Apabila kanak-kanak beralih ke zaman remaja yang mencabar, strategi keibubapaan haruslah disesuaikan untuk memenuhi keperluan mereka yang berubah-ubah. Satu masalah yang biasa dihadapi oleh ibu bapa adalah sama ada mereka perlu menggunakan pendekatan yang lebih mesra sebagai rakan mereka atau terus mengekalkan peranan mereka sebagai ibubapa. Walaupun membina hubungan rapat dengan anak remaja anda adalah penting, mewujudkan batas-batas juga sama penting dalam memastikan kesejahteraan dan perkembangan mereka.
Kajian mendapati bahawa remaja berkembang dengan baik apabila ibu bapa berjaya menyeimbangkan kasih sayang dan had-had yang sesuai dengan umur. Cabaran bagi ibu bapa adalah untuk mengekalkan hubungan rapat dengan anak-anak, di samping menunaikan tanggungjawab sebagai orang dewasa. Ingat, anda tidak perlu menganggap anak anda setaraf dengan anda untuk menunjukkan keprihatinan anda. Sebaliknya, peranan anda sebagai ibu bapa seharusnya sebagai pembimbing. Terlalu mengongkong dan kerap masuk campur dalam proses membuat keputusan anak anda pula boleh mengganggu kehendak mereka untuk belajar berdikari.
Anak remaja rasa selamat apabila terdapat sosok autoriti yang jelas dalam keluarga. Menetapkan batasan bukan bermakna anda seorang ibu bapa yang tidak prihatin. Ia membantu anak anda menyedari bahawa dia boleh belajar berdikari sambil membesar, dan ini memberikannya ruang untuk meneroka aspek-aspek kehidupan dengan sendiri.
Selain itu, jika anda terlalu “mesra” dengan anak remaja anda, batas sempadan akan kabur dan menjejaskan kebolehan anda untuk menetapkan peraturan asas. Biasanya ibu bapa perlu mengenakan peraturan yang mungkin tidak digemari atau dilawan oleh remaja. Namun, menetapkan peraturan (cth. had waktu pulang, waktu skrin, pakaian yang sesuai, aktiviti sosial) adalah penting demi kesejahteraan dan keselamatan anak anda. Ia mengajar remaja tentang apa yang selamat dan sesuai, serta sebaliknya.
Kadangkala, apabila anda memainkan peranan sebagai sabahat baik anak remaja anda, ia juga boleh mendatangkan kesan yang tidak dijangka. Jika anak remaja anda belum bersedia berhadapan dengan dunia dewasa yang kompleks, mereka mungkin tertekan apabila cuba menangani isu-isu yang melangkaui tahap kematangan mereka. Elakkan daripada membebankan anak remaja anda dengan masalah orang dewasa, seperti perbalahan dengan pasangan atau masalah kewangan, kerana ini mungkin menyebabkan keresahan dan mengganggu perkembangan semulajadi mereka.
Jangan berkongsi masalah orang dewasa secara berlebihan dengan anak remaja anda supaya dia berpeluang menikmati masa remajanya tanpa risau dengan tanggungjawab dunia dewasa. Pendekatan ini memberikan anda masa untuk melakukan aktiviti bersama, lalu memberi peluang untuk bersantai, bergembira, serta memahami keperluan dan emosi anak remaja anda. Ini bukan sahaja boleh membina kesejahteraan emosi anak remaja anda, bahkan memupuk hubungan sihat yang menggalakkan bimbingan serta sifat berdikari secara harmoni pada masa yang sama.
Menangani cabaran keibubapaan semasa zaman remaja anak anda merupakan satu proses yang rumit, dan ibu bapa perlu sedar bahawa anda boleh menjadi rakan yang prihatin tanpa mengorbankan peranan anda sebagai pemegang autoriti. Yang penting adalah untuk mencari titik keseimbangan dan mengetahui di mana batasannya supaya anda boleh menyediakan persekitaran yang boleh menggalakkan perkembangan anak remaja anda.