-umur ditentukan menggunakan carta IJT khusus bagi umur dan jantina untuk penilaian lebih tepat, dan membandingkan IJT mereka dengan populasi umum kanak-kanak. Jika anak anda berlebihan berat badan, ambil langkah yang diperlukan untuk mengatasi masalah ini.
Berlebihan berat badan dan obesiti boleh kembali normal, maka bertindaklah sekarang!
Apa harus saya lakukan?
Pupuk gaya hidup sihat dalam diri anak anda dan perbaiki tabiat makan bersama-sama keluarga!
Jadi teladan yang baik. Sebagai ibubapa, amalan baik bermula dengan anda! Kanak-kanak memerhati dan belajar daripada orang di sekeliling mereka. Anda harus peka tentang apa yang anda makan dan lakukan, dan bagaimana ia mempengaruhi anak anda. Anda menentukan apa yang dibeli dan dimakan di dalam rumah dan pilihan anda membawa kesan ke atas anak anda.
Libatkan seluruh keluarga. Anak anda lebih cenderung untuk menerima perubahan yang beransur-ansur dan melibatkan seluruh keluarga. Makan hidangan sihat bersama-sama dan jangan sediakan hidangan ‘khas’ untuk anak anda yang berlebihan berat badan – dia mungkin rasa tersisih. Jangan guna TV dan peranti agar semua orang dapat makan dengan perlahan, fokus, dan pada waktu yang tetap.
Makan diet Seimbang, Sederhana, dan Pelbagai berdasarkan Piramid Makanan Malaysia. Diet sihat mempunyai makanan daripada setiap kumpulan makanan, dihidangkan dalam sukatan sederhana, dan terdiri daripada pelbagai jenis, untuk membekalkan kesemua nutrien yang diperlukan.
Guna konsep Pinggan Sihat Malaysia iaitu ½ pinggan sayur dan buah, ¼ pinggan produk bijirin, sebaik-baiknya bijirin penuh, dan ¼ pinggan ikan, daging atau ayam. Beri dia sukatan bersesuaian dalam pinggan kecil. Juga berikan dua gelas susu setiap hari. Masih lapar? Beri dia minum air kosong (baik untuk hidrasi) dan habiskan sayur dan buahnya (untuk memenuhi 5 sajian setiap hari), bukannya menambah nasi/mi, untuk elak makan berlebihan. Elakkan membeli dan memberi anak anda minuman manis.
Bincangkan amalan sihat. Nasihatkan anak anda kepentingan kesihatan, dan bagaimana amalan sihat seperti mengambil sayur, bersenam, dan tidur awal boleh menjadikannya kuat dan menjauhkan penyakit. Guna perkataaan mudah yang boleh dia fahami.
Lebih kerap memasak di rumah. Dengan ini, hidangan anak anda akan mengandungi ramuan segar dan sihat yang dimasak dengan cara lebih sihat seperti mengukus. Pengambilan makanan segera dan snek kurang berkhasiat seperti keropok atau makanan bergoreng boleh dikurangkan.
Makan di luar dengan sihat. Apabila keluar berjalan-jalan, bawa bekalan snek sihat seperti buah segar. Makan di restoran yang lebih sihat, bukan di restoran makanan segera. Anak anda akan belajar bahawa makan di luar juga harus sihat seperti makan di rumah.
Snek sihat mudah didapati. Letakkan buah dan sayur yang mudah dimakan seperti epal, pisang, tomato ceri atau lobak kecil di tempat yang mudah dilihat dan dicapai. Sembunyikan makanan dan minuman berkalori tinggi!
Jangan guna makanan sebagai ganjaran/hukuman. Jangan beri manisan kerana dia mengemas bilik, atau melarang dia makan malam kerana berkelakuan buruk. Ini boleh mewujudkan hubungan tidak sihat dengan makanan.
Jangan tinggalkan sarapan. Sarapan sihat membekalkan tenaga yang cukup untuk memulakan hari setelah ‘berpuasa’ (waktu tidur) 9-11 jam sejak makan malam. Tidak bersarapan juga boleh menyebabkan seseorang makan berlebihan kemudiannya.
Tabiat tidur yang baik. Kajian menunjukkan terdapatnya hubungan antara kurang tidur dan berat badan berlebihan. Kurang tidur menjejaskan mood dan tingkah laku anak anda, tetapi tidur berlebihan juga tidak baik. Ketahui jumlah masa tidur yang mencukupi bagi umur anak anda. Baca lebih lanjut tentang ‘Kebersihan Tidur’ di muka surat 16.
Bergerak cergas!
Anak anda memerlukan sekurang-kurangnya 40-60 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana dan tinggi setiap hari dengan melakukan beberapa sesi pendek berjumlah satu jam. Kanak-kanak kecil boleh bermain bola atau kejar-kejar, manakala yang lebih besar boleh berbasikal atau main badminton. Aktiviti luar juga merupakan masa yang sesuai untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Artikel kami ‘Setiap Pergerakan Penting’ di muka surat 39 berbicara lebih lanjut tentang tip gaya hidup aktif. Hadkan juga masa menonton anak anda dan aktiviti sedentari. Jangan biarkan mereka meluangkan lebih dari dua jam di hadapan TV, permainan video, komputer, atau telefon pintar, yang membuatkan mereka duduk dan berbaring terlalu banyak.
Jika usaha anda untuk mengikuti tip ini tidak berkesan, dapatkan nasihat pakar perunding pediatrik anak anda bagi mendapatkan pilihan lain. Beliau mungkin menyarankan plan diet dan senaman, atau merujuk anda kepada seorang pakar diet atau program pengurusan berat badan yang sesuai untuk anak anda.
Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.
Komen