Dalam menelusuri alam pendidikan, ibu bapa merupakan jurupandu terawal yang menetapkan asas sejak kelahiran anak-anak, ditambah dengan peranan lebih luas apabila anak-anak memulakan pendidikan formal.
Penglibatan ibu bapa secara aktif dalam pembelajaran dan pendidikan anak-anak adalah asas bagi perkembangan holistik mereka. Kajian menggariskan betapa pentingnya penglibatan secara langsung dalam membentuk kejayaan akademik dan kesejahteraan kanak-kanak.
“Apabila ibu bapa terlibat secara aktif dalam pembelajaran anak mereka, ini boleh memupuk rasa selamat dan yakin dalam diri anak,” kata Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif. “Kanak-kanak dengan ibu bapa yang terlibat secara langsung dalam pendidikan mereka cenderung untuk menunjukkan prestasi akademik yang lebih cemerlang, memiliki kemahiran sosial yang lebih baik, dan mempamerkan tahap motivasi yang lebih tinggi. Kanak-kanak ini juga lebih cenderung untuk mengembangkan minat belajar sepanjang hayat.”
Penglibatan secara langsung bukan sekadar membantu kerja sekolah; ia juga bermaksud memupuk persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah, berinteraksi melalui perbualan, dan menyertai aktiviti pendidikan. Kesan positif yang dilihat tidak hanya terhad kepada pencapaian akademik, malah mencakupi ketahanan emosi dan psikologi.
“Dalam meneroka landskap pendidikan yang kompleks, ibu bapa yang terlibat secara aktif memberikan sokongan penting kepada anak-anak. Ia dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, kebolehan menyelesaikan masalah, dan kemahiran berfikir secara kritis. Hubungan yang terjalin melalui penglibatan secara langsung akan menjadi asas kukuh bagi kejayaan kanak-kanak pada masa depan,” kata Dr Zulkifli.
Beliau menambah bahawa ibu bapa juga boleh mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum, seperti menghadiri acara sekolah, menjadi sukarelawan untuk lawatan sekolah, atau melibatkan diri dalam persatuan ibu bapa dan guru, dan ini membantu menjalin hubungan yang lebih erat antara ibu bapa, kanak-kanak dan komuniti sekolah. Penglibatan ibu bapa melangkaui pembelajaran dalam bilik darjah dan boleh memperkaya pengalaman pendidikan secara menyeluruh.
Melibatkan diri secara langsung dengan pembelajaran kanak-kanak juga bukan sekadar menyampaikan pengetahuan; anda juga perlu menunjukkan minat terhadap kehidupan anak anda, serta menanam semangat untuk belajar dan memupuk individu serba boleh yang bersedia untuk menghadapi cabaran hidup. Dr Zulkifli berkata: “Penglibatan ibu bapa adalah kunci yang membuka potensi penuh kanak-kanak, lalu membimbing mereka ke arah masa depan yang lebih cerah dan berjaya.”
Perkembangan holistik bermula sejak lahir
Ibu bapa berperanan aktif dalam pembelajaran anak mereka sejak bayi lagi. Pakar perunding perkembangan pediatrik Dr Cindy Chan berkata bayi mula belajar sejak mereka dilahirkan. Dengan menggunakan deria mereka, termasuk deria sentuhan, pendengaran, bau dan penglihatan, bayi sentiasa belajar melalui interaksi dengan orang di sekeliling dan persekitaran mereka. Dengan memberi rangsangan positif kepada deria bayi, ibu bapa boleh menggalakkan perkembangan kognitif dari usia yang sangat awal.
“Ikatan dan hubungan yang awal antara ibu bapa dan anak adalah penting untuk kesihatan mental dan perkembangan holistik bayi,” jelas Dr Chan. “Dengan memberi perhatian dan respon terhadap keperluan bayi anda, bayi anda akan belajar memahami dan bertindak balas terhadap emosi dan isyarat sosial orang lain. Apabila hubungan emosi dan sosial ini kukuh, ia memberikan bayi anda permulaan yang terbaik dalam dunia mereka.”
Beliau juga menekankan bagaimana ikatan sosial dan emosi yang kuat boleh menjadi asas yang kukuh bagi perkembangan bahasa bayi anda. “Pada beberapa bulan pertama, perkembangan bahasa bayi anda kebanyakannya dirangsang oleh interaksi bukan lisan. Terdapat banyak pandangan mata, sentuhan fizikal dan bunyian yang menyeronokkan atau menenangkan antara anda dan bayi anda semasa rutin harian seperti mandi, makan, bermain bersama atau menidurkannya.
“Sebelum seorang kanak-kanak dapat menggunakan bahasa lisan untuk berkomunikasi dengan orang lain, dia belajar berkomunikasi dengan cara berbeza dan ini bermula dengan permainan interaktif, walaupun ketika bayi. Permainan interaktif menumpukan pada aspek sosial dan emosi, serta melibatkan hubungan. Malah sebelum perkataan difahami, bayi akan mula belajar cara mentafsir ekspresi muka, bahasa badan, dan bagaimana untuk menjangka apa yang difikirkan atau dirasakan oleh seseorang. Semua ini akan membantu menyediakan asas yang kukuh untuk perkembangan bahasa pertuturan dan komunikasi dua hala di kemudian hari.”
Dr Chan mencadangkan ibu bapa menyediakan aktiviti bermain yang memupuk perkembangan motor halus dan kasar kanak-kanak. “Bermula dengan meniarap dan mencapai objek sensori, sehingga memanjat dan bermain di luar, kemahiran fizikal ini perlu untuk terus mengembangkan kemahiran bagi meneroka dan belajar daripada dunia luar yang mengujakan. Pada masa yang sama, walaupun sukar bagi ibu bapa, mereka perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk melakukan kesalahan dan belajar daripada kesalahan itu dalam persekitaran yang munasabah dan selamat. Ini akan memupuk kemahiran menyelesaikan masalah dan cara fikir positif dalam kanak-kanak apabila berdepan dengan cabaran hidup semasa membesar.”
Dr Chan juga menggalakkan ibu bapa membaca bersama kanak-kanak kecil kerana ini boleh memberi kesan positif yang mendalam ke atas perkembangan bahasa dan kognitif mereka. “Ibu bapa boleh mewujudkan rutin membaca yang mudah sejak dari bayi lagi. Perbuatan mudah seperti menunjuk gambar sambil membaca dan menggabungkan ekspresi muka atau isyarat bergurau boleh menjadi permulaan bagi proses pembelajaran yang penting.”
Beliau mengesyorkan untuk meluangkan masa yang pendek untuk membaca. “Anda tidak perlu duduk dan membaca secara formal selama setengah jam dengan anak kecil. Hanya beberapa minit melihat buku bergambar bersama-sama boleh memberi kesan yang amat positif. Anda juga perlu menggalakkan banyak pandangan mata, memberi pelbagai isyarat sosial dan komunikasi, dan menggalakkan anak anda untuk memberi tindak balas. Ini juga sangat membantu untuk melatih daya tumpuan semasa dia membesar.”
“Ibu bapa juga boleh membantu pembelajaran anak mereka dengan mewujudkan struktur dan rutin yang boleh diramal di rumah. Waktu makan yang konsisten dan rutin tidur yang tetap adalah penting untuk memastikan kanak-kanak kecil mendapat zat makanan yang diperlukan dan rehat yang mencukupi untuk meneruskan pembelajaran,” tambah Dr Chan.
Akhir sekali, Dr Chan juga bersetuju bahawa ramai bayi dan kanak-kanak kini terdedah kepada peranti skrin terlalu awal, malah menggunakannya secara berlebihan. “Masalah utama peranti skrin adalah ia tidak memerhatikan isyarat sosial dan emosi bayi anda untuk bertindak balas secara fleksibel. Ini amat berbeza berbanding interaksi dan pembelajaran dengan manusia lain.”
“Teknologi sangat berguna dalam bidang pendidikan, tetapi kuncinya ialah ANDA perlu menjadi titik hubungan pertama bagi anak anda sejak dari awal lagi. Teknologi tidak boleh menggantikan kehadiran anda dan tidak boleh menggantikan komunikasi dan sosialisasi antara manusia. Sekiranya anda memilih untuk menerapkan teknologi dalam pendidikan awal anak anda, pastikan yang anda berada bersama untuk berinteraksi secara sosial dengan anak anda, dan teknologi hanya berfungsi sebagai alat bantu pembelajaran,” simpul Dr Chan.
Tahun-tahun prasekolah
Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Puan Anisa Ahmad, berkata bahawa apabila kanak-kanak kecil membesar menjadi kanak-kanak petatih dan tadika, adalah penting bagi ibu bapa untuk terus berhubung dengan mereka melalui aktiviti bersama seperti membaca, melukis, menyanyi, bercerita, dan bermain permainan.
“Apabila membaca bersama anak kecil anda, benarkan mereka memilih buku cerita yang ingin dibaca, walaupun ia adalah buku yang sama setiap hari! Bagi kanak-kanak yang lebih besar, anda boleh bergilir-gilir dengan mereka untuk membaca ayat dalam buku. Bagi kanak-kanak kecil yang belum boleh membaca, minta mereka bercerita berdasarkan gambar yang ditunjukkan. Biarkan mereka bercerita lebih lanjut tentang apa yang mereka fikirkan. Apabila ibu bapa memberikan maklum balas yang positif dan bertanya soalan terbuka, anda boleh memupuk minat, kreativiti, dan kemahiran berfikir secara kritis anak anda,” kongsi Pn Anisa.
Beliau menambah bahawa ibu bapa harus “cakap serupa bikin”. Ini bermaksud, jangan cuma harapkan anak anda mahu membaca. Anda sendiri perlu menunjukkan teladan dengan membaca.
“Terdapat beberapa perkara mudah yang boleh anda lakukan. Lagu kanak-kanak berguna untuk literasi awal dan perkembangan bahasa. Anda juga boleh melabel objek-objek di rumah anda bagi menunjukkan kepentingan membaca dan menulis. Bantu anak anda membina pengetahuan asas tentang sesuatu topik. Bincangkan pengalaman harian, tunjukkan gambar-gambar kepada anak anda, dan sampaikan cerita kepada mereka atau minta mereka beritahu cerita mereka. Ini boleh menggalakkan rasa ingin tahu dan kesediaan mereka untuk belajar di sekolah.”
Apabila melibatkan Matematik, Pn Anisa berkata tidak pernah terlalu awal untuk kanak-kanak mula belajar! “Seawal umur 2 tahun, kanak-kanak telah bersedia untuk meneroka nilai dan objek dalam dunia, memahami konsep seperti ‘dua lebih banyak daripada satu’ dan memahami apa itu besar dan kecil. Fasa Ini merupakan masa yang penting untuk memperkenalkan konsep-konsep asas dan nilai-nilai penting dalam diri mereka.”
Belajar mengira ialah pengenalan yang bagus terhadap Matematik bagi kanak-kanak prasekolah, kata pendidik itu. Mengira jari tangan dan kaki daripada satu hingga 10 adalah menyeronokkan apabila disertai dengan lagu mengira seperti “One, Two, Buckle My Shoe.” Pn Anisa berkata bahawa ibu bapa seharusnya menyertakan aktiviti mengira dalam rutin harian mereka, contohnya, apabila menghidang makanan ke dalam pinggan – dua senduk nasi, tiga ketul ayam, satu gelas susu.
“Bagi membantu anak anda memahami kumpulan, anda boleh mengasingkan benda-benda berdasarkan kategori, seperti warna, saiz, bentuk, tekstur atau kegunaan. Sebagai contoh, minta mereka mengasingkan mainan mengikut warna atau saiz, atau mengasingkan sudu daripada garfu.”
Dalam memupuk adab dan kebolehan sosial yang baik, ibu bapa berperanan penting untuk mendidik anak-anak cara menunjukkan penghargaan dengan menggunakan perkataan seperti “tolong”, “terima kasih” dan “maaf”. Selain itu, mereka juga perlu diajar tentang perkara asas termasuklah ucapan mudah seperti “hello”, tidak menyentuh barangan orang lain, menjaga kebersihan hak milik peribadi, dan bersabar menunggu giliran. Walaupun kelihatan mudah, prinsip-prinsip ini merupakan dasar penting demi interaksi sosial yang berkesan.
Pn Anisa mengatakan bahawa pembelajaran tentang tubuh badan dan fungsi-fungsinya juga bermula dari rumah. “Mulakan dengan mengajar anak-anak nama-nama bahagian tubuh badan mereka menggunakan kosa kata yang betul. Adalah penting untuk mengajar fungsi-fungsi bahagian tubuh badan dan menekankan bahawa tidak wajar bagi orang lain untuk melihat atau menyentuhnya. Pada masa yang sama, didik mereka untuk memahami betapa pentingnya untuk tidak melihat atau menyentuh orang lain tanpa izin.”
Meminta kebenaran daripada anak anda adalah penting, menurut Pn Anisa. “Tanya anak anda ‘Boleh Ibu mandikan kamu hari ini?’ atau ‘Ibu akan buka zip baju kamu untuk mandikan kamu, bolehkah?’ Ini akan membantu anak-anak untuk memahami kepentingan meminta izin sebelum melakukan sesuatu dan mengajar anak kita untuk mengatakan ‘Tidak’ sekiranya mereka tidak selesa tentang sesuatu. Ini memberikan mereka pemahaman yang lebih baik tentang sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat.”
Pn Anisa juga menekankan ibu bapa perlu memahami bahawa kesediaan untuk pendidikan formal berbeza bagi setiap kanak-kanak. Beliau menasihati ibu bapa untuk memainkan peranan proaktif dengan mewujudkan persekitaran rumah yang menggalakkan di mana anak-anak merasa selamat, difahami dan disokong. Beliau berkata: “Ibu bapa yang terlibat secara aktif semasa bermain dan berkomunikasi bersama anak-anak mereka dan mengambil bahagian dalam aktiviti harian mereka boleh memenuhi keperluan emosi anak mereka, di samping memupuk perkembangan kemahiran motor, kreativiti dan pemikiran kritis. Ini menyumbang kepada asas pendidikan yang menyeluruh bagi anak mereka.”
Apabila anak-anak maju melalui pelbagai tahap berbeza, ibu bapa memainkan peranan yang berubah-ubah dalam memperkaya perjalanan pendidikan mereka dan melancarkan peralihan antara tahun-tahun persekolahan. Penglibatan aktif dalam pelbagai aspek, seperti permainan interaktif dan membaca semasa awal usia kanak-kanak, serta memupuk adab dan kemahiran sosial yang baik, menjadi batu asas kepada kejayaan akademik dan pembangunan holistik, dan ini membuktikan bahawa pendidikan kanak-kanak sememangnya bermula dari rumah!
Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pengerusi Program Pengasuhan Positif
Dr Cindy Chan Su Huay, Pakar Perunding Perkembangan Pediatrik
Pn Anisa Ahmad, Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM)