Sebagai ibu bapa, berurusan dengan kanak-kanak meragam atau tantrum adalah perkara biasa. Tetapi pernahkah anda melihat kanak-kanak yang mengalami meltdown? Meltdown biasanya dialami oleh individu autistik. Bagi seseorang yang tidak menyedari perbezaannya, mungkin sukar untuk membezakan antara meltdown dan tantrum.
Apa itu meltdown?
Meltdown ialah tindak balas tidak sengaja yang menyebabkan seseorang hilang kawalan terhadap perbuatan mereka akibat situasi yang keterlaluan. Individu autistik boleh mengalami meltdown tanpa mengira umur, bukan hanya kanak-kanak. Anda perlu mengetahui bahawa meltdown bukanlah tingkah laku yang buruk atau sejenis manipulasi. Ia juga bukan disebabkan kurang didikan ibu bapa. Individu autistik sering bergelut dengan perbezaan komunikasi, rangsangan deria, dan pengawalan emosi, oleh itu mereka lebih cenderung mengalami meltdown.
Setiap individu, bukan saja ibu bapa, harus memahami apa yang dimaksudkan dengan meltdown. Meltdown amat meletihkan mental dan fizikal, dan merupakan salah satu perkara yang sering disalah erti dalam kehidupan seorang individu autistik. Ia juga sering dikelirukan dengan tantrum dalam kalangan kanak-kanak.
Meltdown vs tantrum
Meltdown | Tantrum |
· Tindak balas emosi berlebihan yang berlangsung lebih lama
· Boleh berlaku pada setiap usia · Tidak boleh dikawal · Bukan untuk perhatian · Dicetuskan oleh rangsangan deria/emosi yang berlebihan · Tidak boleh dialihkan sehingga selesai |
· Kelakuan beremosi yang biasa
· Biasa berlaku pada kanak-kanak kecil dan petatih · Didorong oleh kemahuan/motivasi · Sering dilakukan untuk perhatian · Dicetuskan oleh keperluan/keinginan yang tidak dipenuhi · Boleh dialihkan |
Pencetus meltdown
Setiap individu autistik mengalami pengalaman meltdown yang pelbagai dengan makna yang berbeza, tetapi terdapat beberapa punca umum berlakunya meltdown:
- Rangsangan deria yang melampau, seperti bau atau rasa yang kuat, bunyi terlalu bising, lampu berkelip-kelip, berada dalam khalayak ramai, dsb.
- Perubahan rutin harian, kehidupan atau persekitaran, seperti berpindah ke rumah baharu atau perubahan jadual sekolah secara tiba-tiba
- Kesukaran berkomunikasi
- Keresahan atau tekanan
- Kehilangan autonomi (untuk memilih dan mengawal keadaan)
Petanda meltdown
Berikut merupakan beberapa tingkah laku yang mungkin ditunjukkan oleh individu yang mengalami meltdown:
- Menggigit
- Memukul atau menumbuk
- Menendang atau menghentak kaki
- Melarikan diri
- Stimming (tingkah laku swarangsang oleh individu autistik sebagai cara untuk menenangkan diri, contohnya menggoyangkan badan, berdengung, menjentik jari)
- Mencederakan diri sendiri, seperti menghentak kepala, memukul atau menarik rambut sendiri
- Membaling dan memecahkan objek
- Mengeluarkan suara yang kuat, seperti menangis, merintih, menjerit, mengejek, atau berteriak dengan kuat
- Tidak peduli/sedar dengan persekitaran
Bersedia menghadapi meltdown
Sekiranya anda mempunyai atau menjaga kanak-kanak autistik, penting untuk anda tahu bagaimana untuk mengesan tanda-tanda meltdown.
- Mengenal pasti pencetus. Setiap kali meltdown berlaku, cuba perhatikan apakah pencetusnya. Anda akan temui corak tertentu. Apabila anda telah mengenal pasti pencetus meltdown anak anda, cari cara untuk mengelakkan atau mengurangkan perkara tersebut.
- Mengesan tanda awal. Sebelum meltdown berlaku sepenuhnya, kanak-kanak autistik akan menunjukkan beberapa tanda awal seperti menggigit kuku, menutup telinga dengan tangan, rasa jengkel, atau stimming. Ambil langkah awal untuk menghilangkan puncanya atau membawa kanak-kanak tersebut ke persekitaran yang lebih tenang.
- Sediakan alat bantu deria/penenang diri, seperti mainan deria, baju/selimut tebal, cermin mata hitam, fon kepala kalis bunyi, sarung pen/pensel yang boleh dikunyah, dsb. Ini boleh membantu anak anda agar selesa dan tenang semasa situasi yang sukar.
- Rancang dan latih strategi. Rancang strategi sesuai yang boleh diamalkan oleh anak anda apabila dia mula rasa tertekan. Berlatih dengan anak anda semasa dia tenang supaya dia dapat menyesuaikan diri dan menggunakan strategi ini apabila diperlukan.
Menyokong kanak-kanak semasa meltdown
Pengawalan bersama (co-regulation) ialah kunci utama. Kanak-kanak perlu belajar bagaimana untuk mengawal diri bersama orang lain sebelum dia boleh menggunakan kaedah/alat kawalan diri secara bersendirian. Pengawalan bersama secara kerap ialah proses ke arah pengawalan diri.
- Sebelum membantu anak anda bertenang, anda perlu mengawal diri terlebih dahulu. Antara caranya adalah dengan menarik nafas dalam-dalam atau minum air.
- Lihat meltdown dari sudut berbeza. Fikirkan bahawa anak anda sedang menghadapi kesukaran dan kelakuan tersebut tidak disengajakannya.
- Berikan ruang. Jangan cuba hentikan kelakuan anak anda tetapi kekal berada di sampingnya untuk menjaga keselamatannya. Jangan benarkan orang lain mendekatinya.
- Kurangkan rangsangan. Kurangkan bercakap kerana ini akan menambah tekanan.
- Jadikan persekitaran lebih sesuai. Perhatikan persekitaran dan lihat apa yang boleh dilakukan untuk membantu anak anda bertenang, seperti mengurangkan pencahayaan atau bunyi muzik, menutup pintu, meminta orang lain meninggalkan bilik.
- Cari ruang selamat. Jika boleh atau jika terdapat risiko berlaku kecederaan, cuba bawa anak anda ke bilik yang lebih selamat dan senyap.
- Guna kaedah bertenang yang sesuai. Jika anda tahu apa yang boleh menenangkan anak anda semasa meltdown, berikan kepadanya. Ini termasuklah mainan kegemaran, memasang muzik yang menenangkan, menarik nafas dalam-dalam, menumbuk bantal, menggosok belakangnya, memeluknya dengan erat, dll.
- Kaedah pengawalan emosi autistik. Membenarkan perbuatan berulang-ulang (stimming) kerana ia adalah satu kaedah untuk membantu pengawalan emosi.
- Larangan: Jangan memalukan atau mengancam anak anda. Elakkan daripada berhujah atau berbalah dengannya. Jangan sekali-kali meninggalkannya sendirian.
Apabila anak anda telah bertenang, tunjukkan kepadanya bahawa anda memahami situasi tersebut. Akui perasaannya dengan memberitahu yang anda faham bahawa meltdown tersebut adalah sesuatu yang memenatkan dan meresahkan. Cuba tanya atau cari punca kepada meltdown tersebut; ini mungkin memerlukan bantuan Augmentative and Alternative Communication (AAC) atau komunikasi alternatif selain percakapan.
Apabila meltdown berlaku di khalayak ramai, anda tidak perlu berasa malu. Ingatlah bahawa anak anda tidak berniat untuk menyusahkan anda; malah dia sebenarnya yang mengalami kesusahan. Oleh itu, bersikap empati dan baik hati amat penting semasa meltdown. Namun, jika anda bergelut untuk menjaga anak anda, berbincanglah dengan pakar pediatrik. Mereka boleh mencadangkan panduan dan terapi untuk menyokong perkembangan emosi anak anda.